1. Adakah kesatuan pembantu khidmat am (pendidikan) sama dengan kesatuan yang saya pernah sertai sebelum ini?
Tidak sama. KEPKA ialah kesatuan yang berbeza daripada kesatuan pemandu atau pembantu operasi yang pernah anda sertai.
2. Saya pernah menjadi ahli kesatuan lain. Adakah saya secara automatik ahli KEPKA?
Tidak. Keahlian dalam kesatuan lama tidak dipindahkan secara automatik ke KEPKA.
3. Siapakah yang layak menyertai KEPKA?
Hanya Pembantu Khidmat Am yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
4. Bilakah KEPKA ditubuhkan?
KEPKA telah ditubuhkan pada 3 November 2025.
5. Jika saya sekarang Pembantu Khidmat Am di bawah KPM, apa perlu saya buat untuk jadi ahli?
Anda perlu membuat permohonan keahlian baharu kerana ia tidak berlaku secara automatik.
1. APAKAH FUNGSI KAD PEKERJA MADANI?
Kad Pekerja MADANI adalah medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.
2. ADAKAH KAMI AKAN MENERIMA KAD FIZIKAL?
Tidak. Kad Pekerja MADANI datang dalam bentuk digital dengan Kod QR unik.
3. BAGAIMANA CARA MENGGUNAKAN KAD PEKERJA MADANI?
Kad Pekerja MADANI boleh digunakan di mana-mana kedai rakan strategik kami dengan mengemukakan Kad Pekerja MADANI. Kod QR anda akan di imbas oleh kedai rakan strategik.
4. SIAPA YANG LAYAK MENERIMA KAD PEKERJA MADANI?
Ahli mana-mana kesatuan yang aktif boleh memohon untuk mendapatkan Kad Pekerja MADANI. Permohonan yang disahkan status keahlian sahaja yang akan disenaraikan sebagai pemegang kad sah.
Sumber : https://kadpekerjamadani.mohr.gov.my/
APA ITU MBJ?
Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ialah sebuah medium komunikasi dua (2) hala di antara Pihak Pegawai (pihak pengurusan) dengan Pihak Pekerja di peringkat jabatan masing-masing. MBJ bertujuan untuk memperolhi kerjasama yang menyeluruh di antara Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja bagi mengemukakan pendapat, mengambil bahagian secara aktif dalam membincangkan dan menyelesaikan isu-isu setempat serta menyumbang idea-idea bernas untuk kepentingan dan kebaikan organisasi.
PENUBUHAN MBJ
Semua jabatan Kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan serta mempunyai kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tersebut adalah dikehendaki menubuhkan MBJ. Bagi tujuan penubuhan MBJ, satu draf perlembagaan yang telah dipersetujui oleh Pihak Pengurusan dan Pihak Pekerja perlu digubal terlebih dahulu dan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tujuan kelulusan sebelum dikuatkuasakan.
BIDANG KUASA DAN FUNGSI MBJ
Bidang kuasa dan fungsi MBJ meliputi semua perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat perkhidmatan dan perjalanan organisasi seperti sistem kerja, pentadbiran, kebajikan, kewangan dan perkhidmatan, kecuali perkara-perkara yang menyentuh dasar Kerajaan atau hal-hal perseorangan. Selain menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan, ahli-ahli MBJ turut berperanan menyumbang idea-idea inovasi dan produktiviti berkaitan tadbir urus jabatan bagi memastikan peningkatan prestasi secara berterusan.
PENGURUSAN PELAKSANAAN MBJ
MBJ dilaksanakan tiga (3) kali setahun iaitu sekali dalam tempoh empat (4) bulan.
FAEDAH MBJ
Mesyuarat MBJ dapat mewujudkan hubungan dan sikap yang positif antara Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja, kepuasan hati, peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kualiti kerja, penjimatan kos, kemajuan pekerja, sikap hormat menghormati, penyelesaian masalah, kesetiaan kepada organisasi dan perpaduan.
Sumber : https://jpwpkl.moe.gov.my/majlis-bersama-jabatan