PERPUSTAKAAN MAYA

IPG KAMPUS BAHASA ANTARABANGSA

AKAUN I.D DEPOSITORI

PERBEZAAN TERBITAN IPGKBA & TERBITAN INDIVIDU

Untuk makluman warga IPGKBA bagi mendapatkan nombor ISBN ada dua cara:

  1. I.D bagi penerbitan di bawah IPGKBA:

  • Sebarang permohonan ISBN/ISNN perlu menghubungi Pustakawan atau Pembantu Pustakawan Kanan Pusat Sumber IPGKBA bagi mewujudkan SUB ACCOUNT.

  • Hanya Pustakawan atau Pembantu Pustakawan Kanan IPGKBA sahaja yang mempunyai akses LOG MASUK serta peranan untuk memasukkan sub account ISBN/ISSN.

  • Sub account hanya akan diberi kepada seorang pegawai yang bertanggungjawab disetiap bahagian atau jabatan di IPGKBA.

  • Maklumat yang diperlukan bagi pagawai tersebut untuk diberikan kepada Pustakawan atau Pembantu Pustakawan Kanan adalah:

Nama Penuh ( MyKad )

Jawatan Hakiki

E-Mel yang aktif

Nombor Telefon Pintar


  1. I.D bagi penerbit individu:

  • Perlu log masuk melalui laman sesawang depositori.pnm.gov.my

  • Daftar untuk mendapatkan akaun DEPOSITORI

  • Isi borang online sebagai penerbit individu.


Sila klik buttons video di bawah yang disediakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia.

ISBN / eISBN

International Standard Book Number (ISBN)


Apakah Itu ISBN/eISBN?

International Standard Book Number atau dikenali sebagai ISBN adalah satu nombor piawaian antarabangsa yang unik bagi pengenalan kepada sesebuah buku yang diterbitkan oleh penerbit tertentu. ISBN diberikan kepada bahan berbentuk fizikal (bercetak) manakala eISBN diberikan kepada bahan berbentuk digital (ebook atau audiobook) dan bahan sumber elektronik (CD, DVD atau pendrive).


ISBN/eISBN diperoleh daripada Agensi ISBN Antarabangsa yang berpusat di London. Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISBN/eISBN di Malaysia mulai Ogos 1982.


Apakah nombor blok ISBN/eISBN?

Blok ISBN/eISBN diberikan kepada penerbit yang telah berdaftar. Ianya terdiri dari set 10, 100, 1000 dan 10,000 nombor ISBN.


Adakah permohonan ISBN/eISBN dikenakan sebarang kos?

Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan pemberian nombor ISBN/eISBN secara percuma kepada penerbit Malaysia yang berdaftar di bawah Program ISBN. Penerbit tidak dibenarkan menjual mana-mana nombor ISBN/eISBN yang telah diperuntukkan kepada mereka.

Penyediaan untuk mohon ISBN / eISBN untuk ebook dan bahan dalam bentuk bercetak:

1. Cover page

2. Muka surat judul

3. Muka surat hakcipta

4. Muka surat kandungan

5. Prakata /sinopsis /pendahuluan

6. Paparan web di mana nak letak ebook tu dan mestilah dimuatnaik dlm 30% sekurang²nye



Siapa yang layak untuk memohon ISBN/eISBN?

Penerbit Malaysia atau penerbit yang berpusat di Malaysia layak dipertimbangkan untuk memohon nombor ISBN Malaysia. Penerbit yang layak dipertimbangkan adalah seperti berikut:-

  • Penerbit Individu (orang perseorangan). Terhad kepada warganegara Malaysia, pemastautin tetap dan pemegang kad Malaysia My 2nd Home (MM2H) sahaja.

  • Syarikat (penerbit komersil, syarikat perniagaan, dan lain-lain) yang berdaftar di Malaysia

  • Jabatan Kerajaan

  • Institusi pendidikan e.g. sekolah, kolej, universiti di Malaysia

  • Pertubuhan yang berdaftar, persatuan agama, persatuan clan, kelab dan lain-lain di Malaysia.


Apakah jenis bahan yang layak mendapat ISBN/eISBN?

Semua judul buku adalah layak dipertimbangkan untuk diberi ISBN/eISBN selagi ianya memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Agensi ISBN Antarabangsa. ISBN/eISBN perlu dimohon sebelum sesuatu bahan diterbitkan.


Apakah kriteria pemberian ISBN/eISBN?

  • Setiap judul yang diterbitkan, tetapi TIDAK bagi cetakan semula buku yang sama

  • Setiap Edisi Baru bagi judul yang pernah diterbitkan, misalnya edisi ke-2, edisi semakan, dan lain-lain.

  • Cetakan semula buku yang dikeluarkan oleh penerbit yang berlainan.

  • Buku-buku dalam berlainan format, iaitu satu ISBN diberi kepada setiap jilid dan satu lagi ISBN diberi kepada seluruh set berkenaan sekiranya diperlukan.

  • Cetakan semula judul-judul yang pernah diterbitkan tanpa ISBN.

  • Penerbitan bersama. Setiap ISBN berbeza diberikan kepada setiap penerbit bersama yang memohon ISBN bagi judul tersebut.

  • Buku-buku yang diimport dari negara atau kawasan yang belum menyertai program ISBN.

  • Penerbitan helai cerai.

  • Bahan audio-visual pendidikan dan terbitan monograf dalam format tidak bercetak. Contoh: Bahan audio-visual untuk terbitan sekolah-sekolah atau institusi pengajian tinggi (CD-Rom, video, kaset dan lain-lain).


Adakah kemungkinan permohonan ISBN/eISBN tidak diterima?

  • Sekiranya penerbit tidak mengemukakan permohonan dan lampiran yang lengkap, permohonan penerbit tidak akan diterima dan dibatalkan.

  • Penerbit juga perlu mengemukakan permohonan yang menepati kriteria yang ditetapkan oleh Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PdP.

  • Antara kriteria permohonan yang ditolak adalah permohonan yang terdiri daripada buku mewarna/buku sticker, buku panduan program/buku laporan program untuk edaran terhad/dalaman, diari, buku log, buku nota, buku catatan, katalog (buku konvokesyen/aturcara/program/pameran), kertas helaian muzik, periklanan dan promosi, majalah atau risalah.


Adakah pengedar, penjual buku dan pencetak layak memohon ISBN/eISBN?

Pengedar, penjual buku dan pencetak tidak layak memohon ISBN/eISBN kecuali jika mereka berdaftar sebagai penerbit.


Bolehkah saya memohon ISBN/eISBN di Malaysia dan menerbitkan buku tersebut di Negara lain?

Buku yang diberikan ISBN/eISBN oleh Pusat Kebangsaan ISBN hanya boleh diterbitkan di Malaysia sahaja. Jika ingin menerbitkan buku di Negara lain penerbit boleh memohon nombor ISBN/eISBN dari agensi ISBN Negara tersebut. Walau bagaimanapun, buku yang telah diterbitkan dengan ISBN/eISBN Malaysia boleh dijual di Negara lain.

Senarai agensi ISBN boleh diperolehi di:- https://www.isbn-international.org/agencies


Apakah syarat kelayakan bagi penerbit individu?

Hasil penulisan bahan hendaklah sepenuhnya dari penerbit individu itu sendiri (seorang penulis sahaja). Individu tersebut juga mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap atau pemegang kad Malaysia My 2nd Home (MM2H) sahaja


Apa itu surat rasmi dari jabatan kerajaan/agensi?

Bagi penerbit daripada jabatan kerajaan/agensi, surat iringan menggunakan kepala surat (letterhead) daripada jabatan kerajaan/agensi perlu disertakan bagi menyokong permohonan pendaftaran ke dalam Sistem Depositori.


Jika saya telah memohon nombor ISBN bagi bahan bercetak kulit nipis dan berhasrat untuk menerbitkan juga judul yang sama menggunakan kulit keras atau di dalam format yang berlainan seperti ebook (digital) dan CD adakah perlu saya memohon nombor ISBN yang lain?

Penerbit perlu membuat permohonan ISBN yang berbeza jika berhasrat untuk menerbitkan bahan di dalam format yang berlainan. Setiap format penerbitan tersebut akan diberikan ISBN yang berbeza.


Saya berhasrat untuk menerbitkan bahan dalam dwi-bahasa seperti di dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu. Perlukah saya memohon dua (2) kali nombor ISBN bagi bahan terbitan tersebut?

Penerbit hanya perlu memohon sekali sahaja nombor ISBN bagi bahan tersebut dan hanya satu nombor ISBN yang akan diberikan kepada penerbit.


Adakah saya boleh mendapatkan eISBN sekiranya bahan saya telah siap sepenuhnya tetapi masih belum mempunyai platform/link di dalam internet?

Tidak boleh. Hanya bahan yang mempunyai platform/link sahaja yang akan dipertimbangkan.


Adakah saya perlu memohon dua (2) nombor eISBN sekiranya bahan digital yang telah saya hasilkan akan diletakkan pada dua (2) atau lebih platform/link?

Penerbit hanya perlu mendapatkan satu (1) nombor eISBN sahaja. Ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna dan juga semua penggiat industri buku kerana bahan tersebut merupakan bahan yang sama.


Adakah penerbit perlu mendapatkan semula nombor eISBN sekiranya bahan yang telah diterbitkan sebelumnya tidak dapat diakses lagi oleh kerana ditukarkan kepada perisian terkini? Ini berikutan daripada perisian terdahulu telah dikemaskini dengan versi yang terkini.

Penerbit perlu memohon semula nombor eISBN. Ini bagi mengelakkan pengguna atau penggiat industri buku tersalah mendapatkan bahan yang mungkin tidak dapat diakses oleh mereka berikutan daripada penggunaan peranti/versi berbeza. (contohnya : epub2 ke epub3, pdf ke xps,postscript, html)


Saya telah menyiapkan separuh daripada hasil penulisan saya dan ianya telah diletakkan di dalam laman web. Adakah saya layak untuk memohon nombor eISBN?

Layak. Bagi bahan di dalam format digital, bahan tersebut perlulah dimuatnaik dan diletakkan di dalam web sekurang–kurangnya 30 peratus daripada hasil penulisan.


Adakah terdapat tempat tertentu untuk memaparkan barkod eISBN bagi bahan yang diterbitkan secara digital sepenuhnya?

Dimanakah saya boleh merujuk nombor Identiti Penerbit terkini jika kehilangan atau terlupa?

Penerbit boleh merujuk nombor Identiti Penerbit (ID Penerbit) terkini dengan Pusat Kebangsaan ISBN. Nombor Identiti Penerbit tersebut adalah untuk kegunaan penerbit yang berdaftar dengan Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN sahaja dan tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.


Sebagai penerbit baharu, apakah lagi perkhidmatan lain yang disediakan oleh PNM selain pemberian nombor ISBN bagi buku yang bakal diterbitkan.

PNM turut menyediakan perkhidmatan penyediaan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan (PDP). Penerbit digalakkan untuk memohon data PDP sebagai nilai tambah kepada penerbitan buku yang berkualiti.


Adakah ISBN/eISBN menjamin hakcipta?

Penggunaan nombor ISBN/eISBN tidak menjamin hakcipta sesuatu bahan. Penggunaan nombor antarabangsa tersebut adalah sebagai identiti unik sesebuah penerbitan dan membezakan penerbitan yang mungkin sama atau mempunyai judul yang serupa. Hakcipta pula adalah bagi melindungi penulisan, drama, musik, dan hasil seni. Maklumat lanjut berkaitan hakcipta boleh didapati di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) https://www.myipo.gov.my/


Bolehkah nombor ISBN/eISBN yang telah diberi dibatalkan?

Nombor ISBN/eISBN yang telah diperuntukkan bagi sesuatu bahan boleh dibatalkan dengan syarat buku tersebut belum dicetak dan diterbitkan lagi. Penerbit perlu membuat permohonan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi bagi tujuan tersebut kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara.


Adakah penerbit boleh menangguhkan penerbitan?

Penerbit dibenarkan untuk membuat penangguhan penerbitan. Penerbit perlu memaklumkan penangguhan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Sekiranya penerbit membuat permohonan melalui Sistem Depositori, penerbit dibenarkan untuk mengemaskini tarikh jangka terbit sebanyak 3 kali sahaja.


Adakah Pusat Kebangsaan ISBN/eISBN membekalkan kod jalur ISBN?

Ya, pihak kami akan membekalkan kod jalur kepada penerbit.


Bagaimana dan di mana ISBN Dicetak?

ISBN adalah satu set nombor yang terdiri daripada 13 angka dan dipisahkan dengan tanda sengkang serta didahului dengan akronim ISBN.

Contoh: ISBN 978-967-19780-1-6

ISBN hendaklah dicetak di bahagian belakang (kulit belakang) buku di sebelah bawah.


Saya telah menukar harga dan juga kulit muka hadapan buku. Perlukah saya memohon nombor ISBN/eISBN baru?

Tidak perlu. Penerbit boleh menggunakan nombor ISBN/eISBN yang sama selagi kandungan dan judul buku tidak berubah. ISBN/eISBN hanya perlu dimohon jika bahan terbitan tersebut telah ditukar ke format lain misalnya edisi kulit keras dan edisi kulit nipis, e-book dan sebarang bentuk digital yang lain atau jika ada perubahan pada judul dan juga 30 peratus kandungan buku.


Saya berhasrat untuk mencetak semula bahan yang telah diterbitkan sebelum ini, perlukah saya memohon semula nombor ISBN?

Tidak perlu. ISBN tidak akan diberikan kepada bahan ulang cetak. Tetapi sekiranya penerbit ada membuat perubahan 30 peratus kandungan buku dalam cetakan semula tersebut, penerbit boleh mendapatkan ISBN bagi edisi kemaskini.


Saya sudah tidak lagi menerbitkan buku dan ingin menutup akaun. Apakah yang perlu dilakukan?

Penerbit perlu memaklumkan perkara tersebut secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP.


Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut ISBN?

Maklumat lanjut berkaitan ISBN/eISBN boleh didapati di laman web International ISBN Agency. https://www.isbn-international.org/

ISSN

Apakah Itu ISSN/eISSN?

International Standard Serial Number (ISSN) atau lebih dikenali sebagai ISSN adalah Nombor Bersiri Piawai Antarabangsa yang unik bagi pengenalan sesebuah penerbitan berkala. ISSN diberikan kepada bahan berbentuk fizikal (bercetak) manakala eISSN diberikan kepada bahan berbentuk digital dan bahan sumber elektronik (CD, DVD atau pendrive).

ISSN diperoleh daripada Agensi ISSN Antarabangsa yang berpusat di Paris, Perancis. Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISSN mulai Jun 1976.

Bagaimana dan di mana ISSN dicetak?

ISSN mengandungi dua (2) kumpulan empat (4) angka yang dipisahkan dengan tanda sengkang dan didahului dengan akronim ISSN (huruf besar).

Contoh : ISSN 1394-3650

ISSN hendaklah dicetak di tempat yang mudah kelihatan, digalakkan di sudut atas sebelah kanan kulit depan setiap isu terbitan bersiri yang dikeluarkan.

Adakah permohonan ISSN/eISSN dikenakan sebarang kos?

Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan pemberian nombor ISSN/eISSN secara percuma kepada penerbit Malaysia yang berdaftar di bawah Program ISBN. Penerbit tidak dibenarkan menjual mana-mana nombor ISSN/eISSN yang telah diperuntukkan kepada mereka.

Apakah Terbitan Bersiri?

Penerbitan yang diterbitkan dalam format bercetak/dalam talian yang dikeluarkan secara berkala, mempunyai kekerapan serta judul yang konsisten serta bertujuan untuk diteruskan penerbitannya sehingga sesuatu masa seperti majalah, jurnal, dan lain-lain.

Bagaimana pemberian ISSN dilakukan?

ISSN diberikan kepada terbitan bersiri yang baru diterbitkan dan terbitan bersiri yang telah diterbitkan sebelum ini tanpa ISSN.

ISSN hanya diperuntukkan bagi satu judul dan ia adalah khas untuk judul itu sahaja. Sekiranya judul itu bertukar atau ditambah, satu ISSN baru akan diberi bagi judul yang baru.

Apabila terbitan bersiri diterbitkan di dalam pelbagai bahasa dengan judul yang sama, setiap edisi akan diberi ISSN berbeza.

Juga, penerbitan yang sama tetapi diterbitkan di dalam pelbagai bahasa yang mana judulnya menggunakan judul pelbagai bahasa akan diberikan nombor ISSN yang berbeza.

Adakah ISSN diberikan kepada buku prosiding/seminar?

ISSN akan mula diberikan kepada prosiding / seminar yang diterbitkan pada kali kelima. Bagi penerbitan kali pertama sehingga keempat, penerbit perlu terlebih dahulu memohon no ISBN.

Adakah semua penerbitan perlu mendapatkan Permit KDN sebelum memohon ISSN/eISSN?

Permit KDN hanya diperlukan bagi permohonan ISSN oleh penerbit dari syarikat swasta (penerbit komersil, syarikat perniagaan, dan lain-lain) sahaja manakala permohonan eISSN tidak memerlukan Permit KDN.

Bolehkah penerbit individu/orang perseorangan memohon ISSN/eISSN?

Tidak boleh. Permohonan ISSN/eISSN hanya boleh dimohon oleh penerbit dari syarikat swasta (penerbit komersil, syarikat perniagaan, dan lain-lain) dan organisasi bukan komersil seperti Jabatan Kerajaan dan agensi, Institusi pendidikan (sekolah, kolej, universiti) di Malaysia atau Pertubuhan yang berdaftar, persatuan agama, persatuan clan, kelab dan lain-lain di Malaysia.

Adakah ISSN/eISSN menjamin hakcipta?

Penggunaan nombor ISSN/eISSN tidak menjamin hakcipta sesuatu bahan. Penggunaan nombor antarabangsa tersebut adalah sebagai identiti unik sesebuah penerbitan dan membezakan penerbitan yang mungkin sama atau mempunyai judul yang serupa. Hakcipta pula adalah bagi melindungi penulisan, drama, musik, dan hasil seni. Maklumat lanjut berkaitan hakcipta boleh didapati di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) https://www.myipo.gov.my/

Bolehkah nombor ISSN/eISSN yang telah diberi dibatalkan?

Nombor ISSN/eISSN yang telah diperuntukkan bagi sesuatu bahan boleh dibatalkan dengan syarat buku tersebut belum dicetak atau diterbitkan lagi. Penerbit perlu membuat permohonan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi bagi tujuan tersebut kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara.

Adakah penerbit boleh menangguhkan penerbitan?

Penerbit dibenarkan untuk membuat penangguhan penerbitan. Penerbit perlu memaklumkan penangguhan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Sekiranya penerbit membuat permohonan melalui Sistem Depositori, penerbit dibenarkan untuk mengemaskini tarikh jangka terbit sebanyak 3 kali sahaja.

Adakah Pusat Kebangsaan ISSN/eISSN membekalkan kod jalur ISSN/eISSN?

Ya, pihak kami akan membekalkan kod jalur kepada penerbit.

Saya sudah tidak lagi menerbitkan buku dan ingin menutup akaun. Apakah yang perlu dilakukan?

Penerbit perlu memaklumkan perkara tersebut secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP.


PDP

Apakah Pengkatalogan-dalam-Penerbitan (PDP)?

Pengkatalogan-dalam-Penerbitan (PDP) adalah data katalog yang disediakan secara percuma oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kepada penerbit-penerbit di Malaysia sebelum sesuatu terbitan diterbitkan.

Bagaimanakah PDP diberi?

  • Penerbit dikehendaki memuat naik salinan dokumen yang diperlukan seperti salinan mukasurat judul dan bahan awalan (salinan mukasurat hakcipta, salinan muka isi surat kandungan, salinan kata pengantar/pendahuluan, abstrak/sinopsis buku yang akan diterbitkan).

  • PNM akan menggunakan maklumat-maklumat yang telah diberikan untuk menyediakan data katalog untuk setiap judul baru termasuk nombor pengkelasan dan tajuk perkara.

  • Data PDP akan dihantar kepada penerbit dalam tempoh 3 hari bekerja selepas permohonan lengkap diterima.

  • Penerbit perlu mencetak data PDP yang telah diberikan di belakang mukasurat judul mengikut format yang diberi.

Di Mana Data PDP Dicetak?

Data PDP hendaklah dicetak di belakang muka surat judul (di muka surat hakcipta).

Bolehkah data PDP dicetak mengikut mengikut design penerbitan tertentu?

Tidak. Penerbit diwajibkan mencetak data PDP mengikut butiran dan format yang diberikan. Sekiranya penerbit membuat perubahan atau tambahan pada mana-mana butiran di muka surat judul terbitan berkenaan (seperti pertukaran judul atau pengarang) penerbit perlu maklumkan perubahan tersebut kepada pihak Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP bagi memastikan data PDP yang tepat dicetak pada buku.

Adakah permohonan ISBN/ISSN/PDP dikenakan sebarang kos?

Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan pemberian nombor ISBN/ISSN dan data PDP secara percuma kepada penerbit Malaysia yang berdaftar di bawah Program ISBN. Penerbit tidak dibenarkan menjual mana-mana nombor ISBN/ISSN yang telah diperuntukkan kepada mereka.

Bolehkah nombor ISBN/ISSN dan data PDP yang telah diberi dibatalkan?

Nombor ISBN/ISSN dan data PDP yang telah diperuntukkan bagi sesuatu bahan boleh dibatalkan dengan syarat buku tersebut belum dicetak lagi. Penerbit perlu membuat permohonan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi bagi tujuan tersebut kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara.

Adakah penerbit boleh menangguhkan penerbitan?

Penerbit dibenarkan untuk membuat penangguhan penerbitan. Penerbit perlu memaklumkan penangguhan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Tempoh maksima pelanjutan penerbitan tersebut adalah selama 3 bulan.

Saya sudah tidak lagi menerbitkan buku dan ingin menutup akaun. Apakah yang perlu dilakukan?

Penerbit perlu memaklumkan perkara tersebut secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP.


SERAHAN BAHAN DIGITAL

Apakah itu Bahan Digital?

Bahan digital adalah termasuk di dalam Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331). Ia terkandung di dalam klausa definisi “Bahan Perpustakaan” ertinya apa-apa bentuk cetakan, grafik, audio, elektronik atau media lain, di atas atau di mana maklumat ditulis, direkod, disimpan, dipamer atau dikeluar dan dikategorikan bagi maksud Akta ini di dalam –

A. Bahan perpustakaan yang bercetak termasuk buku, terbitan bersiri, peta, carta dan poster;

B. Bahan perpustakaan yang tidak bercetak termasuk filem sinematograf, mikroform, piring hitam, rakam video dan audio dan media elektronik yang lain;

Dalam klausa definisi di atas, Bahan Digital dikategorikan sebagai bahan perpustakaan yang tidak bercetak dan diterbitkan dalam media elektronik yang lain.

Semua bahan penerbitan digital yang diterbitkan di Malaysia, sama ada yang mempunyai atau tidak mempunyai eISBN/eISSN dan diedarkan kepada orang awam secara percuma atau dijual perlu diserah kepada PNM. Ini termasuk :

· Buku elektronik (e-buku),

· terbitan bersiri elektronik seperti e-laporan tahunan, e-prosiding, e-direktori, e-jurnal, e-buletin, e-buku tahunan, e-majalah, e-buku panduan, e-laporan kajian penyelidikan,

· video dan rakaman bunyi yang diterbitkan dalam bentuk digital.


Apakah Manfaat Penyerahan Bahan Digital?

Perpustakaan Negara Malaysia sedang merangka satu kaedah dan prosedur bagi memastikan akses kepada bahan-bahan digital diuruskan secara komprehensif, bagi memastikan kandungan digital dapat dipelihara dan dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan masa depan memandangkan kepantasan perubahan teknologi semasa.


Bilakah saya perlu menyerahkan Bahan Digital baharu saya?

Bahan digital monograf/buku perlu diserahkan dalam masa sebulan dari tarikh penerbitan. Manakala bahan digital terbitan bersiri pula perlu diserahkan dalam masa satu (1) minggu dari tarikh penerbitannya.


Berapakah bilangan unit Bahan Digital yang perlu diserahkan?

Setiap bahan digital perlu diserahkan sebanyak satu (1) unit bagi setiap judul bahan melalui Sistem Depositori PNM. Sekiranya bahan tersebut tidak diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan, surat peringatan akan dikeluarkan sebanyak tiga kali. Selepas itu, permohonan ISBN baharu akan disekat sehinggalah bahan tersebut diserahkan.


Apakah format Serahan Bahan Digital?

Bagi penerbitan berbentuk digital (born digital) bahan perlu diserahkan dalam bentuk format asal penerbitan. Walau bagaimanapun, di atas faktor-faktor tertentu, format pilihan PNM adalah seperti berikut :

Bahan digital yang diserah di Bawah Akta 331 bahan perlu bebas dari Digital Right Management (DRM), dan tiada sebarang syarat-syarat teknikal yang menghalang daripada akses kepada kandungan bahan.


Bagaimana Bahan Digital boleh diakses oleh pengguna?

Pengguna boleh membuat semakan judul bahan digital melalui OPAC PNM. Walau bagaimanapun, akses kepada bahan digital hanya terhad kepada satu pengguna pada satu-satu masa. Bahan adalah dalam format read-only bagi mengelakkan tindakan muat turun, menyimpan/menyalin dan mencetak.

Kebenaran akses kepada kandungan bahan adalah berdasarkan terma dan syarat dari penerbit iaitu pemilik hak cipta sama ada paparan penuh, paparan sebahagian, pinjaman kepada pengguna mengikut tempoh masa tertentu samada boleh diakses di premis PNM sahaja atau di luar premis.


Bagaimanakah Hak Cipta Bahan Digital yang diserahkan?

Semua bahan digital yang diserah di Bawah Akta 331 akan dipelihara di PNM bagi tujuan rujukan dan penyelidikan sahaja dan bukan tujuan komersil. Tahap akses kepada bahan digital adalah bergantung kepada kebenaran dari penerbit.


AKTA 331

AKTA PENYERAHAN BAHAN PERPUSTAKAAN 1986

Apakah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331)?

Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) adalah undang-undang penyerahan atau “Legal Deposit” yang mewajibkan penerbit menyerahkan bahan yang diterbitkan dalam Negara kepada Perpustakaan Negara Malaysia melalui Pusat Penyerahan Terbitan Negara.


Apakah jenis terbitan yang WAJIB diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) berdasarkan kepada Akta 331?

Semua jenis terbitan samada bercetak atau tidak bercetak yang diterbitkan di Malaysia dan diedarkan secara jualan atau percuma, termasuk bahan-bahan terbitan seperti Buku, Majalah, Laporan Tahunan, Suratkhabar, Kertas Persidangan, Peta, Poster/Carta, VCD, CD, e-buku dan sebagainya.


Bilakah saya perlu menyerahkan terbitan baharu saya?

Setiap terbitan bercetak perlu dihantar selewat-lewatnya sebulan selepas tarikh terbitan. Manakala, bagi terbitan tidak bercetak perlu dihantar selewat-lewatnya setahun selepas tarikh terbitan.


Berapakah bilangan naskhah yang perlu diserahkan?

Lima (5) naskhah bagi setiap judul terbitan bercetak; dan dua (2) unit bagi setiap judul terbitan tidak bercetak. Pengagihan penempatan naskhah untuk terbitan bercetak adalah seperti berikut: Lima (5) naskhah (satu (1) simpanan kekal Koleksi Negara; satu (1) simpanan pendua Koleksi Negara; tiga (3) rujukan pengguna di PNM). Manakala, bagi terbitan tidak bercetak akan diagihkan satu (1) unit simpanan kekal Koleksi Negara dan satu (1) unit rujukan pengguna di PNM.


Adakah saya perlu menyerahkan terbitan edisi baharu dan cetakan semula?

Ya, penerbit perlu menyerahkan terbitan edisi baharu (kemaskini) dan tidak perlu menyerahkan terbitan cetakan semula yang mana terbitan asal.

Adakah terbitan kerajaan tertakluk kepada Akta 331?

Ya, Akta 331 terpakai untuk semua penerbit di Malaysia tidak kira penerbit individu, penerbit swasta,penerbit kerajaan,penerbit persatuan dan sebagainya.

Adakah setiap terbitan yang hendak diserahkan memerlukan nombor ISBN atau ISSN?

Semua terbitan samada diterbitkan menggunakan ISBN/ISSN atau tidak, perlu dan WAJIB diserahkan kepada PNM di bawah Akta 331.

Bilakah terbitan saya boleh diakses?

Terbitan akan mengambil masa lapan (8) bulan setengah untuk dikatalog dan diproses. Anda akan dapat melihat rekod katalog terbitan anda di Web OPAC Portal PNM. Bahan ini hanyalah untuk rujukan di PNM sahaja dan tidak boleh dipinjam.

Adakah saya akan mendapat pengakuan apabila saya menyerahkan terbitan saya?

Ya, anda akan menerima sepucuk akuan penerimaan dalam tempoh masa satu (1) hingga tiga (3) bulan selepas penyerahan bahan terbitan. Sila hubungi kami sekiranya anda masih tidak menerima sebarang akuan penerimaan dalam tempoh tiga (3) bulan selepas penyerahan terbitan.


Bagi Melihat Tatacara Permohonan ISBN / eISBN / ISSN / PDP

SILA KLIK BUTTONS DI BAWAH:

Permohonan ISBN/ISSN/PDP boleh dibuat melalui laman sesawang depositori.pnm.gov.my

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan permohonan sila hubungi:

Pusat Bibliografi Negara Perpustakaan Negara Malaysia,

Aras 3, Anjung Bestari No. 232, Jalan Tun Razak,

50572 Kuala Lumpur.

(U/P: Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP) Tel : 03-26814329, 03-26871825, 03-26871700 samb 4288 / 4271/4284

E-mel : depositori@pnm.gov.my

Penafian: Bahan digital di dalam perpustakaan maya ini adalah untuk tujuan rujukan ilmiah sahaja dan tidak dibenarkan untuk diplagiat, dicetak atau dijual beli. Sekiranya berlaku pelanggaran melibatkan hakcipta, pihak kami tidak akan bertanggungjawab.