Manifestasi Dua Seni : Teks Kepada Visual Usman Awang
Karya teks dari Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang - Jiwa Hamba
Jiwa Hamba
TERMENUNG seketika sunyi sejenak,
Kosong di jiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya suara melambung tinggi.
Berpusing roda beralihlah masa,
Pelbagai neka hidup di bumi,
Selagi hidup berjiwa hamba,
Pasti tetap terjajah abadi.
Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,
Melemparkan jauh jiwa hamba.
Ingatkan kembali kata sakti,
Dari bahang kesedaran berapi:
‘Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka’.
1949
Jiwa Hamba 1949 - Puisi-puisi pilihan Sasterawan Negara Usman Awang, Edisi Pelajar, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia Kuala Lumpur 1991
Jiwa Hamba, Silkscreen Print and Acrylic on Canvas, 61 cm x 152 cm, 2019
Terjemahan Teks ‘Jiwa Hamba’
Karya puisi ‘Jiwa Hamba’ membawa tema jati diri. Karya ini memberi persoalan kepada diri sendiri dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang manusia. Menurut penulis Usman Awang, Jiwa Hamba merujuk kepada diri sendiri yang mempunyai semangat perjuangan, namun masih terbeban dengan keadaan sekeliling. Persoalan ini dinyatakan oleh penulis dalam rangkap pertama.
TERMENUNG seketika sunyi sejenak,
Kosong di jiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya Suara melambung tinggi.
Dalam rangkap kedua, penulis menggambarkan seseorang yang duduk di dunia yang sentiasa beralih masa dan menemui bermacam-macam cabaran. Penulis juga menggambarkan bahawa selagi dilahirkan sebagai seorang manusia, kita sentiasa mempunyai batas dalam segala hal. Selain itu, dalam rangkap ketiga, beliau menyatakan hidup yang merdeka dan bebas adalah mempunyai kehidupan yang maju dan masih berpegang kepada prinsip agama, bangsa dan negara walaupun ianya memerlukan pengorbanan. Seterusnya, dalam rangkap terakhir, penulis mengembalikan semula ingatan dari kata sakti. Setiap manusia harus mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap masa lampau, supaya ia tidak berulang kembali.
Nilai
Puisi ‘Jiwa Hamba’ sarat dengan nilai murni yang disulam begitu indah sekali oleh penulis. Penulis menyelitkan perasaan seorang pejuang walaupun terasa seperti keseorangan. Bagi penulis, perjuangan dan perasaan mencintai diri, agama, bangsa dan negara itu perlu disemai di dalam jiwa sendiri terlebih dahulu. Penulis menyemai kecintaan kepada negara dengan taat tumpah setia, dan masih mengekalkan jati diri walaupun terus mencorak kemajuan. Pada rangkap terakhir merujuk kepada pengorbanan yang dilakukan hasil dari perjuangan yang dilakukan demi negara yang tercinta.
Tema
Puisi Jiwa Hamba ini bertemakan jati diri seorang manusia. Deskripsi Karya Jiwa Hamba ini adalah interpretasi dari teks puisi Sasterawan Negara Usman Awang. Secara keseluruhannya, karya teks ini bertemakan jati diri. Melalui penterjemahan teks kepada visual, artis menggunakan isu yang berkait dengan persoalan tentang Rukun Negara. Rukun Negara mempunyai lima prinisp yang kuat dalam membentuk negara Malaysia. Setiap masyarakat yang hidup di negara ini seharusnya wajib dan faham tentang Rukun Negara iaitu:
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Sebagai rakyat Malaysia yang hidup secara berbilang kaum dan agama serta kepercayaan. Kita seharusnya berpegang penuh kepada lima prinsip ini iaitu Percaya, Setia, Luhur, Daulat dan Sopan. Karya yang diterjemahkan menjadi visual menggunakan simbol bahasa tubuh figura kanak-kanak. Setiap bahasa tubuh itu mewakili setiap rangkap. Setiap rangkap Rukun Negara menggunakan penulisan daripada Jawi, Mandarin, Tamil, Kadazan (Sabah), Iban (Sarawak) dan juga Bahasa Melayu. Karya ini memberi simbolik kepada keadaan sekarang yang merujuk kepada pelbagai bangsa dan agama, di mana kita seharusnya wajib percaya kepada tuhan yang satu, sentiasa setia kepada raja dan negara yang di duduki. Mempunyai rasa luhur terhadap perlembagaan. Selain itu, sebagai warga yang merdeka, seharusnya kita menghormati kedaulatan undang-undang. Sebagai masyarakat yang berjiwa merdeka, kita wajib menghormati antara satu sama lain untuk mencapai satu kemajuan dalam mengekalkan keharmonian sejagat. Jati diri seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Menurut pepatah Melayu, "melentur buluh biarlah dari rebungnya" kerana proses mendidik itu perlu dilakukan ketika usia masih kecil, dan apabila sudah besar, lebih susah untuk mendidik mereka dan memberi teguran.
.Aizat Amir.
Bunga Popi, Acrylic on Canvas, 61 cm x 152 cm, 2019