Persatuan Seni Silat Cekak telah diundang oleh Kolej Ketiga, Universiti Malaya untuk mengadakan pertunjukan di majlis terbukanya. Sebenarnya kehadiran Silat Cekak di kolej tersebut ialah disebabkan oleh daya usaha seorang mahasiswa tahun kedua Universiti Malaya bernama Rauhi Mohamad Isa.
Ianya berpunca dari sepucuk surat yang bertarikh 3 Oktober 1973 yang dihantar ke ibu pejabat persatuan meminta penjelasan yang lengkap mengenai Silat Cekak yang pernah dibacanya malalui Majalah Dewan Masyarakat terbitan bulan Ogos 1973.
Hanafi dengan kepercayaan yang penuh telah menghantar seorang penuntut tahun ketiga Universiti Malaya, yang telah mempelajari Silat Cekak bernama Amruddin Buang untuk menemui Rauhi bagi memberi penjelasan lanjut. Rauhi tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan lalu meminta supaya dilakukan praktikal.
Keputusannya Rauhi telah gagal menggunakan kaedah-kaedah Silat Gayong yang telah dipelajarinya selama lima tahun untuk menangkis buah-buah pukulan Cekak yang dilakukan oleh Amruddin itu.
Kegagalan Allahyarham Cikgu Rauhi menggunakan kaedah-kaedah silat itu telah menyebabkan beliau mengiktiraf kebenaran Silat Cekak dan cuba pula untuk mempengaruhi rakan-rakannya yang lain supaya mempelajari Silat Cekak yang lebih bermutu.
Pertama kalinya sebuah cawangan telah berjaya ditubuhkan di Universiti Malaya pada bulan Julai 1974.
Kelas silat di Universiti Malaya merupakan kelas silat IPTA yang pertama dibuka pada tahun 1975 dan didaftar secara sah sebagai Persatuan Silat di universiti tersebut pada 11 Januari 1975.
Persatuan ini masih teguh dan menarik minat ramai penuntut terdiri daripada golongan pelajar Universiti Malaya dan juga orang awam di sekitar universiti. Persatuan ini juga semakin aktif dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan untuk merapatkan hubungan antara ahli persatuan.
Tambahan pula, kelas diadakan di Dataran PASUM lama pada setiap hari Selasa dan Khamis.