PERMOHONAN KEMASUKAN SESI 2026
Tarbiyyah adalah satu terma dalam Bahasa Arab yang memiliki maksud yang mendalam. Dari sudut bahasa ia membawa maksud pendidikan atau pengasuhan. Dari segi istilah pula, perkataan tarbiyyah bermaksud cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan kaedahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.
Tugas mentarbiyyah yang pertama dan utama jatuh kepada setiap bapa dan ibu di rumah masing-masing, bermula sejak anak pertama mereka dilahirkan.
كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ
“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah.Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani"
Peranan mendidik hendaklah dilakukan secara bekerjasama antara bapa dan ibu. Al Quran menceritakan lebih banyak kisah hubungan pendidikan antara bapa dan anak, bukan antara ibu dan anak. Ini menggambarkan bahawa bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemenjadian anak-anaknya. Justeru itu anak-anak dalam Islam dibin kan kepada bapa, bukan kepada ibu.
Hubungan antara seorang anak dan ibu adalah terlalu rapat sehingga hampir tidak perlu untuk diberikan penekanan tentang peranannya kerana seorang ibu yang normal mengasihi anak-anak sepenuhnya kerana dia telah mengandungkan anak-anaknya denga susah payah dan melahirkannya dengan kesakitan dan kepayahan. Setelah susah payah ini, ibu setiap saat memikirkan apa yang terbaik bagi anaknya. Berbeza dengan bapa, segala keletihan dan kesakitan itu tidak dirasai, walaupun bapa melihat dan menyaksilan kesemua yang dihadapi oleh ibu anaknya. Maka seorang bapa yang bersyukur, atas kasih sayangnya, menyambung tugas membentuk insan rabbani yang merupakan tugasnya sebagai bapa yang diceritakan dan diterangkan dalam Al Quran.
Dalam Al Quran, diterangkan dengan jelas peranan bapa yang sebenarnya dalam pendidikan.
1) Nasihat pertama Luqman kepada anaknya adalah berkaitan pegangan hidup anaknya iaitu tauhid. Inilah ciri insan Rabbani yang pertama dan utama.
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:
"Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
Surah Luqman Ayat 13 (31:13)
2. Wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub supaya anak-anak memastikan hidup dan mati mereka dalam keadaan Islam, iaitu beriman sebenarnya kepada Allah.
“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (al-Baqarah: 132).
3. Pertanyaan Nabi Ya'qub kepada anak-anaknya sebelum wafat menunjukkan perlunya dan telah berakunya proses bimbingan dan pemantauan yang berterusan oleh seorang bapa terhadap anak-anaknya dalam pembentukan aqidah dan cara hidup mereka tanpa cuai sejak dari kelahiran anak-anak sehingga hari terakhir dalam kehidupannya.
Semasa Nabi Ya'qub A.S. sedang nazak, baginda memanggil semua anak-anak baginda dan berpesan seperti yang disebutkan dalam al-Quran:
Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya" " (Al-Baqarah, 2: 132-133)
4. Peranan bapa merapati anak-anak, mendidik anak agar berakhlak mulia, mengajar anak agar beradab denga ibu bapa dan orang tua, mengajar anak bersabar, mengajar anak takut kepada Allah, memastikan anak-anak mendirikan solat, mendidik anak agar sukakan kebaikan dan membenci kemungkaran serta mencegahnya, seterusnya sabar dalam usaha tersebut, sentiasa rahmah dan tidak sombong atau angkuh dengan manusia atas apa-apa kelebihan yang ada, bersederhana dalam segala hal, memberi panduan, mendidik cara berfikir dan berterusan memberi nasihat berguna kepada anak-anak dengan hikmah dan kasih sayang.
Ini sangat jelas dalam Al Quran dalam surah Luqman ayat 13 hingga 19.
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar". (13) Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu. (14) Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (15) (Luqman berkata): "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (16) Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). (17) Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. (18) Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai. (19).
Kerjasama antara kedua bapa dan ibu dalam melaksanakan tugas yang diberikan Allah adalah kunci utama kemenjadian seorang insan.
Ini adalah sistem pentaksiran menyeluruh (holistik) yang ingin dilaksanakan oleh pihak sekolah semasa murid-murid berada di sekolah-sekolah rangkaian Ikram Musleh yang bertujuan mentaksir usaha yang dilakukan oleh para pendidik dan hasil atau pencapaian murid dalam semua bidang yang ditaksir.
Sistem Pentaksiran Konstruk Pelajar Ikram Musleh mentaksir aspek kemenjadian murid secara menyeluruh meliputi aspek ilmu, ibadah, akhlaq , kepimpinan, kekeluargaan, sosial, emosi, jasmani dan rohani.
SPPIM dirangka khas bagi mencapai 10 sifat peribadi muslim yang unggul seperti dibawah :
Aqidah yang benar dan bersih
Ibadah yang sahih
Akhlaq yang mantap
Mampu berdikari
Memiliki ilmu yang mantap atau berpengetahuan luas
Tubuh badan yang kuat dan cergas
Bermujahadah dan menguasai diri
Teratur urusannya
Menghargai dan menjaga masa
Bermanfaat kepada orang lain.
Aqidah yang benar dan bersih sudah tentunya menjadi fokus utama sistem ini kerana ini adalah penyelamat seseorang dalam kehidupan di alam akhirat kelak. Dalam hal ini, pihak sekolah memasukkan dalam silibusnya mata pelajaran aqidah. Disamping itu, pihak sekolah juga mengimplementasikan satu elemen yang dipanggil Aqidah Merentas Kurikulum (AMK) dimana setiap matapelajaran yang bukan berasaskan syariah (seperti matematik, sains, bahasa inggeris dan lain-lain) diwajibkan agar di laksanakan dengan memasukkan elemen AMK ini tanpa kecuali. Diharapkan dengan langkah ini, murid-murid akan mendapat nilai aqidah dan memahami aqidah dengan cara yang benar , bersih dan tepat.
Dalam aspek ibadah, SPPIM memberi penekanan kepada solat sebagai tonggak dan titik tolak ibadah dan akhlaq mulia.
Firman Allah:
“Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (al-Ankabut: 45)
Aspek ini ditaksir dalam semua aspeknya seperti perlakuan yang betul, bacaan yang betul, keikhlasannya ( tidak perlu disuruh..), kekhusyukannya, ketepatan waktunya, sunnah dalam wudhuk dan solat, demikian juga aspek berjamaah dalam sembahyang yang jarang-jarang diberi penekanan oleh sebahagian besar ummat Islam. Perkara-perkara ini dilakukan secara berperingkat sehingga sekolah menengah. Sebahagiannya belum di nilai pada fasa sekolah rendah, namun akan dinilai di sekolah menengah yang mengaplikasi sistem yang sama.
Ibadah yang sahih juga bermaksud ibadah yang ada asal usulnya dalam agama Islam iaitu dari al-quran dan sunnah dan petunjuk dari para ilmuan Islam yang benar dan soleh.
Akhlaq adalah tujuan utama nabi Muhammad s.a.w diutuskan sebagaimana sabdanya :
"Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlaq yang mulia"
Sepertimana dimaklumi, para rasul diutus bagi mengajak manusia kembali menyembah Allah. Maka buah dari pengabdian sebenar kepada Allah adalah akhlaq yang mulia.Tidak dapat disangkal lagi bahawa tujuan utama pendidikan di sini adalah membentuk akhlaq mulia. Usaha pembentukan akhlaq ini sudah tentunya memerlukan usaha gigih dan contoh teladan yang terpuji terutamanya dari semua warga sekolah termasuk guru-guru, kakitangan serta ibubapa seluruhnya.
Mampu berdikari adalah satu ciri yang menyerlahkan tahap kematangan seseorang. Selagi seseorang anak tidak mampu mengurus hal-hal peribadi seperti pakaiannya, kasutnya, alat tulis dan buku-bukunya, selagi itu ia dianggap tidak mampu berdikari (bergantung pada tahap umurnya, sudah semestinya ada tahap-tahap yang seharusnya dicapai).
Memiliki ilmu yang mantap dan pengetahuan yang luas
Seseorang murid sekolah rendah sudah tentu belum tinggi ilmunya. Begitupun mereka sudah boleh dilatih untuk memiliki budaya ilmu seperti membaca pelbagai jenis buku, tidak terhad kepada komik-komik yang diminati atau yang seumpamanya sahaja. Murid juga perlu dilatih untuk mengambil tahu tentang isu semasa terutamanya berkaitan ummat islam, isu masyarakat sekitar, isu kesihatan dan sebagainya. Dalam masa yang sama, murid-murid sudah tentunya perlu digesa untuk sentiasa melaksanakan tugas mereka sebagai murid, menyiapkan tugasan atau kerja rumah yang diberi dan mengulangkaji demi meningkatkan ilmu.
Dalam aspek ilmu, SPPIM memberi penekanan dan fokus agar setiap murid memiliki dua bentuk ilmu yang disebut sebagai ilmu syariat ( Aqidah, Akhlaq, Seerah, Fiqh, Al Quran ) dan ilmu alat ( Bahasa, Sains, Matematik dan lain-lain).
Ilmu syariat adalah ilmu yang wajib dimiliki setiap murid, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan sepanjang waktu. Ilmu syariat perlu dimiliki secara mantap dan tidak sesekali ditinggalkan sepanjang hayat kerana ia sentiasa diperlukan oleh setiap insan dalam setiap fasa kehidupan. Tanpa ilmu syariat, anak-anak kita pasti akan kehilangan arah tujuan kerana ia berperanan sebagai kompas dalam kehidupan. Pada zaman ini sebahagian ummat Islam menganggap ilmu ini adalah ilmu kelas dua yang kurang atau tidak memiliki nilai dalam kehidupan mereka. Kefahaman yang seperti ini perlu diubah bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan diberkati didunia dan keselamatan di akhirat kelak.
Ilmu alat adalah ilmu yang perlu bagi menghadapi kehidupan didunia ini. Setiap peribadi mestilah menguasai sekurang-kurangnya satu bidang ilmu yang boleh menjadi sumber penghidupannya didunia ini dan memenuhi tuntutan fardhu kifayah yang di tuntut. Setiap peribadi dituntut membina kehidupan dengan cara yang halal, tidak bergantung kepada orang lain, tidak meminta-minta, bahkan dituntut agar dapat memberi sumbangan kepada dunia ini dengan ilmu yang dimilikinya.
Tubuh badan yang sihat dan kuat adalah prasyarat untuk membolehkan seseorang itu mampu melakukan tugas-tugasnya walau siapapun dia, samada murid sekolah atau mahasiswa universiti, pekerja bawahan atau atasan, seorang doktor mahupun ustaz dan sebagainya.
Mampu bermujahadah dan mengawal emosi dan kehendak diri juga adalah satu perkara yang amat perlu ditekankan pada masa kini kerana kajian telah menunjukkan bahawa kejayaan seseorang bukan semata-mata bergantung pada kekuatan mental atau mindanya tetapi lebih banyak bergantung kepada kemampuan seseorang mengawal diri dan memahami orang lain yang berada disekitarnya serta bertindak selaras dengan kefahaman terhadap insan lain secara yang betul.
Bermujahadah dalam menjaga syariat, menjauhkan diri dari dosa dan maksiat adalah satu kemahiran yang perlu dilatih sejak kecil. Kemahiran menolak ajakan-ajakan kepada perlakuan yang membuang masa, mendatangkan dosa dan seumpamanya adalah sesuatu yang perlu diajarkan kepada anak-anak dengan penuh hikmah dn kebijaksanaan.
Keteraturan adalah sangat perlu dalam kehidupan seseorang. Seseorang yang teratur hidup dengan lebih selesa dan menyejukkan pandangan semua orang yang berada bersamanya. Keteraturan dalam berfikir banyak berkait dan dibantu oleh keteraturan dalam menjalani kehidupan seharian. Oleh yang demikian, tahap kejayaan seseorang juga akan ditentukan oleh sejauhmana seseorang itu teratur dalam hidupnya.
Menghargai dan menjaga masa adalah satu sifat yang sangat disukai dan dicintai oleh Allah. Sifat ini amat berkait rapat dengan sifat sebelum ini iaitu keteraturan. Seseorang yang menghargai masa pastinya tidak akan membiarkan masanya berlalu tanpa sebarang faedah. Oleh itu dia akan mengatur setiap urusannya agar segala tugas dapat dilaksanakan sebaiknya dalam tempoh yang ditentukan. Surah Al-Asr jelas memberikan kita petunjuk iaitu setiap orang berada dalam kerugian melainkan mereka yang beriman, seterusnya mengisi kehidupannya (masanya) melakukan amal soleh yang tentunya berfaedah kepada dirinya sendiri dan kepada insan dan makhluk lain, seterusnya nasihat menasihati dengan kesabaran demi menepati kebenaran yang diturunkan Allah.
Para ibubapa pastinya ingin agar anak-anak mereka menjadi orang berguna bila dewasa kelak. Impian ini tentunya tidak akan berhasil tanpa ada sebarang usaha untuk melatih anak-anak agar selalu membantu orang lain yang berada disekelilingnya. Dengan cara ini anak-anak dilatih untuk bermanfaat kepada orang lain. Selain itu ia juga perlu dilatih agar jangan melakukan perkara-perkara yang boleh menyusahkan oranglain. Sifat ini banyak berkait dengan sifat berdikari diatas dimana anak-anak sentiasa berusaha agar melakukan sesuatu yang mampu dilakukannya sendiri seperti melihat jadual dan memasukkan buku setiap hari, membasuh kasut dan menggosok baju sendiri dan sebagainya. Dengan cara ini murid berusaha agar tidak menyusahkan ibunya atau kakaknya. Hatinya akan merasa sedih sekiranya terpaksa menyusahkan orang lain bagi mengurus urusan yang dia mampu melakukannya sendiri.
FENOMENA AZAN SELURUH DUNIA
KEUTAMAAN SOLAT 5 WAKTU