Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Negara

Isu bahasa juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbangkan faktor kepada peristiwa 13 Mei. Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan jelas tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa rasmi negara. Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengurangkannya daripada status bahasa rasmi dan hanya bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu. Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan, Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dipimpin oleh Syed Nasir bin Ismail.

Perbezaan Agama dan Budaya

Kaum Melayu sebahagian besarnya beragama Islam. Kaum Cina beragama Buddha, Tao-Tza, Taoisme, Confucius manakala kaum India beragama Hindu. Di samping itu, terdapat juga yang beragama Kristian. Setiap kaum juga mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Masalah perpaduan ini bukannya bermula disebabkan agama lain tetapi akibat dari sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi penganut agama lain. Inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

Masalah Ekonomi

Kegiatan ekonomi berbeza telah mewujudkan jurang pendapatan berbeza antara kaum dan menimbulkan rasa tidak puas hati dan persaingan ekonomi secara tidak sihat. Ketidakseimbangan ini menyebabkan setiap kaum saling mencemburui satu sama lain. Orang Melayu mencemburui kemewahan dan kejayaan orang Cina manakala orang Cina dan India mencemburui kelebihan orang Melayu yang mendapat peluang perkhidmatan dalam sektor pentadbiran.