Perayaan Phor Tor atau Hantu Lapar disambut setiap tahun pada bulan ke-7 kalender lunar Cina. Mengikut kepercayaan Cina, roh-roh yang mengalami kematian tragis dibebaskan dari neraka dan berkeliaran di bumi. Orang Cina menawarkan makanan, doa, opera Cina atau wayang boneka, dan membakar colok serta wang kertas neraka untuk menenangkan roh-roh ini. Di rumah, mereka juga menghormati nenek moyang dengan makanan sembahyang dan pembakaran wang kertas neraka.
Patung Phor Tor Kong (Tai Su Yeah) diletakkan di bangsal sementara untuk ibadat awam, disertai oleh dewa-dewa yang membawa keamanan dan tuah. Pameran ini mempamerkan upacara ritual dalam perayaan, bahan sembahyang, dan persembahan yang menyerlahkan peranannya dalam mengekalkan rangkaian perniangaan tempatan dan sumbangan kepada badan kebajikan.
Perayaan ini telah menghidupkan semula pekan dan komuniti di Seberang Perai serta menyumbang kepada pembangunan budaya dan ekonomi mereka. Dengan memberi tumpuan kepada Bukit Mertajam (BM) dan Pasar Awam Sri Uda di Butterworth, pameran ini menunjukkan bahawa ritual harian, persembahan makanan, patung-patung dewa, pementasan Opera Cina, pengumpulan dana untuk sekolah-sekolah Cina dan golongan memerlukan, serta doa para penganut, membawa suasana perayaan ke pekan-pekan tersebut. Peta-peta yang dipamerkan menggambarkan rangkaian perniagaan yang berkait dengan perayaan ini di kedua-dua pekan serta bagaimana ekosistem tersebut menyokong kelestarian perayaan ini. Perniagaan yang berkaitan dengan perayaan ini berkembang pesat sepanjang tempoh perayaan.