SK TEMENGGONG ABDUL RAHMAN (StarsSmart)
SK TEMENGGONG ABDUL RAHMAN (StarsSmart)
SK TEMENGGONG ABDUL RAHMAN SEGAMAT.
Ditubuh dalam tahun 1900 bertempat di Jalan Hassan, Segamat di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad bin Hassan. Dikenali sebagai Sekolah Melayu Segamat. Bangunan sekolah kecil berbentuk rumah kediaman yang diperbuat daripada papan. Pada tahun 1914, sekolah ini telah berpindah ke bangunan yang baru dibina oleh kerajaan di Jalan Aji, Segamat. Bangunan baru ini mempunyai 4 bilik darjah yang besar disekat dengan tirai papan dan sebuah bilik kecil sebagai bilik Guru Besar. Menjelang tahun 1930, dibawah pimpinan Encik Arshad bin Esa, sekolah ini telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Pawang, Segamat. Bangunan rumah panjang yang dibina tidak mempunyai dinding untuk memisahkan bilik-bilik tertentu. Bilik darjah hanya dipisahkan dengan skrin papan. Pada tahun 1942 dibawah pimpinan Tuan Haji Jiman bin Abdul Ghani, jumlah murid adalah seramai 179 orang. Menjelang tahun 1944 jumlah murid ialah 64 orang kerana peperangan. Tetapi pada tahun 1945, jumlah murid bertambah kepada 170 orang. Oleh kerana semua murid sekolah ini lelaki, maka sekolah ini lebih dikenali Sekolah Melayu Lelaki Bandar Segamat.