Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merancang satu pelan strategik bagi memperkukuhkan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852]. Pelan strategik ini memberi fokus kepada dua komponen utama yang melibatkan pengukuhan dari aspek penguatkuasaan dan perundangan serta memperkasakan aktiviti promosi Kesihatan kepada masyarakat. Operasi Selamat Paru – Paru (Ops Selamat PaPa) yang akan dilaksanakan secara bersepadu memperkukuhkan pelaksanaan akta ini. Ia akan melibatkan anggota penguatkuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kangar, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan kerjasama lain – lain agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Perbandaran Kangar (MPK), dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN). Operasi Selamat Paru – Paru (Ops Selamat PaPa) ini akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula bulan Ogos ini hingga September 2025. Perasmian di peringkat Negeri Perlis dijalankan pada 1 Ogos 2025 serentak dengan peringkat kebangsaan dan negeri-negeri lain.
Objektif pelaksanaan Ops Selamat PaPa adalah untuk memberi pengetahuan kepada orang awam terutamanya pemborong / peruncit / peniaga serta orang ramai yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pelaksanaan Akta 852 ini supaya lebih peka serta patuh pada undang – undang yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menjelang Oktober 2025. Selain itu juga, pelaksanaan Ops Selamat PaPa ini bertujuan untuk memastikan penguatkuasa kesihatan supaya lebih mahir serta kompeten dalam melaksanakan penguatkuasaan Akta 852 meliputi segala aspek semasa di lapangan menjelang pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 sepenuhnya pada Oktober 2025.