LAPORAN GREW HEROES LEADERSHIP CAMP 2022
Pada 10 Disember hingga 12 Disember 2022 yang lalu, Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menganjurkan “GREW Heroes Leadership Camp” di Pusat Kokurikulum Pulau Pinang, Bukit Mertajam. Kem ini melibatkan 11 buah sekolah iaitu SMK Batu Maung, SMK Convent Pulau Tikus, SMK Abdullah Munshi, SMJK Chung Ling, SMJK Chung Hwa Confucian, SMK Convent Butterworth, SMK Dato Onn Butterworth, SMK Kampong Kastam, SMJK Jit Sin, SMK Berapit dan SMK Tasek. Tujuan kem ini diadakan adalah untuk memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan remaja bagi melatihkan diri, serta orang lain untuk memelihara alam sekitar kita.
Pada hari pertama, para pelajar telah menaiki bas ke “Batu Maung Waste Transfer Station” di Pulau Pinang. Pelajar telah menjamu sarapan pagi dan menyertai diri dalam perasmian kem. Kem ini dirasmikan oleh Dato’Ir. Rajendran A/L P.Anthony selaku Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan disertai oleh Encik Kenny Yeoh, CEO Eurasia Express SDN.BHD pada 10 Disember 2022. Seterusnya, acara Ice Breaking pula diadakan yang bertujuan untuk memperkenalkan diri antara satu sama lain dan memberanikan diri bersuara dengan rakan-rakan mereka. Selepas itu, taklimat dan lawatan turun padang telah dijalankan di “Batu Maung Waste Transfer Station” untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pelupusan sampah di sana.
Seterusnya, suatu tinjauan awam telah dijalankan di Pasar Bayan Baru, Pulau Pinang yang bertemakan pengasingan sisa dan plastik sekali guna. Tinjauan ini bertujuan untuk mengetahui dan menganalisis pengetahuan am rakyat tentang tema-tema tersebut. Kami melakukan tinjauan tersebut dengan berkumpulan, dan setiap kumpulan terdiri daripada 5 pelajar seperti yang diagihkan oleh penganjur dan kemudian, diberi tajuk untuk tinjauan kami pada hari itu. Walaupun kami menghadapi pelbagai cabaran dan halangan, kami masih bertekad untuk melengkapkan tinjauan kami dalam masa yang diberikan.
Selepas menjamu makanan tengah hari, kami ke sesi pertama di mana kami dikehendaki melakukan analisis dan mengetahui isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh Pulau Pinang. Dengan berkumpulan bagi sesi kedua, kami juga membentangkan isu-isu tersebut kepada pakar dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan seterusnya, mendengar kritikan atau pandangan daripada mereka.
Selepas itu, kami ke sesi 3 iaitu perbincangan dalam kumpulan untuk menyediakan pembentangan cadangan untuk digunakan pada tahun hadapan. Sesi ini dibimbing dan diadili oleh Dr. Theng Lee Chong, Pakar Alam Sekitar/ Pengurusan Sisa, En. Chew Eng Seng, Pegawai Agenda Tempatan MBSP 21, Cik Amira binti Ahmad , Timbalan Pengarah Jabatan Masyarakat MBSP, Cik Teh Chen Yee, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP serta seorang wakil daripada MBPP. Dua cadangan yang terbaik telah dipilih oleh hakim selepas pembentangan tersebut.
Kemudian, selepas minum petang, kami bertolak ke Pusat Kokurikulum Pulau Pinang yang berlokasi di Bukit Mertajam dan menjalani taklimat penggunaan fasiliti serta makan malam. Pada pukul 8.30 malam, kami mengadakan perbincangan berkumpulan di mana kami dikehendaki bersiap sedia untuk “Nature Night” yang akan berlangsung pada malam seterusnya. Kami bekerjasama bersama-sama bagai aur dengan tebing untuk menyediakan diri bagi keesokan malam tersebut.
Pada keesokan harinya, sebagai permulaan yang lebih produktif, kami berkumpul tepat pada pukul 7.30 pagi bagi senaman Zumba yang diketuai oleh Cikgu Ariza.
Seterusnya, kami ke sesi 4, iaitu “Lets be a Young Reporter” yang dibimbing oleh seorang pencipta kandungan dan penceramah bengkel videografi terkenal, Encik Mohammad Danish Firdaus bersama penyelaras program Green Growth Asia Foundation (GGAF) iaitu Puan Siti Hajar Jamal. Beliau telah mengajar dan mendidik kami dengan pelbagai idea untuk mencipta kandungan dan kemahiran menyunting bagi vlog atau video rekaan. Kami ingin menghulurkan perasaan terima kasih kepada GGAF untuk sesi yang menarik itu.
Setelah menjamu makanan tengah hari, kami menuju ke sesi kelima iaitu forum bertajuk "Apa yang boleh dilakukan oleh remaja?". Kami mempunyai En. Khou Jerome, Pengerusi GREW Penang sebagai moderator, En Shahrul Nizam bin Mohamad Shukri, Pengerusi Greensmiths Pulau Pinang dan En. Calvin Chan, Pengasas Green Hero sebagai penceramah pada hari itu. Selepas forum tersebut, kami menyediakan pembentangan secara berkumpulan dari segi “Gallery Walk” tentang apa yang boleh dilakukan oleh kita sebagai seorang remaja bagi memelihara alam sekitar dan menyelamatkan bumi kita.
Selepas berehat sebentar, seorang pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia telah dijemput untuk memberi latihan kepimpinan kepada kita bagi sesi keenam. Sesi ini telah mengajar kita ciri-ciri dan kualiti seorang pemimpin yang baik. Kami berlakon dan membentangkan pelbagai senario yang menunjukkan kemampuan dan keperibadian seorang pemimpin.
Pada pukul 6 petang, “BBQ Night” telah dijalankan dengan pembentukan “Green Heroes Council” bagi tahun 2023/2024 di mana, calon-calon yang yang memohon jawatan tersebut, sama ada sebagai AJK Induk atau AJK Kerja, perlu menyediakan satu ucapan bagi mempromosikan diri untuk diundi sebagai jawatan yang dipohon. Sambil menjamu selera, kami telah mengundi pelajar yang berkemampuan bagi jawatan tersebut.
Selepas itu, “Nature Night”dijalankan, di mana, setiap kumpulan perlulah menyediakan satu maskot dengan sebuah persembahan yang menerapkan sifat alam sekitar kita. Tiga kumpulan yang amat menarik dipilih untuk persembahan pada hari ke seterusnya. Kami berasa amat terharu dan bangga kerana mampu menyediakan maskot yang amat menarik dalam tempoh yang diberikan.
Pada hari terakhir, 12 Disember 2022, kami bermula dengan sesi senaman Zumba lalu menjalani aktiviti mencabar halangan dan pelbagai lagi aktiviti pengukuhan pasukan.Walaupun takut pada permulaan, kami semua telah berjaya mencabar diri untuk melengkapkan aktivit tersebut.
Kemudian, kami mengadakan majlis penutupan yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi GREW Heroes Council iaitu Sharmatha Vigneswaran dan seterusnya, ucapan penganjur daripada En. Khou Jerome selaku Pengerusi GREW Pulau Pinang serta Yang Berusaha En. Shamsir bin Jemain yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Bakat Pelajar Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Beliau telah melahirkan rasa syukur kerana kem ini telah berjalan dengan lancar. Beliau juga berharap kem-kem seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang dengan lebih banyak aktiviti-aktiviti menarik.
Seterusnya, pencapaian hadiah bagi kumpulan terbaik selama kem 3 hari ini telah disampaikan yang diikuti dengan persembahan serta maskot.
Selepas itu, sijil pelantikan diberikan kepada pelajar yang dipilih untuk Green Heroes Council yang diikuti dengan penyampaian hadiah kepada peserta dari SMK Convent Butterworth bagi pemenang video “Journey of Zero Waste”.
Akhir sekali, penyampaian trofi dan sijil pencapaian diberikan kepada 6 buah sekolah yang berjaya diberi gelaran “5R Ambassador” setelah menghabiskan semua misi dalam “Zero Waste Programme” yang dijalankan dari 12 September 2022 sehingga 12 Disember 2022, iaitu pada hari tersebut.
Majlis penutupan juga berakhir dengan sesi fotografi serta penyampaian sijil dan cenderahati kepada semua peserta kem. Secara kesimpulannya, kem ini telah mendidik pelajar untuk menjadi pemimpin yang berkualiti dan masyarakat yang bertanggungjawab dalam memelihara serta memulihara alam sekitar yang dianggap sebagai khazanah daripada Tuhan. Kami berharap kem seperti ini akan dilaksanakan lagi pada masa hadapan.