BUKU PANDUAN KBAT
ELEMEN KBAT DALAM KURIKULUM
ELEMEN KBAT DALAM PdPc
1. MENGGUNAKAN ALAT BERFIKIR
Antara alat berfikir yang biasa digunakan:
i. Peta i-THINK
ii. Peta Minda
iii. 6 Topi Pemikir (6 Thinking Hats)
2. SESI SOAL JAWAB (PENGGUNAAN SOALAN ARAS TINGGI)
Sesi soal jawab yang banyak menggunakan kata tanya mengapa dan bagaimana serta soalan-soalan yang meminta penjelasan akan pendirian atau pandangan.
3. AKTIVITI APLIKASI/PROJEK
Melaksanakan aktiviti berbentuk hands on, seperti aktiviti berbentuk eksperimen, melaksanakan projek atau menghasilkan sesuatu bahan/alat/karya berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.
4. AKTIVITI PERBINCANGAN
Melaksanakan aktiviti perkongsian idea untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu atau membuat keputusan berkaitan sesuatu konsep/subtajuk. Aktiviti perbincangan yang hanya berbentuk mencari dan menyalin jawapan daripada mana2 buku TIDAK dikira sebagai aktiviti KBAT.
5. AKTIVITI BERBENTUK JANGKAAN AWAL ATAU KAJIAN MASA HADAPAN
Aktiviti ini boleh dilaksanakan sebelum atau selepas bermulanya aktiviti eksperimen, membaca, menonton, kajian novel/karya, perbincangan isu atau topik dsbnya.
6. AKTIVITI MEMBUAT REFLEKSI
Murid diminta membuat refleksi akan perkara atau kemahiran yang telah dipelajari sama ada secara lisan atau bertulis melalui aktiviti Exit Ticket, 2 Minit Pendapat atau mencatat perasaan dan pengalaman ketika belajar dan mengaitkan dengan apa yang ingin diketahui lebih lanjut atau menyatakan apa yang tidak difahami serta sebabnya dalam buku latihan setiap kali selepas PdPc.
ELEMEN KBAT DALAM PEDAGOGI
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) KBAT yang berkesan perlu berpusatkan murid dengan melibatkan mereka secara aktif dalam PdP melalui tugasan dan soalan yang mencabar pemikiran. Justeru, guru perlu mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif bagi merangsang murid berfikir. Guru juga boleh menggunakan alat berfikir dan teknik penyoalan dalam usaha membudayakan pemikiran yang kritis dan kreatif dalam kalangan murid.
Pedagogi yang melibatkan murid berfikir telah lama dilaksanakan, melalui program seperti Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) yang dilaksanakan di sekolah pada tahun 1994.
Program ini diteruskan dan dimantapkan dengan pengenalan KBAT seperti yang disarankan dalam PPPM (2013-2025).
Pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap yang ada pada seseorang individu memainkan peranan penting dalam proses berfikir. Kesemua aspek ini menjadi latar belakang untuk membuat penaakulan dan refleksi sehingga membolehkan seseorang individu berfikir aras lebih tinggi dalam konteks dapat membuat keputusan, menyelesaikan masalah, menginovasi dan mencipta. Dalam proses ini, empat tahap pemikiran yang tinggi diberi fokus iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta .
ELEMEN KBAT DALAM PENTAKSIRAN
PENTAKSIRAN : Proses mendapatkan maklumat untuk mengetahui perkembangan dan pencapaian murid dengan menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan.
- Maklumat pentaksiran penting bagi membantu murid memahami tujuan belajar dan mengetahui kemajuan pembelajaran, meningkatkan motivasi dan keyakinan diri serta mengambil tindakan susulan.
- Melalui maklumat pentaksiran, guru boleh menilai keberkesanan PdP, menambah baik PdP dan merancang aktiviti tindakan susulan.
- Pentaksiran yang holistik bagi seseorang murid merangkumi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan peperiksaan. PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Psikometri (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
- Guru boleh mengenal pasti tahap penguasaan KBAT dalam kalangan murid melalui tiga bentuk pentaksiran iaitu PS, PP dan peperiksaan.