PROGRAM DAN PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2026
PROGRAM DAN PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2026
36
PROGRAM/AKTIVITI TELAH BERLANGSUNG
6,377
PENERIMA MANFAAT
20
KHIDMAT BIMBINGAN AGAMA
PROGRAM WE CARE WE SHARE SANTUNI PESAKIT DI HOSPITAL SULTAN ABDUL AZIZ SHAH
SERDANG, 22 Jun 2026 – Program We Care We Share telah berjaya dilaksanakan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) hasil anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang (PAIDS) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam HSAAS dan PUSPANITA Daerah Sepang.
Program dimulakan dengan ucapan oleh Ustaz Mohd Hafzi bin Brahim, Penolong Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dan Puan Nori Dayu binti Ahmad Kanan, Pengerusi PUSPANITA Daerah Sepang. Majlis turut disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Zulfitri 'Azuan bin Mat Daud, Timbalan Pengarah Urusan Sokongan Klinikal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, yang menzahirkan penghargaan atas jalinan kerjasama strategik antara agensi dalam memperkukuhkan sokongan spiritual dan kesejahteraan pesakit.
Program ini bertujuan menyemarakkan budaya prihatin, kasih sayang dan keinsanan melalui aktiviti ziarah serta menyantuni pesakit di wad pediatrik dan ortopedik. Para peserta turut menyampaikan kata-kata semangat dan sumbangan sebagai tanda keprihatinan kepada pesakit yang sedang menerima rawatan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memperkukuhkan nilai ihsan, empati dan kebersamaan melalui pendekatan Hospital Mesra Ibadah, sekali gus memberi manfaat kepada pesakit, waris dan warga hospital.
KURSUS TRAINING OF TRAINER (TOT) PENGURUSAN IBADAH PESAKIT SIRI 01/2026
SERDANG, 29 Jun 2026 – Unit Hal Ehwal Islam, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Kursus Training of Trainer (TOT) Pengurusan Ibadah Pesakit sebagai inisiatif memperkukuh kompetensi warga hospital dalam membimbing dan mengurus ibadah pesakit mengikut tuntutan syarak.
Kursus yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang itu telah disampaikan oleh Ustaz Zulkifli bin Awang, Penceramah Bertauliah Negeri Selangor. Seramai 40 orang kakitangan HSAAS UPM telah menyertai program ini yang terdiri daripada pelbagai kategori jawatan dan unit.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan hukum-hakam berkaitan ibadah pesakit, kaedah pelaksanaan ibadah dalam pelbagai situasi kesihatan, serta pendekatan yang berkesan untuk melatih dan membimbing pesakit serta warga kerja hospital. Pengisian yang bersifat teori dan praktikal ini bertujuan melahirkan lebih ramai fasilitator yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam menyampaikan ilmu berkaitan pengurusan ibadah pesakit.
Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Unit Hal Ehwal Islam HSAAS UPM dalam memperkasa pelaksanaan konsep Hospital Mesra Ibadah, di samping memastikan aspek kerohanian terus diberi perhatian sebagai salah satu elemen penting dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan yang holistik.
Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, seterusnya memperkukuh kualiti perkhidmatan dan kesejahteraan pesakit di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.
PROGRAM CERAMAH TAFAQQUH FIDDIN MAAL HIJRAH "WAKAF: REZEKI BERKAT, KELUARGA BAHAGIA"
SERDANG, 14 Julai 2026 – Bersempena sambutan Maal Hijrah 1448H, Unit Hal Ehwal Islam, Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM telah menganjurkan Ceramah Tafaqquh Fiddin bertajuk "Wakaf: Rezeki Berkat, Keluarga Bahagia" di Auditorium HSAAS.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 600 orang peserta yang mengikuti ceramah secara bersemuka dan dalam talian.
Majlis dimulakan dengan taklimat ringkas Wakaf HSAAS yang disampaikan oleh Tuan Haji Haris bin Dahlan, Pengarah WAZAN UPM, yang menjelaskan peranan wakaf dalam menyokong pembangunan kemudahan dan perkhidmatan di HSAAS. Program diteruskan dengan ceramah oleh Tuan Syamsul Amri bin Ismail (Syamsul Debat), yang mengupas kepentingan amalan wakaf sebagai sedekah jariah yang membawa keberkatan rezeki dan kebahagiaan keluarga.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan (Surgeri), HSAAS, Dr. Azlan bin Sulaiman, sebagai tanda sokongan pihak pengurusan terhadap usaha memperkasa budaya wakaf dan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga hospital.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta menggalakkan warga UPM dan HSAAS untuk menyokong Wakaf HSAAS sebagai medium kebajikan yang dapat membantu pembangunan kemudahan hospital, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada pesakit, warga hospital dan masyarakat sejajar dengan semangat Maal Hijrah 1448H.
FORUM ILMIAH INSPIRASI MISI SUMUD GLOBAL FLOTILLA
“MENTAL KENTAL, SEMANGAT KEKAL”
SEMARAKKAN SEMANGAT KEMANUSIAAN DAN SOLIDARITI UMMAH
SERDANG, 30 Oktober 2025 – Forum ilmiah bertemakan “Mental Kental, Semangat Kekal” telah berlangsung dengan penuh semangat di Auditorium, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, HSAAS ini menampilkan dua panel jemputan istimewa, iaitu Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Muhammad, Pengarah Korporat MAPIM Malaysia dan Encik Haikal bin Abdullah, Aktivis Global Sumud Flotilla. Sesi forum telah dimoderatorkan oleh Encik Mohd Aliff Haiqal.
Forum ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga HSAAS serta komuniti UPM terhadap isu-isu kemanusiaan global, di samping menyemai semangat solidariti dan empati terhadap masyarakat yang tertindas di seluruh dunia.
Sepanjang sesi berlangsung, para panel berkongsi pengalaman dan pandangan mendalam mengenai perjuangan kemanusiaan di bumi Gaza, peranan masyarakat dalam mendukung usaha bantuan global, serta kepentingan nilai keprihatinan dan perpaduan ummah dalam menghadapi cabaran semasa.
SUMBANGAN KE DANA WAKAF
TUNAI HSAAS UPM
KEMPEN 1 STAF, 1 RINGGIT
SUMBANGAN TABUNG PROGRAM
HOSPITAL MESRA IBADAH (HMI)
Phone : +603 9769 9723
Email : uhei_hsaas@upm.edu.my
Hak Cipta Terpelihara © 2026 Unit Hal Ehwal Islam, Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Paparan terbaik menggunakan resolusi skrin minimum 1920x1080 pada pelayar web Mozilla Firefox, Microsoft Edge atau Google Chrome versi terkini