SUDUT MAYA EKSA (Kemaskini: 27/08/2026)
Akan Datang:
16 Januari 2026: Mesyuarat Induk EKSA JKNP Bil.1/2026
23 Januari 2026: Gotong Royong Perdana Bil 1/2026 & Program Trash to Cash
26 - 31 Januari 2026: Audit Kendiri Zon EKSA JKNP & Tindakan Penambahbaikan
3- 5 Februari 2026: Audit Pensijilan Semula EKSA JKNP
29 Jun 2026: Taklimat GP EKSA KKM Edisi 2024 JKNP 2026 secara atas talian (anjuran JK Latihan)
1-2 September 2026: Kursus Pentauliahan Juruaudit EKSA Peringkat JKN, KKM Tahun 2026 (Johor Bahru)
Oktober 2026: Mesyuarat JK EKSA JKNP Bil.1/2026
Oktober 2026: Mesyuarat JK Induk EKSA JKNP Bil.2/2026
BERSIH, TERATUR, PRODUKTIF!
EKSA bukan sekadar amalan, tetapi budaya kerja warga JKN Pahang! 🌟
Jawatankuasa Latihan EKSA JKN Pahang telah menganjurkan Taklimat Garis Panduan EKSA KKM Edisi 2024 secara dalam talian pada 29 Jun 2026 (Isnin), dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Taklimat telah disampaikan oleh Puan Aainaa Balqis binti Mohamad Rizal Hadi, Sekretariat Induk EKSA Ibu Pejabat KKM, dan disertai seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja klinik dan hospital di seluruh Negeri Pahang. Taklimat ini memberi pendedahan berkaitan konsep, prinsip, kriteria penilaian serta pelaksanaan EKSA berdasarkan garis panduan terkini.
Penganjuran taklimat ini memberi manfaat kepada Negeri Pahang dalam memperkasa pelaksanaan EKSA secara lebih seragam dan berkesan di fasiliti kesihatan. Pengetahuan yang diperoleh dapat diterapkan di tempat kerja bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, kemas, selamat, kondusif dan berkualiti. Secara tidak langsung, amalan EKSA yang konsisten dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti warga kerja, memperkukuh imej fasiliti kesihatan serta menyokong usaha JKNP ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di Negeri Pahang.
KEPUTUSAN AUDIT DALAMAN EKSA TAHUN 2025
IPJKNP, 16 Januari 2026 - Mesyuarat JK Induk EKSA JKN Pahang Bil.1/2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, JKNP dan telah dipengerusikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBrs. Dr Hj. Saiful Azlan bin Hj Sharif selaku Penaung Amalan EKSA di jabatan ini. Mesyuarat yang dihadiri oleh Ketua - Ketua Zon, Penyelaras Zon serta JK Induk EKSA ini membincangkan pencapaian dan isu - isu berbangkit sepanjang tahun 2025 serta perancangan pelaksanaan Amalan EKSA bagi tahun 2026. Semoga warga JKN Pahang terus kekal membudayakan amalan ini dan dapat membuat persediaan rapi bagi menghadapi Audit Pensijilan Semula EKSA pada 3hb - 5hb Februari 2026. Selamat Maju Jaya!
IPJKNP, 4 September 2025 - Lawatan Penanda Aras EKSA oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Temerloh telah berlangsung dengan penyertaan seramai 15 peserta. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Mariah binti Daud, Penyelaras EKSA PKD Temerloh. Delegasi terdiri daripada ahli Jawatankuasa dan wakil zon EKSA PKD Temerloh. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan EKSA di JKN Pahang, mempelajari amalan baik di setiap zon, serta berkongsi idea dan pengalaman untuk penambahbaikan di jabatan masing-masing.
Program dimulakan dengan pendaftaran pada pukul 9.00 pagi, diikuti taklimat mengenai pelaksanaan EKSA di Bilik Mesyuarat 2, JKN Pahang, yang dipengerusikan oleh Pn. Salina binti Setan, Pengerusi EKSA JKN Pahang. Selepas taklimat, delegasi dibawa meninjau enam zon utama EKSA, iaitu Zon Pengurusan, Zon Kesihatan Awam, Zon Pergigian, Zon Farmasi, Zon BKKM, dan Zon Perubatan, serta mempelajari amalan baik yang diamalkan di setiap zon.
Antara amalan baik yang menarik perhatian ialah Sudut Terapi Minda di Zon Kesihatan Awam, yang dihiasi dengan tanaman hijau dan rekabentuk yang menenangkan, menyediakan ruang untuk staf berehat dan mengurangkan tekanan. Selain itu, terdapat juga Mini Gymnasium di ruang guna sama, yang memberi kemudahan untuk staf melakukan senaman ringkas bagi meningkatkan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental. Kedua-dua inisiatif ini menunjukkan pendekatan berbeza namun menyokong persekitaran kerja yang kondusif dan sihat.
Secara keseluruhan, lawatan ini berjaya mencapai objektifnya, memberi pendedahan praktikal dan idea baru bagi memperkukuh budaya kerja kondusif serta sistematik di PKD Temerloh, sambil memperluas kerjasama dan pertukaran ilmu antara jabatan.
Lawatan tamat jam 1.00 tengah hari.