Program Kembara Ramadan Madani 2026
UPM Serdang, 7 Mac 2026 - Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berbesar hati menjadi lokasi penutup program Kembara Ramadan MADANI (KRM) 2026 pada 7 Mac lalu.
Program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk melibatkan Sukarelawan HSAAS bersama Sukarelawan YADIM (SAY) Sepang dan Putrajaya sebelum diagihkan kepada warga hospital.
Turut berlangsung sesi Bicara Ramadan MADANI bertajuk “Ihsan Sesama Manusia Daripada Tarbiah Ramadan” serta penyampaian 50 Kotak MADANI kepada warga universiti dan hospital yang memerlukan. Dalam majlis sama, Musolla Ibnu Sina, HSAAS turut menerima sumbangan cek cura bernilai RM5,000 daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan MAIWP.
Program ini turut diserikan dengan majlis tahlil dan iftar bersama dalam suasana penuh ukhuwah dan keberkatan. HSAAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk YADIM dan rakan strategik atas kerjasama menjayakan program ini.
Disediakan oleh:
UNIT HAL EHWAL ISLAM
Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS)
Program We Care We Share 2026
UPM Serdang, 22 Jun 2026 – Program We Care We Share telah berjaya dilaksanakan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) hasil anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang (PAIDS) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam HSAAS dan PUSPANITA Daerah Sepang.
Program dimulakan dengan ucapan oleh Ustaz Mohd Hafzi bin Brahim, Penolong Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dan Puan Nori Dayu binti Ahmad Kanan, Pengerusi PUSPANITA Daerah Sepang. Majlis turut disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Zulfitri 'Azuan bin Mat Daud, Timbalan Pengarah Urusan Sokongan Klinikal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, yang menzahirkan penghargaan atas jalinan kerjasama strategik antara agensi dalam memperkukuhkan sokongan spiritual dan kesejahteraan pesakit.
Program ini bertujuan menyemarakkan budaya prihatin, kasih sayang dan keinsanan melalui aktiviti ziarah serta menyantuni pesakit di wad pediatrik dan ortopedik. Para peserta turut menyampaikan kata-kata semangat dan sumbangan sebagai tanda keprihatinan kepada pesakit yang sedang menerima rawatan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memperkukuhkan nilai ihsan, empati dan kebersamaan melalui pendekatan Hospital Mesra Ibadah, sekali gus memberi manfaat kepada pesakit, waris dan warga hospital.
Disediakan oleh:
UNIT HAL EHWAL ISLAM
Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS)
Program Sujud Tanpa Halangan: Ceramah Cara Menunaikan Solat Ketika Sakit
Pada 28 Jun 2026, Program Sujud Tanpa Halangan: Ceramah Cara Menunaikan Solat Ketika Sakit telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pihak yang terlibat. Sesi ini telah disampaikan oleh Ustaz Fakhrur Radzi Bin Muslim, yang berkongsi panduan mengenai tatacara menunaikan solat bagi individu yang sedang sakit berdasarkan syariat Islam.
Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar Kejururawatan tentang rukhsah (keringanan) dalam ibadah solat ketika menghadapi keuzuran, di samping memberi pendedahan kepada kaedah yang betul agar ibadah dapat terus dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing.
Semoga perkongsian yang diberikan dapat memberi manfaat dan menjadi panduan kepada semua pelajar dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Terima kasih kepada semua yang telah hadir serta menjayakan program ini.
Sincerely,
Nursing Club
Session 2025/2026
Faculty of Medicine and Health Sciences
Universiti Putra Malaysia