KEDUDUKAN MATAHARI TANDA BERMULA DAN BERAKHIRNYA WAKTU SOLAT
Waktu subuh bermula apabila terbitnya fajar di ufuk timur sehingga terbitnya matahari.
Terdapat dua jenis fajar iaitu fajar kazib dan fajar sadiq.
Fajar yang dicerap bagi menentukan masuknya waktu solat subuh adalah fajar sadiq .
PERBEZAAN FAJAR KAZIB DAN SADIQ
Fajar kazib adalah fajar yang bersifat ‘bohong' manakala fajar sadiq merupakan fajar yang sebenar bagi menentukan masuknya waktu subuh.
Fajar kazib cahayanya menegak dari timur dan mengarah ke tengah langit manakala fajar sadiq melintang di ufuk timur iaitu arah utara sehingga ke selatan.
Fajar kazib bersifat sementara. Ketika langit malam yang gelap, muncul satu cahaya yang menerangi langit di ufuk timur untuk seketika.
Fajar kazib akan beransur-ansur hilang dan langit akan kembali gelap.
Berbeza pula dengan fajar sadiq kerana fajar sadiq cahayanya akan terus bertambah kecerahannya daripada semasa ke semasa sejurus ia muncul sehingga terbitnya matahari di ufuk timur.
Fajar kazib cahayanya terputus dari ufuk. Di antara fajar kazib dan ufuk, terdapat satu ruang. Fajar sadiq pula cahayanya menyatu dengan ufuk timur langit.
FAJAR KAZIB
FAJAR SADIQ
Kesimpulannya , terdapat dua kali fajar yang muncul sebelum matahari terbit.
Fajar yang pertama digelar sebagai fajar kazib iaitu fajar ‘bohong‘ dan fajar yang kedua digelar sebagai fajar sadiq iaitu fajar yang sebenar bagi menentukan masuknya waktu solat subuh.
Berakhirnya waktu solat subuh pula ditandai dengan terbitnya matahari di ufuk timur atau dikenali sebagai waktu syuruk .