Sejarah Pandu Puteri Tunas Malaysia
Pandu Puteri bermula di Kuala Lumpur pada tahun 1916 dan pada tahun 1917 Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah didaftarkan dengan Ibu Pejabat Pandu Puteri di Calcutta, India. Pusat pentadbiran Persatuan Pandu Puteri Malaysia ialah di Singapura sehingga tahun 1956. Mulai tahun 1957, Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertapak di Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Bagaimana Pandu Puteri Tunas Bermula
Pergerakan Pandu Puteri telah ditubuhkan di negara Malaysia pada tahun 1917. Sejak itu nama Brownie digunakan bagi kumpulan kanak-kanak perempuan yang berumur di antara tujuh hingga sebelas tahun. Nama ini kekal digunakan sehingga tahun 1984.
Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah membuat kesimpulan bahawa nama Brownie patut ditukarkan kepada satu nama yang lebih sesuai dengan keperluan negara, mengikut peredaran masa, kemajuan dan perkembangan bahasa di negara ini. Oleh itu, dalam suatu persidangan pada 30 November 1984 yang berlangsung di Wisma Pandu Puteri, Kuala Lumpur, Jawatankuasa kerja Kebangsaan telah bersetuju menukarkan nama Brownie kepada Tunas Puteri yang kemudiannya di tukar sekali lagi kepada Pandu Puteri Tunas pada tahun 2006.
Perkataan "Tunas" bermaksud pucuk yang mula tumbuh, yang bakal menjadi sebatang pokok. Pokok ini nanti akan menghasilkan buah yang baik jika dipupuk dan dibaja, sejak masih tunas lagi.
Perkataan "Puteri" pula bermaksud gadis bangsawan yang lemah lembut, yang membayangkan sifat-sifat rupawan, kesopanan dan kemuliaan diri. Demikianlah juga keadaan ahli-ahli kumpulan Pandu Puteri Tunas jika mereka diberi bimbingan dan didikan yang baik dan teratur. Mereka akan menjadi gadis-gadis yang rupawan, bersopan santun dan berbudi bahasa. Akhirnya, mereka akan membesar menjadi ahli masyarakat dan warganegara yang baik dan berguna.
Huruf-huruf yang menggabungkan 'Pandu Puteri Tunas' juga mempunyai erti yang mendalam dan mengandungi sifat-sifat warganegara yang sempurna.