Mpox merupakan penyakit yang berpunca daripada virus monkeypox.
Virus ini boleh merebak dan menjangkiti orang lain melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan.
Ia juga boleh merebak melalui kontak secara langsung dengan peralatan yang telah dicemari cecair lepuh daripada individu yang dijangkiti mpox.
Virus mpox adalah di dalam genus Orthopoxvirus dan keluarga Poxviridae. Dalam Genus Orthopoxvirus juga terdapat virus variola (yang menyebabkan cacar) dan virus vaccinia (digunakan dalam vaksin cacar).
Gejala mpox ialah demam, ruam yang menyakitkan dan bengkak kelenjar limfa.
Mpox pertama kali ditemui pada tahun 1958. Kes pertama mpox dalam kalangan manusia ialah pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo.
GEJALA DAN INKUBASI MPOX
Tempoh inkubasi adalah antara lima (5) hingga 21 hari dari tarikh pendedahan ke tempoh individu menunjukkan gejala mpox.
Virus mpox boleh disebarkan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum gejala muncul sehingga 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping (scab) dan pesakit tidak lagi bergejala.
Demam
Sakit kepala
Sakit otot
Bengkak kelenjar limfa
Jika bergejala atau mempunyai sejarah hubungan rapat dengan individu yang disyaki mendapat jangkitan mpox, seseorang itu hendaklah melaporkan diri kepada petugas kesihatan untuk tujuan penilaian risiko.
Jika perlu, sampel akan diambil dan spesimen tersebut akan dihantar ke makmal ujian virus mpox.
CARA PENYEBARAN MPOX
Virus mpox boleh disebarkan melalui beberapa cara, ;
i.Sentuhan langsung dengan ruam atau lesi pada kulit, sama ada lesi baru atau sudah menjadi kuping (scab), ataupun cairan daripada lesi tersebut;
ii.Sentuhan langsung dengan haiwan dijangkiti, sama ada melalui gigitan atau cakaran oleh haiwan terbabit, atau dengan cara melalui makanan atau menggunakan hasil produk haiwan berkenaan;
iii.Ibu kepada anak dalam kandungan;
iv.Sentuhan peralatan yang tercemar dengan lesi
kulit ataupun cairannya;
v.Rembesan cecair semasa bernafas atau bercakap, terutama
jika seseorang itu berhadapan dengan individu yang
dijangkiti untuk tempoh masa yang lama.
Contoh ruam cacar monyet
RAWATAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN MPOX
Rawatan Mpox
Tiada rawatan khusus bagi mpox. Walau bagaimanapun, ubat anti-viral yang digunakan bagi rawatan smallpox boleh juga digunakan untuk merawat individu yang disahkan mendapat mpox. Ini kerana terdapat persamaan genetik di antara virus yang menyebabkan kedua-dua penyakit berkenaan.
a). Ubat anti-viral contohnya tecovirimat (TPOXX) boleh digunakan untuk merawat individu yang mendapat jangkitan yang serius, contohnya bagi individu yang mengalami kurang daya imuniti badan. Namun begitu, ianya tidak digunakan di Malaysia.
b). Vaksin yang digunakan untuk smallpox boleh digunakan bagi mpox disebabkan terdapat persamaan genetik di antara virus yang menyebabkan kedua-dua penyakit berkenaan.
c). Namun begitu, berdasarkan penilaian risiko kejadian penyakit mpox di Malaysia, masih belum terdapat keperluan untuk pembelian vaksin tersebut; dimana langkah-langkah pencegahan adalah lebih mudah diamalkan oleh orang awam terutama yang berisiko.
Langkah-langkah Pencegahan Mpox
i. Cuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, atau gunakan pembersih tangan berasaskan alkohol (alcohol-based hand sanitizer);
ii. Jika pergi melancong ke negara-negara di Afrika Tengah dan Afrika Barat, elakkan daripada bersentuhan langsung dengan haiwan yang dikhuatiri boleh membawa virus mpox contohnya tikus dan haiwan primat seperti monyet dan kera;
iii. Elakkan juga daripada bersentuhan dengan haiwan yang sedang sakit ataupun telah mati, mahupun tempat tidur atau peralatan yang telah digunakan oleh haiwan tersebut.
iv. Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang mempunyai ruam atau lesi yang disyaki dijangkiti mpox;
v. Jangan menyentuh lesi kulit atau kuping individu yang disahkan mendapat jangkitan mpox;
vi. Jangan mencium, memeluk, atau melakukan hubungan seks dengan individu yang disahkan mendapat jangkitan mpox;
vii. Jangan berkongsi peralatan atau makanan dan minuman dengan individu yang disahkan mendapat jangkitan mpox;