Inderaloka merupakan sebuah negeri berdaulat yang terletak di kedudukan strategik di Pulau Chendera. Jati diri negara ini terbentuk hasil gabungan warisan Kesultanan Kedah dan Kesultanan Brunei, serta hubungan diplomasi yang erat dengan Kerajaan Siam. Bermula daripada sebuah pusat perdagangan yang sederhana, Inderaloka telah berkembang menjadi sebuah entiti politik yang merdeka melalui kebijaksanaan pemerintahnya dalam membina hubungan antarabangsa.
Sejarah Inderaloka bermula dengan visi berwawasan YAM Pengiran Anak Mahmud Iskandar, putera kepada YAM Pengiran Anak Badaruddin dan YAM Pengiran Anak Sauyah. Baginda merupakan cucunda kepada KDYMM Sultan Husin Kamaluddin, Sultan Brunei ke-16 dan Gusti Kanjeng Ratu Maimun dari Kerajaan Mataram. Walaupun bukan berdarah gahara, ayahanda Pengiran Anak Mahmud Iskandar telah dinafikan hak pewarisan takhta Brunei apabila kuasa pemerintahan beralih kembali kepada jurai keturunan Sultan Muhyiddin pasca-Perang Saudara Brunei.
Menyedari realiti politik tersebut, Pengiran Anak Mahmud Iskandar mengambil keputusan strategik untuk membawa haluan demi kelangsungan warisan nendanya. Saudara kandung baginda, Pengiran Anak Untong, memilih untuk berangkat ke Borneo Utara dan membuka petempatan di Dumpil Meruntum.
Sebaliknya, Pengiran Anak Mahmud Iskandar mempunyai firasat yang menjangkau ufuk barat. Pada tahun 1746, baginda mengambil keputusan berani untuk tidak menetap di Sabah, Johor, atau Riau yang ketika itu sedang bergolak akibat perebutan kuasa Bugis dan monopoli Belanda. Baginda sebaliknya belayar ke utara menuju ke Kedah, sebuah pelabuhan entrepot masyhur yang menjadi gerbang kepada pedagang India dan Timur Tengah. Visi baginda adalah untuk membina sebuah pangkalan perdagangan baharu yang melengkapkan rantaian laluan Selat Melaka Utara. Ketibaan baginda di Kampung Agam, Pulau Chendera, telah disambut dengan penuh istiadat oleh pembesar tempatan yang menganggap baginda sebagai saudara serumpun yang bakal membawa kemakmuran bersama.
Pada 21 Mac 1779, Pengiran Anak Mahmud Iskandar telah mendapat perkenan KDYMM Sultan Kedah Ke-20, Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797) untuk meneroka dan membuka petempatan baharu di timur laut Pulau Chendera yang dinamakan sebagai Sikanjang. Kedudukan baginda semakin kukuh susulan perkahwinan dengan YTM Tunku Mariam binti Sultan Abdullah Mukarram Shah pada 13 Januari 1791.
Pada 21 November 1787, pelantikan Pengiran Anak Mahmud Iskandar secara rasmi sebagai Penghulu Sikanjang yang pertama oleh Sultan Kedah telah menandakan bermulanya susur galur Wangsa Diraja Inderaloka. Di bawah pentadbiran baginda, Sikanjang muncul sebagai kawasan pertanian padi yang makmur, hasil pemulihan sistem pengairan terusan lama yang asalnya dibina pada zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661-1687).
Serangan tentera Siam ke atas Kedah pada 12 November 1821 telah mengubah landskap politik serantau. Lantaran pihak British yang berasa kedudukan mereka di Perak terancam, maka Perjanjian Burney termeterai dengan pengakuan tuntutan Siam ke atas negeri-negeri utara Perak; Kedah, Kelantan, Terengganu; dan menidakkan kedudukan Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, sekali gus mencetuskan Perang Musuh Bisik. Pengiran Anak Mahmud Iskandar turut terlibat dalam penentangan peperangan tersebut yang meletus pada 3 Januari 1830. Baginda mangkat pada 30 April 1831, meninggalkan legasi perjuangan kepada waris baginda.
Anakanda Pengiran Anak Mahmud Iskandar dan Tunku Mariam, YM Pengiran Abdul Rahman, telah dilantik sebagai Penghulu Sikanjang yang kedua. Struktur pentadbiran berubah apabila pada 27 Mac 1839, selepas berakhirnya peperangan. Di Bangkok, Raja Rama III merombak semula pentadbiran Kesultanan Kedah yang membawa kepada pembahagian wilayah ke 5 buah negeri baharu, iaitu Kedah, Kubang Pasu, Perlis, Setul dan Pulau Chendera serta ditadbir oleh gabenor-gabenor berasingan. Pulau Chendera telah dipisahkan daripada pertuanan Kedah dan kerajaan Siam melantik Yang Amat Mulia Putera Long Krok sebagai Gabenor Pulau Chendera, manakala Pengiran Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Gabenor. Pulau Chendera telah dibahagikan kepada enam daerah pentadbiran:
Temakah (Barat Laut)
Long Sabak (Utara)
Seri Santubong (Timur Laut)
Rimbawan (Tenggara)
Ujong Meranti (Barat Daya)
Bagan Suri (Selatan)
Kemangkatan Putera Long Krok pada 6 Julai 1839 membolehkan Pengiran Abdul Rahman dilantik sebagai Gabenor Pulau Chendera. Kemuncak kedaulatan berlaku pada 1 Oktober 1843 apabila beliau dimasyhurkan oleh Baginda Raja Siam, Raja Nangklao (Rama III) sebagai Raja Inderaloka dengan gelaran penuh; Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Abdul Rahman. Baginda dikurniakan gelaran rasmi Phraya Ritprawirat Suriyathamrach Wichit Suranat Phra Indra (Thai: พระยา ฤทธิ์ประวีรัตน์ สุริยธรรมราช วิจิตร สุรนาถ พระอินทร์), atau ringkasnya Phya Indra. Peristiwa ini menandakan permulaan status baharu Inderaloka sebagai sebuah negeri naungan Siam, dengan ibu negeri berpusat di Sikanjang. Penghantaran ufti Bunga Emas turut dilakukan oleh Raja Abdul Rahman kepada Raja Siam.
Era ini menyaksikan pembangunan pesat di bawah pemerintahan raja-raja yang berwawasan:
Tuanku Raja Abdul Halim Mu'adzam al-Muqtasimu Billah Shah al-Haj (1890-1896): Memperkukuh hubungan diplomatik dengan Siam dan Kedah serta mendapatkan dana pinjaman untuk pembangunan prasarana.
Tuanku Raja Mizan Zainal Abidin al-Mutawakkil Alallah (1896-1913): Memodenkan infrastruktur Inderaloka menerusi pembinaan jalan raya, sistem tali air, dan pasar baharu di Ujong Meranti.
Selepas kemangkatan DYMM Tuanku Raja Abdul Halim Mu'adzam al-Muqtasimu Billah Shah al-Haj pada 1896, Kesultanan Kedah cuba untuk mengembalikan Inderaloka sebagai sebuah daerah di dalam Kedah, tetapi tuntutan ini tidak mendapat perkenan daripada Raja Chulalongkorn. Tanpa berputus asa, Kedah mencuba lagi menggunakan Sistem Thesaphiban (1897), di mana Sultan Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai Pesuruhjaya Monthon Saiburi untuk Kedah, Inderaloka dan Setul, serta mendakwa Inderaloka kembali ke dalam kekuasaan Kedah.
Untuk melaksanakan tuntutan itu, Kedah menghantar Tuan Mansur Jaafar ke Bagan Suri, tetapi Raja Mizan Zainal Abidin dan pembesar Inderaloka memulaukan rancangan pentadbiran Kedah. Dato’ Perdana Menteri Wan Mat Saman turut hadir, namun tuntutan Kedah tetap ditentang. Raja Mizan Zainal Abidin menegaskan haknya melalui Surat Tera Diraja kurniaan Raja Chulalongkorn, mengekalkan kedaulatan Inderaloka tanpa pertumpahan darah.
Tuanku Raja turut menghantar penasihat kanan baginda, Haji Nik Salim ke Bangkok dan baginda sendiri membentangkan isu ini kepada Raja Chulalongkorn ketika lawatannya di Pulau Pinang. Akhirnya, pada 18 Mac 1898, Raja Chulalongkorn mengesahkan hak Raja Mizan Zainal Abidin yang menegaskan kebebasan Inderaloka daripada pertuanan dan kekuasaan Kedah ke atasnya. Tindakan ini menamatkan tuntutan Kedah terhadap Inderaloka.
Baginda Raja Mizan Zainal Abidin turut menyedari bahawa kedudukan Inderaloka di laluan sempit Selat Melaka, diapit oleh Langkawi dan Pulau Pinang, memberikan kelebihan geografi yang unik. Ekonomi berasaskan padi semata-mata dilihat tidak memadai untuk menampung pemodenan negara. Lantaran itu, baginda telah mengambil langkah berani pada tahun 1905 dengan mengisytiharkan Bagan Suri sebagai Pelabuhan Bebas Cukai (Free Port).
Dasar ini menjadikan Bagan Suri sebagai hab transit pilihan bagi pedagang-pedagang dari Selatan Siam, Burma, dan Sumatera yang ingin mengelakkan cukai tinggi di pelabuhan kolonial British. Keputusan strategik ini telah mengubah landskap ekonomi Inderaloka daripada agraria kepada perdagangan maritim (entrepôt), sekaligus mengukuhkan perbendaharaan negara.
Raja Mahmud Shah (1913-1965): Mewarisi sebuah negara yang kini makmur hasil perdagangan, baginda menubuhkan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun 1915 dan memimpin negara mengharungi cabaran zaman penjajahan. Seiring dengan kekayaan baharu negara, pada 6 Ogos 1935, Baginda mencetuskan perancangan pembinaan Bandar Astaputra. Inisiatif ini didorong oleh keperluan mewujudkan pusat pentadbiran moden yang lebih tersusun berbanding Sikanjang yang padat, menggunakan hasil cukai perdagangan yang dikumpul di Bagan Suri.
Menerusi Perjanjian Inggeris-Siam 1909, Inderaloka secara rasmi diletakkan di bawah naungan British. Walau bagaimanapun, Raja Mizan Zainal Abidin dan penggantinya, Raja Mahmud Shah, berjaya melengahkan penerimaan Penasihat British secara rasmi melalui kebijaksanaan diplomasi. Baginda berhujah bahawa pentadbiran Inderaloka sudah cukup teratur dan mempunyai hasil mahsul yang kukuh hasil kepesatan Pelabuhan Bagan Suri, maka tidak memerlukan campur tangan asing dalam pentadbiran.
Pihak British, yang ketika itu lebih menumpukan sumber kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bersetuju untuk hanya menempatkan seorang Ejen Konsular di Sikanjang bermula tahun 1910. Ejen Konsular ini hanya bertindak sebagai pemerhati dan penghubung diplomatik tanpa kuasa eksekutif.
Namun, situasi berubah apabila Kemelesetan Ekonomi Dunia melanda pada tahun 1929, yang teruk menjejaskan perdagangan antarabangsa di Bagan Suri. Demi mendapatkan bantuan kewangan dan perlindungan perbankan British untuk memulihkan ekonomi negara, Raja Mahmud Shah akhirnya terpaksa akur kepada desakan London. Maka, pada 13 Februari 1930, sistem Ejen Konsular ditamatkan dan digantikan dengan pelantikan A.H. Duke sebagai Penasihat British yang pertama. Beliau berperanan menasihati Raja dalam semua urusan pentadbiran kecuali hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Inderaloka telah diduduki oleh tentera Jepun bermula 12 Disember 1941. Pada 18 Oktober 1943, pentadbiran Jepun menyerahkan Inderaloka kepada kerajaan Siam sebagai balasan kerjasama yang diberikan semasa penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu mendapat kejayaan besar. Dalam tempoh yang sukar ini, Raja Mahmud Shah mengambil pendekatan diplomasi berwaspada bagi mengekalkan kestabilan negara.
Dalam tempoh pendudukan ini, projek pembangunan Bandar Astaputra telah tergendala, manakala sebahagian kemudahan yang telah dibina digunapakai untuk tujuan logistik serta pentadbiran ketenteraan oleh pihak ketenteraan Jepun dan Siam. Walau bagaimanapun, infrastruktur asas seperti rangka jalan, saliran utama dan bangunan pentadbiran awal kekal wujud, sekali gus memudahkan proses pemulihan dan pembangunan kembali bandar tersebut selepas perang berakhir.
Selepas kekalahan Jepun pada 15 September 1945, Siam menyerahkan kembali Inderaloka kepada British pada 2 September 1945. Pentadbiran Tentera British (BMA) mula dilaksanakan di Inderaloka ketika kemelut komunis yang bermaharajalela sebelum British benar-benar kembali berkuasa. Satu perjanjian rasmi dimeterai pada 12 Oktober 1945. DYMM Tuanku Raja Mahmud al-Muqtafi Billah Shah, Raja Inderaloka keempat, berjaya mendesak British untuk memasukkan satu Klausa Khas dalam perjanjian tersebut yang menjamin hak autonomi Inderaloka, sebelum menerima kemasukan semula Penasihat British, William Henderson, pada 15 Oktober 1945.
Parti Kebangsaan Inderaloka (PKI) ditubuhkan pada 11 Mei 1946 bagi menuntut pemulihan kuasa mutlak Raja dan kemerdekaan. Apabila cadangan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan kemudiannya Malaysia (1963) diutarakan, golongan peniaga dan pembesar istana Inderaloka menyuarakan kebimbangan besar.
Inderaloka, yang telah menikmati kemakmuran sebagai sebuah Pelabuhan Bebas sejak 1905, enggan menyertai persekutuan tersebut kerana bimbang status pengecualian cukai di Bagan Suri akan ditarik balik dan hasil negara perlu diserahkan kepada Kerajaan Pusat di Kuala Lumpur.
Menjelang rundingan pembentukan Malaysia, Inderaloka berhadapan dengan dilema geopolitik yang unik. Berbeza dengan Singapura atau Pulau Pinang yang terpalit dengan isu demografi, kegusaran utama Inderaloka bertumpu kepada kelangsungan status Pelabuhan Bebas Bagan Suri. Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur menuntut penyelarasan cukai dan tarif, yang secara langsung menuntut Inderaloka memansuhkan keistimewaan pelabuhan bebasnya.
Majlis Mesyuarat Negara, di bawah naungan kebijaksanaan DYMM Tuanku Raja Abdul Aziz al-Muhtadee Billah Shah, berpendirian bahawa penyertaan ke dalam Malaysia bakal melumpuhkan ekonomi negara yang bersandarkan perdagangan transit (entrepôt). Tambahan pula, rakyat jelata khususnya komuniti pedagang Melayu dan Cina menyuarakan kebimbangan bahawa hasil mahsul pelabuhan bakal diserap ke Kerajaan Pusat, sekaligus merisikokan Inderaloka menjadi sekadar sebuah negeri pinggiran.
Kemuncak kepada perjuangan ini diterjemahkan melalui Referendum 1963 yang diadakan pada 7 Januari. Keputusan rasmi menyaksikan 78% rakyat Inderaloka menolak penyertaan tersebut, didorong oleh semangat untuk mempertahankan autonomi fiskal dan penguasaan hasil bumi tempatan.
Keputusan rakyat Inderaloka telah mengundang pelbagai reaksi diplomatik serantau:
Malaysia: YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menzahirkan kekecewaan namun menghormati mandat rakyat Inderaloka.
Brunei: Memberikan sokongan penuh atas semangat persaudaraan sesama Kesultanan Melayu yang berdaulat.
Indonesia: Presiden Soekarno menyambut baik keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai manifestasi kebangkitan nusantara, selari dengan agenda Konfrontasi beliau.
Thailand: Mengalu-alukan kewujudan sebuah negara penimbal yang bebas dan bersahabat.
Singapura: Melihat Inderaloka sebagai model kejayaan bagi kelangsungan sesebuah negara kecil (city-state).
Dalam tempoh transisi ini, Bandar Astaputra telah dimasyhurkan sebagai pusat pentadbiran, menjadi simbol nyata kepada keupayaan Inderaloka untuk mentadbir urus negara tanpa campur tangan kuasa asing.
Susulan penolakan tersebut, Inderaloka tidak terus mencapai kemerdekaan penuh. Sebaliknya, menerusi Perjanjian Sikanjang 1963, Inderaloka kekal sebagai sebuah Negeri Naungan British. British terus mengawal hal ehwal luar negeri dan pertahanan, manakala Inderaloka diberikan kuasa autonomi penuh dalam pentadbiran dalaman, kewangan, dan adat istiadat.
Sepanjang tempoh 13 tahun ini, Inderaloka menumpukan kepada pengukuhan infrastruktur di Bandar Astaputra dan memodenkan angkatan keselamatan tempatan sebagai persediaan untuk mengambil alih tanggungjawab pertahanan daripada British.
Titik tolak sebenar ke arah kemerdekaan mutlak berlaku pada tahun 1974 apabila gas asli dan petroleum ditemui di luar pesisir Wilayah Temakah (Lembangan Mergui) di Laut Andaman. Penemuan ini mengubah nasib Inderaloka secara drastik. Dengan hasil royalti minyak yang bakal diperolehi, DYMM Tuanku Raja Abdul Aziz yakin bahawa Inderaloka kini mampu membiayai pertahanan dan hubungan diplomatiknya sendiri tanpa bergantung kepada British.
Rundingan kemerdekaan di London pada awal 1976 berlangsung dengan lancar memandangkan British sedang dalam proses decolonization global. British bersetuju melepaskan naungan mereka, menjadikan Inderaloka sebuah negara berdaulat sepenuhnya, lapan tahun lebih awal berbanding Kesultanan Brunei.
Pada hari Jumaat, 23 Julai 1976, tepat jam 12:00 tengah malam, DYMM Tuanku Raja Abdul Aziz Shah al-Haj telah mengisytiharkan kemerdekaan Inderaloka di Stadium Jagat Raya, Bandar Astaputra dengan laungan 'Merdeka!' sebanyak tujuh kali, disahut gemuruh oleh rakyat jelata, menandakan lahirnya sebuah negara bangsa baharu di rantau Alam Melayu dan Asia Tenggara. Dalam istiadat yang penuh gilang-gemilang itu, baginda telah menitahkan pertukaran gelaran ketua negara daripada "Raja" kepada "Sultan" bagi melambangkan kedaulatan mutlak yang setaraf dengan raja-raja Melayu yang lain dan dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Abdul Aziz al-Muhtadee Billah Shah al-Haj ibni al-Marhum Raja Mahmud al-Muqtafi Billah Shah, Sultan Inderaloka dan Yang di-Pertuan bagi Negara dan Sekalian Jajahan Naungannya.
(buat kenyataan media yg inform bukan title sultan je berubah, semua royal titles di-reshuffle dan diperkembangkan (tambahan beberapa royal titles)
Pemilihan Bandar Astaputra sebagai lokasi pengisytiharan kemerdekaan menegaskan kedudukannya sebagai ibu negara baharu Inderaloka, simbol kedaulatan, kemodenan dan aspirasi masa hadapan negara.
Dalam masa yang sama, Sikanjang dikekalkan sebagai bandar warisan dan pusat sejarah diraja, menempatkan istana lama, makam diraja, serta institusi adat dan sejarah negara, bagi memelihara kesinambungan tradisi dan identiti kebangsaan.
Sejak mencapai kemerdekaan, Inderaloka terus membangun sebagai sebuah negara berdaulat. Namun, lonjakan ekonomi sebenar berlaku pada tahun 1974 apabila gas asli dan petroleum ditemui di luar pesisir Wilayah Temakah (Lembangan Mergui), di bahagian Laut Andaman. Penemuan ini, digabungkan dengan status pelabuhan entrepôt yang sedia ada, telah memacu Inderaloka menjadi negara berpendapatan tinggi. Kerajaan telah menubuhkan Petroleum Inderaloka (PETROKA) untuk menguruskan hasil bumi ini dengan cekap.
Keanggotaan Inderaloka dalam ASEAN pada tahun 1984, serentak dengan kemasukan Brunei Darussalam, mengukuhkan lagi hubungan diplomatik serantau, menjadikan Inderaloka model negara kecil yang makmur dan stabil di Asia Tenggara.
Pencapaian utama negara termasuklah:
Diplomasi: Menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1965 dan ASEAN pada tahun 1984.
Ekonomi Dual-Enjin: Membangunkan ekonomi yang unik dan stabil hasil gabungan sektor perdagangan maritim (Pelabuhan Bagan Suri) dan sektor tenaga (Minyak & Gas), disokong oleh pelancongan dan pertanian moden.
Kestabilan Mata Wang: Memperkenalkan mata wang Kencana Inderaloka yang kukuh, disandarkan kepada rizab emas dan aset negara.
Warisan: Memelihara warisan budaya Melayu berteraskan sistem Raja Berperlembagaan yang progresif.
Inderaloka terus memelihara jati diri yang unik sebagai warisan Kesultanan Kedah dan Brunei. Melalui kebijaksanaan diplomasi, kedaulatan negara ini berjaya dipertahankan. Dengan gandingan tradisi dan kemodenan yang seimbang, Inderaloka kekal sebagai lambang kejayaan sebuah negara monarki Melayu yang progresif di rantau Asia Tenggara.
Disusun oleh: Lembaga Sejarah dan Adat Istiadat Inderaloka, Edisi 2024