Isi Kandungan
Pada sebelah petang 9 Disember 2024, Bahagian Amalan Perubatan (BAP) telah mengadakan lawatan balas ke Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) sebagai susulan kepada lawatan penanda aras yang dilakukan sebelum ini. Lawatan ini bertujuan untuk meneruskan pertukaran pengetahuan, pengalaman, dan amalan terbaik berkaitan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).
Lawatan balas ini diadakan dengan beberapa objektif:
Menjalin hubungan erat antara BAP dan BPP untuk memperkasa pelaksanaan EKSA di kedua-dua pihak.
Memberi peluang kepada BAP untuk mempelajari pendekatan unik yang diamalkan oleh BPP dalam pelaksanaan EKSA.
Mengenal pasti potensi kerjasama dan inovasi dalam usaha meningkatkan kualiti amalan EKSA secara keseluruhan.
Delegasi BAP telah di bawa ke Cawangan Perkembangan Profesion Perubatan, Cawangan Penjagaan Kualiti Perubatan, Unit Penilaian Teknikal Saraan Perubatan serta Unit Penilaian Teknikal Tabung Bantuan Perubatan.
Semasa lawatan, delegasi BAP diberikan taklimat oleh wakil BPP mengenai pendekatan strategik dan inovasi yang telah dilaksanakan di bawah inisiatif EKSA. Ini termasuk:
Amalan terbaik dalam pengurusan ruang kerja.
Sistem pengurusan dokumen dan rekod yang efisien.
Inovasi dengan penggunaan bahan terpakai
Penyeragaman label fail, kubikel dan sebagainya.
Lawatan ini turut melibatkan tinjauan ke kawasan kerja di BPP untuk melihat pelaksanaan praktikal prinsip EKSA, seperti susun atur ruang pejabat, pengurusan bahan buangan, dan dokumentasi. Delegasi BAP berpeluang memberi maklum balas positif dan mencadangkan beberapa penambahbaikan kecil untuk dipertimbangkan oleh BPP.
Lawatan balas ini dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam mengenalpasti dan menambahbaik amalan EKSA di kedua-dua Bahagian. Selain itu, delegasi BAP memuji usaha BPP dalam memastikan pelaksanaan EKSA yang konsisten dan menyatakan beberapa amalan yang dilihat berpotensi untuk diterapkan di tempat mereka. Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berkongsi maklumat dan menyokong satu sama lain dalam pelaksanaan EKSA demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan produktif.
Sekretariat Teknikal EKSA Peringkat Zon Perkembangan Perubatan telah menganjurkan Lawatan Penanda Aras Amalan EKSA di Bahagian Amalan Perubatan (BAP) sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempertingkatkan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di BPP. Lawatan ini melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan dari pelbagai peringkat dalam BPP, dengan tujuan mendapatkan inspirasi dan pembelajaran daripada amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh BAP. Matlamat lawatan ini adalah untuk berkongsi idea dalam memantapkan lagi amalan EKSA di Bahagian ini. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk melihat pelaksanaan aktiviti dan budaya amalan EKSA yang telah dijalankan di bahagian lain dalam Program Perubatan KKM bagi tujuan penambahbaikan amalan EKSA.
Semasa lawatan, delegasi BPP telah diberi taklimat oleh wakil BAP mengenai cabaran dan kejayaan pelaksanaan EKSA di tempat kerja mereka. Delegasi juga dibawa melawat kawasan kerja untuk melihat sendiri pelaksanaan prinsip EKSA seperti kebersihan, penyusunan, dan penyeragaman dokumentasi. Beberapa sesi soal jawab diadakan bagi membincangkan idea dan strategi pelaksanaan, termasuk kaedah menangani cabaran serta cara mengekalkan semangat warga kerja dalam memastikan kejayaan EKSA.
Lawatan penanda aras ini memberi impak yang positif kepada semua peserta. Beberapa amalan terbaik yang diperhatikan seperti susun atur ruang kerja yang kondusif, kawasan go green yang bersih dan ceria, serta kepatuhan kepada garis panduan EKSA. Selain itu, lawatan ini turut membuka ruang untuk pertukaran idea dan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua pihak, yang secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan kerja. Sebagai langkah seterusnya, BPP akan merancang untuk menyesuaikan amalan-amalan tersebut mengikut keperluan dan kapasiti bahagian, dengan harapan dapat meningkatkan kualiti pelaksanaan EKSA di Zon Perkembangan pada masa hadapan.
Pada 12 Jun 2024, Sekretariat Teknikal EKSA Peringkat Zon Perkembangan Perubatan telah menganjurkan Lawatan Penanda Aras Amalan EKSA di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan salah satu agensi luar KKM yang telah memperoleh kategori Cemerlang bagi Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Kendiri 2023. Matlamat lawatan ini diadakan adalah untuk berkongsi idea dalam memantapkan lagi amalan EKSA di Zon ini.
Lawatan dimulai dengan kata-kata aluan dan taklimat perlaksanaan EKSA JAKIM oleh Penyelaras EKSA JAKIM, Encik Mohammad Khalil bin Ibrahim selaku tuan rumah, dan disambut dengan ucapan oleh wakil Penyelaras EKSA Zon Perkembangan Perubatan, Dr. Ahmad Hariz Bin Mohamad. Rombongan seramai 24 orang AJK telah melawat beberapa Bahagian di JAKIM iaitu Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Kewangan, Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Penyiaran, Bahagian Pengurusan Maklumat dan Bahagian Keurusetiaan Hubungan Luar.
Pelbagai contoh komponen dan amalan EKSA dapat diperoleh seperti sudut-sudut Green Zone yang kreatif, amalan penyeragaman untuk label, tanda aras kecemasan dan pelan lantai serta kepatuhan kepada garis panduan EKSA organisasi Aktiviti dan budaya seperti gotong-royong berkala dan amalan guna semula barang terbuang amat dititikberatkan dan wajar dijadikan contoh untuk pemantapan amalan EKSA.
Semoga lawatan penanda aras dan perkongsian ilmu dapat dimanfaatkan dan dijadikan panduan dalam pelaksanaan EKSA di Zon Perkembangan Perubatan. Sebagai perkongsian kepada warga BPP, aktiviti dan budaya amalan EKSA JAKIM boleh diperolehi melalui laman web eksajakim2020.blogspot.com.
AJK Latihan,
Zon EKSA Perkembangan Perubatan
Pada 28 Februari 2024, Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) telah mengadakan mesyuarat EKSA Zon Perkembangan buat kali pertama bagi tahun 2024. Mesyuarat ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Cawangan Kualiti Penjagaan Kesihatan, Dr. Azlihanis Hadi, telah membincangkan pelbagai perkara mengenai aktiviti EKSA bagi tahun 2023 dan 2024. Antaranya:
Post-mortem Aktiviti EKSA tahun 2023:
Maklum balas minit mesyuarat EKSA tahun 2023.
Keputusan audit EKSA IPKKM 2023.
Minggu EKSA 2023.
Taklimat-taklimat dan latihan EKSA yang pernah diadakan sepanjang tahun 2023.
Perancangan Aktiviti EKSA tahun 2024:
Usaha untuk merancakkan lagi promosi kesedaran EKSA melalui hebahan menggunakan PA sistem secara berkala.
Perancangan gotong royong EKSA secara berfokus dan berkala.
Pertandingan-pertandingan yang boleh diadakan bagi menarik minat warga Zon Perkembangan agar lebih aktif dalam aktiviti EKSA.
Perancangan Minggu EKSA bagi tahun 2024.
Taklimat refresher EKSA kepada ahli-ahli yang telah dilantik.
Lawatan penanda aras EKSA ke kementerian/agensi lain di luar KKM.
Perancangan audit dalaman EKSA Zon Perkembangan.
Pada 6 sehingga 9 November 2023 yang lalu, Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) telah berjaya menganjurkan Minggu EKSA Zon Perkembangan 2023. Minggu EKSA tersebut yang julung kali diadakan telah mendapat sambutan yang amat meriah daripada semua warga Zon Perkembangan.
Dengan bertemakan "Persekitaran Kerja Kondusif, Warga Produktif", Minggu EKSA tersebut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik dengan objektif meningkatkan kesedaran, ilmu pengetahuan, dan menggalakkan amalan EKSA di kalangan warga BPP.
Minggu EKSA Zon Perkembangan dimulai dengan sesi taklimat daripada penceramah-penceramah yang dijemputk khas pada hari pertama (6 November 2023)
Pada sebelah pagi, sesi taklimat yang bertajuk "Pengenalan kepada EKSA" telah disampaikan oleh Pn. Viola binti Michael (Penyelaras EKSA Zon BSKB).
Pada sebelah petangnya pula, sesi taklimat diteruskan oleh Pn Nor Rafidah bt Salehuddin (Juruaudit EKSA Zon Kawalan Penyakit) dengan tajuk "Persediaan Menghadapi Audit EKSA".
Pelbagai ilmu dan perkongsian yang diperoleh oleh warga Zon Perkembangan bagi memahami asas-asas amalan EKSA yang betul.
Minggu EKSA Zon Perkembangan diteruskan lagi dengan Pertandingan Mendeklamasikan Pantun EKSA. Sebanyak 4 penyertaan telah dipertandingkan semasa sesi ini. Pertandingan tersebut diadakan di lobi Blok E1 dan ditontoni oleh ramai orang termasuklah Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Profesion Perubatan Dr Hirman bin Ismail.
Pertandingan tersebut yang sangat meriah juga mempamerkan bakat-bakat tersembunyi warga Zon Perkembangan dalam mencipta dan menyampaikan pantun yang bertemakan EKSA.
Selain itu, juri-juri pantun juga dibawakan khas daripada Sekolah Kebangsaan Presint 11 (3) iaitu Cikgu Tuan Faizah Asmira dan Cikgu Nurul Farhana yang komited dengan tanggungjawab diberikan.
Selain itu, terdapat juga pertandingan mencipta produk daripada bahan terbuang bagi menggalakkan amalan kitar semula. Pertandingan ini yang diadakan di sebelah petang telah disertai oleh 7 penyertaan yang mempertaruhkan produk inovatif masing-masing.
Antara produk menarik yang telah diinovasikan dan dikitarsemula adalah:
Penyapu yang diperbuat daripada botol terpakai
Tempat letak payung daripada kotak-kotak A4
Tempat letak risalah dan artikel di kaunter yang diperbuat daripada bahan-bahan alat tulis terpakai.
Selain itu, dalam Minggu EKSA ini juga diadakan aktiviti audit di setiap cawangan dalam Bahagian Perkembangan Perubatan.
Sesi audit ini diketuai oleh Dr. Siti Rahayu binti Mat Husin selaku Ketua Juruaudit Zon Perkembangan dan disertai oleh AJK Audit dari setiap cawangan. Mereka semua diberi taklimat berkaitan kaedah pengauditan yang betul, pembahagian kawasan untuk diaudit, dan kaedah menyediakan laporan dan slaid pembentangan untuk sesi penutup audit kelak.
Kemudian, semua juruadit diberi tempoh selama 2 hari untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.
Pada hari ke-3 Minggu EKSA, satu Pertandingan Speed Quiz EKSA telah diadakan di Bilik Mesyuarat Ibn Razi. Pertandingan ini memerlukan kepantasan dan kecekapan para peserta untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh pihak urusetia.
Seramai 16 orang peserta yang didominasi oleh Cawangan Perkembangan Profesion Perubatan telah menyertai pertandingan ini.
Walaupun soalan-soalan yang diajukan agak mencabar minda para peserta, pertandingan ini dilihat mampu menguji kefahaman warga BPP berkaitan amalan EKSA yang terbaik.
Pada petang 8 November 2023, sesi pembentangan audit Zon Perkembangan Bil.2/2023 telah diadakan. Sesi ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Perkembangan Perubatan iaitu YBhg. Dato' Dr. Mohd Azman bin Yacob.
Dalam sesi tersebut, YBhg, Dato' Azman telah menekankan kepentingan amalan EKSA yang baik dan mengingatkan bahawa hasil penemuan audit adalah bertujuan untuk memperbaiki dan menjadikan persekitaran kerja yang lebih selesa dan kondusif.
Hasil audit bagi setiap cawangan telah dibentangkan oleh wakil-wakil juru audit dan disempurnakan oleh Dr. Siti Rahayu bt Mat Husin selaku Ketua Juruaudit Zon Perkembangan.
Laporan audit boleh dibaca di sini: Audit EKSA 2023.
Minggu EKSA Zon Perkembangan 2023 diakhiri dengan Majlis Penutup pada 9 November 2023. Majlis ini yang bermula pada pukul 8.00 pagi di Lobi Blok E1 telah dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Mohd Azman Yacob, semua Timbalan Pengarah BPP, dan ramai warga BPP.
Majlis Penutup Minggu EKSA telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Dr Mohd Azman. Dalam ucapan beliau, beliau sangat terharu dan berbangga kerana Minggu EKSA yang julung kali diadakan telah berjaya dilaksanakan dan dilihat telah mencapai objektifnya.
Beliau juga berharap agar warga BPP sentiasa mengamalkan EKSA pada setiap masa. Selain itu, beliau juga berharap agar markah audit Zon Perkembangan pada peringkat IPKKM pada kali ini adalah lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya.
Dalam majlis tersebut juga, YBhg. Dato' Dr Mohd Azman telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan dan pengiktirafan yang berkaitan berdasarkan keputusan audit dalaman.
Selain itu. majlis juga telah dimeriahkan lagi dengan persembahan fashion show dari Urusetia Minggu EKSA yang bertemakan pakaian-pakaian formal penjawat awam.
Pada 9 Oktober 2023, satu mesyuarat EKSA Zon Perkembangan telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azman selaku Ketua bagi zon ini bertempat di Bilik Mesyuarat Ibnu Sina, Aras 1, Blok E1, Kompleks E, Putrajaya.
Mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan pelaksanaan Minggu EKSA yang julung kali akan diadakan di Zon Perkembangan Perubatan. Minggu EKSA dirancang agar dapat meningkatkan lagi kesedaran dan memupuk budaya amalan EKSA yang berterusan dengan kaedah yang lebih kreatif dan menarik.
YBhg. Dato’ begitu teruja dengan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh ahli jawatankuasa EKSA Zon Perkembangan Perubatan. YBhg. Dato’ juga menekankan bahawa semua pihak di pelbagai peringkat termasuk pengurusan tertinggi perlu memberikan komitmen dan keikhlasan dalam amalan EKSA yang baik.
Semoga Minggu EKSA yang akan diadakan mendapat penglibatan yang aktif daripada semua warga Zon Perkembangan Perubatan.
Pada 25 September 2023 yang lalu, Sekretariat Teknikal EKSA Zon Perkembangan telah menganjurkan satu kursus "Syoknya EKSA" bagi memberi latihan awal kepada ahli-ahli jawatankuasa EKSA setiap cawangan dalam BPP yang merangkumi JK latihan, JK audit, dan JK Promosi.
Kursus tersebut yang disertai oleh lebih 40 orang peserta telah diadakan dalam dua sesi.
Pada sebelah pagi, para peserta telah menghadiri taklimat di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM berkaitan Garis Panduan EKSA dan amalan EKSA yang betul oleh Pn Aainaa Balqis dari Bahagian Khidmat Pengurusan KKM yang merupakan salah seorang champion EKSA KKM.
Kemudian, pada sebelah petang, para peserta dibawa untuk menjalani praktikal audit eksa di bangunan Blok E1 oleh penceramah yang sama.
Kursus Syoknya EKSA dilihat sebagai satu kursus yang berjaya dan wajar diadakan pada setiap tahun kerana kursus seumpama ini mampu memperkasakan ilmu ahli jawatankuasa EKSA di samping bertukar-tukar idea dan pandangan.
Sesi pagi - kursus di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM
Sesi petang - praktikal audit di Blok E1