Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% (115,238 kes) bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh2007-2011.Â
Kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta (34.95%) dan sebab kematian keempat di hospital KKM (11.56%). Kanser juga merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17%) dan hospital swasta (5.37%).
Rajah 1 : Jumlah kemasukan pesakit di Institut Kanser Negara
Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan kanser prostat (8.1%). Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%). Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0% untuk kanser paru-paru, 51.1% kanser kolorektal, 51.6% kanser serviks, 66.8% dan 73.0% kanser payudara. Sebanyak 63.7% dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV). Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser.
Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi ia turut memberi kesan negatif termasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara. Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit NCD yang lain. Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.