WANITA SOLAT BERPAKAIAN KETAT
SOALAN :
Sah atau tidak seorang wanita solat dengan memakai pakaian yang ketat sekira-kira nampak bentuk badannya?
JAWAPAN :
Menutup aurat menjadi syarat bagi sahnya solat. Maka tidak sah solat tanpa menutup aurat.
Diriwayatkan dari Aisyah r.a. daripada Nabi saw bersabda :
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ
Artinya : “Tidak diterima akan sembahyang seorang wanita dewasa melainkan dengan memakai kain yang menutup badan.” Hadith riwyat Ahmad & Al-Hakim.
Jika wanita yang sembahyang memakai pakaian menutup auratnya yang ketat dan tiada lelaki ajnabi yang dapat melihat bentuk badannya seperti ia sembahyang di dalam rumahnya maka hukumnya adalah makruh dan sembahyangnya adalah sah.
Dan jika ada lelaki ajnabi yang melihat bentuk badannya ketika sembahyang itu maka hukumnya haram memakai pakaian yang ketat tetapi sembahyangnya sah.
Berkata Syeikh Khatib Syarbini :
(وَشَرْطُهُ) أَيِ: السَّاتِرِ (مَا) أَيْ: جَزَمَ (مَنَعَ إدْرَاكَ لَوْنِ الْبَشَرَةِ) لَا حَجْمِهَا، فَلَا يَكْفِي ثَوْبٌ رَقِيقٌ، وَلَا مُهَلْهَلٌ لَا يَمْنَعُ إدْرَاكَ اللَّوْنِ، وَلَا زُجَاجٌ يَحْكِي اللَّوْنَ؛ لِأَنَّ مَقْصُودَ السَّتْرِ لَا يَحْصُلُ بِذَلِكَ، أَمَّا إدْرَاكُ الْحَجْمِ فَلَا يَضُرُّ، لَكِنَّهُ لِلْمَرْأَةِ مَكْرُوهٌ، وَلِلرَّجُلِ خِلَافُ الْأُولَى] اهـ.
Artinya : “Dan bermula syarat menutup aurat itu ialah dengan suatu yang menghalang dari nampak warna kulit bukan bentuk badannya. Maka tidak memadai memakai pakaian yang sangat nipis dan yang berlubang yang tidak menutup dari nampak warna kulit.
Dan tidak sah juga pakaian yang tembus cahaya yang jelas menampakkan warna kulit kerana maksud menutup aurat tidak tercapai dengan pakaian seumpama ini.
Ada pun ternampak bentuk badan maka tidak memudaratkan sembahyang tetapi makruh hukumnya bagi kaum wanita dan menyalahi yang lebih utama bagi kaum lelaki.” (Kitab Mughni Muhtaj jilid 1 m.s. 398)
Wallahua’lam