Kolej Komuniti Tawau (KKTS) merupakan antara 12 kolej komuniti terawal yang ditubuhkan pada tahun 2000 di Malaysia. Di awal penubuhan, KKTS menumpang di bangunan Sekolah Teknik Menengah Tawau seterusnya pada tahun 2002, KKTS telah berpindah ke kampus tetap yang terletak di Batu 4, Jalan Apas, Perdana Square Commercial Centre, 91000 Tawau, Sabah.
KKTS menawarkan 3 program pengajian peringkat sijil sepenuh masa disamping menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat setempat yang terdiri daripada pekerja, suri rumah dan lepasan sekolah.
Pada tahun 2015, KKTS mendapat permintaan daripada masyarakat setempat melalui wakil parlimen agar menawarkan Program Pengajian Sijil Kulinari dan telah dimulakan di kampus Sri Indah secara sewaan bangunan dilengkapi dengan ruang kuliah dan dapur.
Perpustakaan KKTS hanya memberikan perkhidmatan di Kampus Utama yang terletak di bangunan Utama, Aras 1 bersebelahan dengan Kaunter Utama. Perpustakaan KKTS dapat menampung 35 orang pelajar perpustakaan dalam satu masa. Perpustakaan ini berperanan menyokong kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) warga Kolej Komuniti secara amnya.
Pusat Sumber (kini dipanggil Perpustakaan) KKTS, mula beroperasi secara rasmi pada 13hb Januari 2003 di bawah naungan Pengetua KKTS, iaitu En. Dzulkifli bin Ismail dan dikendalikan sendiri oleh En. Dzulkifli bin Ismail bersama beberapa orang AJK yang terdiri daripada dua (2) kategori, di kalangan pensyarah yang mempunyai keanggotaan lantikan tetap tahunan. Mereka memegang jawatan sebagai Penolong Pengurus 1, dan Penolong Pengurus 2.
Bermula tahun 2007, Perpustakaan KKTS dikendalikan oleh dua (2) kakitangan kader daripada Perpustakaan Negara Malaysia; satu (1) Penolong Pustakawan dan satu (1) Pembantu Pustakawan.