Encik Marwi bin Latif
Guru Utama Silat Cekak Hanafi
Encik Marwi bin Latif merupakan seorang Guru Utama yang disegani dalam Silat Cekak. Beliau dilahirkan pada 28 Disember 1946 di Kampung Baru Kuala Lumpur. Anak jati Kuala Lumpur ini merupakan anak keempat dari 12 orang adik beradik ini mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Jalan Cochrane, Kuala Lumpur sekitar awal tahun 1960-an. Encik Marwi mula mempelajari Silat Cekak 35 tahun yang lalu setelah diijazahkan oleh Al-Marhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad pada tahun 1972.
Setahun selepas menamatkan pelajaran silat iaitu pada tahun 1973, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar bagi kelas latihan di Universiti Malaya iaitu kelas pertama Silat Cekak Hanafi ditubuhkan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana kedua-duanya terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada waktu itu.
Encik Marwi bersama-sama jurulatih dari kelas Universiti Malaya.
Pada tanggal 1976, telah bermula era baharu apabila beliau berpindah ke negeri Pahang. Beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Kuantan Pahang atas permintaan Ustaz Hanafi bagi meneruskan perkembangan Silat Cekak di sana. Penghijrahan beliau disebabkan berlaku kekosongan setelah saudara Malino Junsi yang sebelum itu bertugas di Kuantan telah meninggal dunia. Oleh itu, semenjak tahun 1976 hingga sekarang, beliau menjadi wakil rasmi persatuan bagi mengembangkan Silat Cekak di bumi Pahang.
Di Pahang, beliau telah berkahwin dengan Puan Jumilah Bt Omar. Hasil perkongsian hidup tersebut, beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata, 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
Encik Marwi bergambar bersama penuntut yang baharu selesai menjalani proses pengijazahan di Universiti Malaya.
Tempoh selama 31 tahun menyumbang bakti di bumi Pahang, telah menjadikan beliau seolah-olah seperti anak jati negeri Pahang. Atas ketokohan dan pengalaman beliau juga, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Seni Beladiri Pahang yang bernaung di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang sejak tahun 2005. Dan sebagai menghargai sumbangan yang berterusan terhadap kemajuan Seni Bela Diri di negeri Pahang, beliau telah dianugerahkan Anugerah Tertinggi Majlis Seni Beladiri Pahang iaitu Anugerah Penggerak pada bulan April 2006.
Apabila Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditubuhkan pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) dan Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) persatuan ini. Di peringkat negeri, beliau memegang jawatan Yang DiPertua Negeri Pahang dan juga Penyelia Persilatan bagi negeri Pahang sejak 1994 hingga 2005.
Beliau telah berkhidmat selama lebih 35 tahun dengan Silat Cekak dan merupakan Jurulatih Sepenuh Masa (SSM) persatuan ini selama lebih 30 tahun sehinggalah dinamakan sebagai Guru Utama pada 18 Mac 2007 oleh Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak Hanafi sehingga kini.