1) GOOGLE FORM
Seperti yang dapat kita lihat pada empat carta pai dan dua graf bar di atas menunjukkan kumpulan responden yang terlibat dalam kajian soal selidik yang dijalankan melalui google form bagi perlaksanaan projek e-SULAM. Carta pai yang pertama adalah jantina, kedua bangsa, ketiga umur, keempat kawasan tempat tinggal sama ada di bandar atau luar bandar, kelima pekerjaan dan yang terakhir adalah negeri yang diduduki. Kesemua peratusan data di atas adalah dipengaruhi oleh tempat tinggal setiap ahli kumpulan kami. Seramai 20 orang daripada 26 orang responden adalah pelajar IPT dan selebihnya adalah 6 orang yang telah mempunyai kerjaya. Hasilnya, kami dapati data-data di atas amat penting dan sangat mempengaruhi jawapan setiap responden berdasarkan persekitaran dan gaya hidup mereka. Ini kerana, pergaulan mereka di alam pekerjaan dan pelajar adalah sangat berbeza.
Carta 1 menunjukkan jawapan daripada responden untuk pernyataan saya akan membalas kata-kata tidak sopan dengan bahasa yang lebih sopan. Seramai 9 orang (34. 6%) memilih sangat setuju dan 12 orang responden (46.2%) memilih setuju. Manakala 3 orang (11.5%) menjawab tidak pasti serta yang memberikan jawapan tidak setuju dan sangat tidak setuju masing-masing 1 orang (3.8%). Hal ini menunjukkan majoriti responden lebih cenderung untuk menggunakan bahasa yang sopan walaupun telah dilontarkan dengan kata-kata yang tidak sopan apabila menggunakan media sosial. Laman media sosial pada masa kini banyak diakses oleh kanak-kanak sehingga interaksi dan kata-kata yang bersifat kasar mampu mempengaruhi dan menjadi ikutan mereka. Masyarakat perlu berkomunikasi secara santun sesama pengguna ketika ingin membalas, mengkritik atau menyatakan pendapat kerana media sosial bersifat umum. (Dian Harmaningsih et al., 2021). Semua lapisan masyarakat perlu mengutamakan adab sopan dan tidak terlalu mengikut emosi ketika menggunakan media sosial demi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan menjadi contoh teladan kepada anak muda bagi melahirkan generasi yang penuh dengan kesopanan dan tatasusila dalam bertutur. Hal ini selari dengan konsep rukun negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Sebagai warganegara Malaysia, konsep rukun negara perlu diamalkan dan dihayati sebagai tanda cintakan negara kita. Kesimpulannya, pengguna media sosial perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menggunakan medium ini dengan kata-kata yang sopan tanpa interaksi yang negatif supaya tidak wujud perbalahan di samping membawa imej negara yang baik di mata dunia.
Carta 2 di atas menunjukkan jawapan responden kepada soalan yang telah dikemukakan iaitu ‘bahasa kasar dan kesat saya gunakan untuk memberikan komen tanpa memikirkan perasaan dan sensiviti seseorang. Seramai 15 orang respoden sangat tidak setuju, 4 orang tidak setuju, 3 orang tidak pasti, 2 orang setuju manakala 3 orang sangat setuju. Ini menunjukkan majoriti responden tidak bersetuju akan tetapi terdapat juga responden bersetuju menggunakan bahasa kasar dan kesat untuk memberi komen tanpa memikirkan perasaan dan sensitiviti seseorang. Hak kebebasan bersuara telah disalah guna melalui medium elektronik semata-mata bertujuan untuk menyakiti perasaan malah mencalar maruah serta menjatuhkan reputasi individu lain. Saban hari media sosial kini dibanjiri kata-kata kesat, jijik dan lucah (Jasmi, Kamarul Azmi, 2017). Hal ini berlaku apabila sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial untuk tujuan mengutuk seseorang ataupun menghina tanpa mempedulikan sensitiviti orang lain. Walaupun setiap individu mempunyai definisi tersendiri terhadap media sosial akan tetapi interaksi kita pada medium terbuka haruslah selari dengan adab dan sopan sebagai warganegara yang patuh pada prinsip Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Disebabkan cakupan media sosial itu luas dan netizennya bersifat bebas, kita wajar berbicara dengan baik dan tidak melanggar norma kesusilaan sebagai individu yang mampu mendidik generasi akan datang dengan leluhur budi yang selaras dengan budaya bangsa. Sudah tiba masanya pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang yang lebih khusus bukan sahaja untuk menghukum pembuli malah mampu menghindari dan melindungi seseorang daripada menjadi mangsa buli siber (Dr. Mohd Khairie Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia).
Carta 3 yang disertakan di atas merujuk pada pendapat responden terhadap pernyataan penggunaan bahasa yang baik ketika menggunakan media sosial. Responden yang sangat bersetuju menunjukkan peratus yang paling tinggi iaitu sebanyak 53.8% (14) manakala responden yang memilih setuju ialah sebanyak 38.5%(10) dan diikuti oleh responden yang memilih kurang setuju dengan hanya 7.7%(2). 0% (0) pula bagi responden yang memilih tidak setuju dan sangat tidak setuju.
Hal ini menunjukkan bahawa hampir semua daripada kalangan responden bersetuju tentang penggunaan bahasa yang baik ketika menggunakan media sosial. Ini menerangkan bahawa kalangan remaja kini masih lagi mengamalkan penggunaan bahasa yang baik meskipun secara tidak bersemuka. Sebagai contoh, memulakan perbualan dalam talian dengan memberi salam atau mengucapkan “selamat pagi”. Hal ini menggambarkan bahawa seseorang itu ialah seorang insan yang berbudi bahasa. Manakala bagi segelintir daripada mereka yang memilih tidak pasti mungkin menganggap ianya terlalu formal terutamanya dengan saudara mara atau kawan rapat. Namun hal ini tidak menjadi masalah walaupun tetap menggunakan bahasa yang baik dengan mereka tambahan pula dapat mengelakkan lagi persefahaman yang mungkin boleh berlaku melalui penggunaan bahasa yang kurang baik sebelumnya. Tuntasnya, kita sebagai masyarakat yang terkenal dengan kasantunan yang baik sewajarnya mengamalkan penggunaan bahasa yang baik bagi menjaga hati atau perasaan orang lain. Oleh itu, kita dapat mengekalkan masyarakat yang tinggi nilai murninya hingga ke generasi yang seterusnya bertepatan dengan rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Pembangunan dan kemajuan dalam bidang teknologi pada masa kini sedikit sebanyak turut mengubah cara manusia berkomunikasi dan berinteraksi. Daripada bentuk komunikasi bersemuka, kini komunikasi telah berubah kepada komunikasi secara maya dengan menggunakan portal dan laman sosial tertentu sebagai perantara.
Carta pai ini menunjukkan jawapan daripada responden bagi pernyataan “saya sering menerima kata-kata yang tidak sopan dari kenalan media sosial”. Apa yang dapat kita lihat disini ialah seramai 12 orang bersamaan 46.2% memilih sangat tidak setuju. Bagi responden tidak setuju, tidak pasti dan setuju seramai 4 orang bersamaan 15.4% pada pernyataan ini. Manakala bagi responden setuju pula seramai 2 orang bersamaan 7.7% sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa majoriti responden sangat tidak setuju berbanding setuju pada pernyataan tersebut. Hal ini juga kita dapat lihat bahawa majoriti rakyat Malaysia kaya dengan sikap kesantunan berbahasa. Manakala ada juga segelintir daripada mereka bersetuju kerana bagi mereka yang diajar sejak kecil mengamalkan Bahasa yang baik dan beradab mungkin kurang senang jika ada yang berkomunikasi dengan bahasa yang kurang sopan dan tidak beradab. Penggunaan ayat-ayat dan perkataan yang tidak sopan dan tidak berhemah ini semakin berleluasa menjadi perbualan santai dalam masyarakat khususnya remaja.
Sebagai kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengamalkan kesantunan berbahasa tidak kira sama ada berinteraksi dalam media sosial ataupun ditempat awam. Kerana sikap dan bahasa yang baik memancarkan keperibadian kita yang mulia selain sebagai penghormatan kepada pihak lawan bicara.
Carta pai ini menunjukkan jawapan responden kepada soalan yang telah dikemukakan iaitu saya sering memuat naik gambar atau cerita yang membuka aib seseorang bagi tujuan menegur. Seramai 17 orang responden memilih sangat tidak setuju, 3 orang responden memilih tidak setuju, seorang responden memilih tidak pasti, 2 orang responden memilih setuju manakala 3 orang responden memilih sangat setuju. Hal ini menunjukkan majoriti responden menjawab sangat tidak setuju walaupun banyak gambar dan cerita yang telah dipaparkan dengan cara membuka aib bagi tujuan menegur. Pada era modenisasi ini, segala maklumat berkaitan gambar atau cerita mudah diakses oleh setiap peringkat umur. Tidak dinafikan lagi, kemudahan akses banyak membuka peluang untuk masyarakat bersuara dan menegur tetapi telah disalahgunakan oleh masyarakat ketika ini apabila menegur dengan cara yang boleh menggoreskan hati dan membuka aib seseorang. Segelintir orang gemar menggunakan kaedah sindiran untuk menegur kesalahan orang lain. Benar, niatnya baik untuk menegur kesalahan orang tetapi hendaklah dengan cara yang beradab agar tidak menggores hati dan menyakiti apabila orang lain membaca dan melihatnya.
Selari dengan ajaran Islam yang menganjurkan umat manusia saling menegur dan menasihati antara satu sama lain, perbuatan itu bertujuan menyedari kelemahan, kealpaan dan kesalahan yang dilakukan. Masyarakat yang memuat naik gambar atau cerita hendaklah mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) ketika memuat naik sesuatu kerana boleh mengundang kemarahan dan membuka aib orang lain. Ketika menulis haruslah memikir dengan cara yang betul dan meneliti maksud yang telah dituliskan. Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menitikberatkan amalan sopan santun dan beradab apabila berkomunikasi dan selari juga dengan konsep rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan yang amat dititikberatkan dalam kehidupan seharian
2) TEMU BUAL
SOALAN : APAKAH PERCAKAPAN DAN BAHASA YANG SERING MASYARAKAT GUNAKAN DI MEDIA SOSIAL?
Persoalan di atas merujuk kepada kajian yang bertujuan meninjau pemilihan bahasa dalam komunikasi oleh pengguna laman sosial. Analisis telah dilakukan dan hasil kajian temu bual mendapati bahawa seramai 2 daripada 3 responden bersetuju menyatakan penggunaan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau campuran bahasa bangsa atau loghat (dialek) menjadi pilihan kebanyakan masyarakat dalam percakapan seharian di media sosial. Contoh bahasa rojak yang digunakan antaranya ialah perkataan viral, yang sebetulnya menurut penggunaan bahasa Kebangsaan adalah tular, namun ia telah terhakis oleh bahasa yang diwujudkan dan diguna pakai oleh segelintir masyarakat pada masa kini.. Menurut artikel yang diterbitkan oleh UTM pada 3 Oktober ,2017, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, “Penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi. Mereka (generasi muda) lebih menekankan kepantasan mesej yang mahu disampaikan berbanding penggunaan bahasa yang betul dari sudut tatabahasa, susunan gaya bahasa berunsur estetika apatah lagi efek kepuitisannya.”
Hasilnya, kita dapati bahawa masyarakat sebenarnya kurang menitikberatkan soal penggunaan bahasa,kerana mereka menganggap jika seseorang dapat memahami makna tulisannya, maka sudah memadai bagi mereka. Pada hakikatnya, aspek ini perlu diambil cakna oleh setiap masyarakat kerana ia jelas menunjukkan bukti keprihatinan kita dalam mengamalkan rukun negara yang ke 5 iaitu kesopanan dan kesusilaan. Elemen patriotisme terhadap bahasa itu sendiri melambangkan jati diri sesuatu bangsa dan asas untuk membentuk kesatuan bangsa dan ummah. Menurut Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam sebuah kenyataan akhbar pada tahun 2006,beliau menyatakan bahawa bahasa kebangsaan kini didapati luntur terutamanya dalam pertuturan kerana ia dicampur aduk dengan unsur-unsur bahasa rojak dan pastinya, senario penggunaan bahasa rojak ini perlu dibendung dan dicegah kerana dikhuatiri penghayatan terhadap bahasa Melayu semakin berkurang dalam kalangan generasi kini dan akan datang. Usaha daripada pelbagai pihak adalah perlu bagi memastikan kejayaan ini dicapai. Kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa yang sopan perlulah dipertingkatkan.
Pihak yang perlu memainkan peranan utama dalam menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak menggunakan bahasa Melayu dengan betul semasa berkomunikasi dengan anak-anak di rumah sejak anak-anak mereka kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan ini, tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis ini akan sebati dalam diri mereka sehingga dewasa. Pepatah Melayu ada mengatakan, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, yang amat sesuai untuk menggambarkan bahawa didikan ibu bapa terhadap anak-anak sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa Melayu yang sejati, tidak mustahil anak-anak mereka juga memiliki sifat yang sama. Di samping itu,media sosial juga memainkan peranan yang amat besar dalam pembentukan budaya bangsa. Jika apa yang dipaparkan dan dicetak adalah perkara yang baik ataupun buruk, ia akan menjadi ikutan para pengamalnya. Jadi pihak media perlu memperbaiki mutu persembahan, percetakan dan perbualan mereka. Pihak kerajaan pula bertanggungjawab mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen-kempen cintai bahasa kebangsaan dari semasa ke semasa bagi memelihara bahasa kebangsaan ini sekaligus mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Tuntasnya, kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa mungkin dapat diminimumkan.
SOALAN : BAGAIMANAKAH AMALAN KESOPANAN DAN KESANTUNAN BAHASA BOLEH DIKAITKAN DENGAN PRINSIP RUKUN NEGARA (KESOPANAN DAN KESUSILAAN)?
Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
Rukun Negara diperkenalkan rentetan asas perpaduan kaum yang dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan pergaduhan dan rusuhan kaum khususnya di Kuala Lumpur.
Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad dan Syaqiq al-Azdi mengingatkan kembali, antara sebab berlakunya peristiwa tersebut sebagaimana yang terpahat dalam sejarah ialah ‘perang mulut’ dan laungan-laungan yang membawa sentimen kaum dan agama yang telah mencetuskan ketegangan. Kita telah belajar dari sejarah hitam tersebut.
Namun demikian, peristiwa ini mungkin berulang jika segenap lapisan rakyat tidak menghayati prinsip kesopanan dan kesusilaan yang digariskan. Semua rakyat Malaysia, tidak kiralah yang memimpin dan yang dipimpin wajib mendokong prinsip ini bagi tujuan keamanan dan keharmonian negara.
Lebih-lebih lagi para pemimpin. Mereka seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik dalam bertutur kata dan berperilaku. Mereka hendaklah berhati-hati mengeluarkan perkataan secara lisan mahupun tulisan supaya tidak menganggu sentimen dan perasaan mana-mana kaum di Malaysia.
Adalah sesuatu yang merbahaya bagi negara untuk membiarkan pemimpin atau sesiapa sahaja saling mencela, saling menghina kerana akhirnya akan tercetus adalah kebencian dan api permusuhan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Oleh sebab itu, prinsip kesopanan dan kesusilaan hendaklah diutamakan dan wajib dipertahankan.
Dian Harmaningsih,Susi Yunarti & Wijayanti (2021). Anonimitas Netizen di Media Sosial. IKRA-ITH HUMANIORA :Jurnal Sosial dan Humaniora, 8(3),76-85.
Bernama. (2019). Peristiwa 13 Mei : Pengajaran perlunya masyarakat bersatu padu. Kuala Lumpur: Sina Harian.
Hariyati Ariffin. (2019). Bahasa Kurang Sopan ubah cara komunikasi remaja masa kini. Shah Alam,Selangor: Sinar Harian.
Nurulbahiyah. (2017, Oktober 2). Retrieved from People.utm: https://people.utm.my/nurulbahiyah/2017/10/03/bahasa-rojak-berleluasa-dalam-media-sosial/
Salleh, H. (2012). Pembentukan Istilah dan Kata Pinjaman. Retrieved from Academia.edu: https://www.academia.edu/7606782/Pembentukan_Istilah_dan_Kata_Pinjaman
Bernama. (2019). Buli siber bukti hak kebebasan bersuara semakin disalah guna. Selangor: MStar online.
Disediakan oleh:
Penulis Refleksi:-
Nurhusna Athirah binti Zulkifli (065388)
Nur Amalin binti Afindi (066609)
Nur Izzatul Arifah binti Ismail (066951)
Nik Nailiy Nazelin binti Mohamed@Rosli (066748)
Muhaimin Naqib bin Sidik (066741)
Nik Mohammad Arsyad bin Abd Ghani (065477)
Nik Nur Balqis binti Na'hazani (066342)
Nurin Jazlina binti Mohd Zamri (065432)