Peristiwa 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan-sempadan yang harus diambil dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negara bangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta betapa pentingnya integrasi nasional. Andai kata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimanfaatkan, sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.
Selepas peristiwa ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar seperti Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara bagi memulihkan sistem ekonomi negara dan perpaduan penduduk. Diharapkan peristiwa seperti ini tidak lagi berulang di Malaysia. Dalam peristiwa ini apa yang penting bukanlah siapa yang terlibat dan bersalah dalam rusuhan itu, tetapi apakah punca peristiwa ini berlaku dan apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasinya. Sikap ultra-rasis, ketamakan serta kegagalan dalam memahami Kontrak Sosial dan Pakatan Murni sesama penduduk Malaysia merupakan punca utama masalah ini berlaku.
Sebagai sebuah negara yang sedang membangun dengan pesat dan menuju cita-cita menjadi negara maju, tragedi pahit seperti penjajahan selama lebih daripada 400 tahun serta peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu terus dijadikan iktibar dan pedoman. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk terus berpegang kepada kemerdekaan dan jambatan perpaduan yang telah digagaskan sejak dahulu, selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Jika tidak, tidak mustahil negara ini kembali dijajah dalam bentuk yang berbeza pada masa hadapan. Sama-samalah kita berdoa agar rakyat dan negara terus dilindungi dari segala jenis ancaman baik dari dalam mahupun luar.