Jabatan Kecemerlangan Akademik (JKA) merupakan jabatan akademik yang berdasarkan kepada penurunan tiga fungsi Pusat Kecemerlangan Akademik IPGM kepada IPG Kampus. Penurunan fungsi ini bertujuan memberi kuasa autonomi kepada IPGK untuk merancang dan menggubal kurikulum latihan perguruan kursus praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan mengikut prosedur kualiti yang ditetapkan. IPGK juga diberi autonomi merancang, menyebar dan mengorientasikan pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum latihan perguruan serta merancang. Manakala fungsi yang ke tiga pula IPG Kampus juga perlu menghasilkan bahan-bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran kursus praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan mengikut prosedur kualiti yang ditetapkan. Justeru dengan penurunan kuasa ini akan mengembalikan kegemilangan akademik di peringkat IPG Kampus dan IPGM.
Jabatan Kecemerlangan Akademik diwujudkan di kampus berdasarkan surat puncakuasa (Ruj. KPM.100-6/1/8 JLD.2 (7)) bertarikh 5 November 2018. Bagi melicinkan fungsi jabatan yang baharu, Setiausaha Akademik (SUA) pada masa itu telah dilantik sebagai Ketua Jabatan, Jabatan Kecemerlangan Akademik bagi setiap Kampus. Manual Kerja Jabatan Kecemerlangan Akademik diwujudkan untuk menjelaskan skop kerja, carta organisasi, spesifikasi tugas dan proses kerja penurunan tiga fungsi. Manual kerja ini haruslah dibaca bersama-sama Prosedur ISO 21001:2021 EOMS bagi tujuan pelaksanaan proses kerja yang tepat dan sistematik. Penurunan tiga fungsi PKA menjadikan IPG Kampus sebagai Pemberi Pendidikan Tinggi yang berautonomi dan bertanggungjawab memastikan perancangan, pengurusan dan pelaksanaan akademik dijalankan dengan lancar dan berkesan bagi memenuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) dan keperluan Prosedur ISO 21001:2021 EOMS. Tiga fungsi PKA yang diserahkan kepada IPGK adalah seperti berikut:
Merancang dan menggubal kurikulum latihan perguruan kursus praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan mengikut prosedur kualiti yang ditetapkan.
Merancang, menyebar dan mengorientasikan pelaksanaan kurikulum latihan perguruan.
Merancang dan menghasilkan bahan-bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran kursus praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan mengikut prosedur kualiti yang ditetapkan.
Selaras dengan pertambahan, kompleksiti tugas dan tanggungjawab berikutan penurunan tiga fungsi khusus iaitu mengurus, merancang, dan menyelaras pelaksanaan program akademik pada peringkat Kampus sentiasa mematuhi standard kualiti yang ditetapkan maka 5 unit di bawah Jabatan Kecemerlangan Akademik diwujudkan iaitu Unit Pengurusan Akademik, Unit Penambahbaikan, Unit Program Pengajian Akademik, Unit Pengembangan dan Unit Pembelajaran Digital.