Panduan Pengguna

Senarai nama yang dicetak di sini mengikut senarai nama burung Clements Edisi 2021 kerana senarai nasional yang disediakan oleh MNS-BCC mengikut senarai Clements. Untuk spesies yang mempunyai penempatan spesies berbeza, mahupun tercantum ataupun terpisah, dalam senarai-senarai nama popular yang lain seperti IOC dan HBW, akan dimasukkan sebagai nota tambahan di bawah spesies yang terjejas.

Beberapa keadaan yang biasanya berlaku termasuk:

  1. Spesies tersebut dipisahkan menjadi beberapa spesies oleh sesetengah para pengkaji burung, dan nama baru spesies itu sekiranya terpisah adalah seperti yang dipaparkan dalam nota tersebut.

  2. Senarai-senarai lain mungkin tidak menerima cadangan pemisahan spesies dan mungkin masih menganggap beberapa spesies dalam senarai Clements sebagai satu spesies sahaja. Penamaan yang berbeza berbanding dengan taksonomi Clements akan dipaparkan dalam font yang lebih kecil.

  3. Sesuatu subspesies mungkin ditempatkan di bawah spesies yang lain berdasarkan senarai nama yang berbeza.

Untuk menggunakan senarai nama ini, nama Bahasa Malaysia piawai yang dicadangkan untuk spesies tempatan boleh didapati dari Laman Utama yang menyenaraikan spesies-spesies tempatan yang direkodkan di Malaysia dalam format berikut: NAMA BAHASA MALAYSIA, Nama saintifik (Nama Inggeris). Pengguna boleh mencari spesies sasaran dengan mencari mengikut taksonomi (Sususan Clements 2021 digunakan di laman ini). Bagi pengguna komputer, pengguna boleh menggunakan Ctrl-F untuk membuka fungsi pencarian dan mencari berdasarkan nama Inggeris ataupun nama saintifik yang diketahui. Fungsi ini biasanya berada di kawasan atas untuk versi pelayar web dalam telefon pintar. Pencarian nama generik lebih dicadangkan kerana ketidak samaan nama Inggeris dan nama saintifik yang digunakan oleh senarai berbeza, contohnya: mencari "Kingfisher" apabila mencari spesies yang mungkin digelar "Oriental Dwarf Kingfisher", "Oriental Dwarf-Kingfisher", "Black-backed Dwarf-Kingfisher", "Black-backed Kingfisher" dan sebagainya.

Nama Bahasa Malaysia yang dicadangkan dipaparkan dalam huruf besar supaya nampak lebih kemas dan jelas untuk pengguna, semasa digunakan untuk konteks harian, ia boleh dianggap sebagai kata nama khas dengan menggunakan huruf besar untuk huruf pertama setiap perkataan, contohnya MERPATI-HUTAN RAWA KELABU boleh ditulis sebagai Merpati-Hutan Rawa Kelabu.