Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
Syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya dapatlah kita memartabatkan pendidikan yang natijahnya membawa kepada kejayaan bangsa, agama dan negara.
Tahun ini dan seterusnya merupakan tahun-tahun yang mencabar yang akan menguji profesion keguruan kita. Oleh itu, guru-guru haruslah tabah dan cekal untuk menyahut apa jua cabaran yang datang.
Sudah menjadi impian kita untuk melahirkan modal insan yang terbaik mengikut acuan kita sendiri. Pendidikan jelas merupakan pelaburan terpenting dan gurulah pemangkin utama memastikan hasrat tersebut tercapai. Para pelajar dituntut untuk memperlengkapkan diri dengan lima aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Pemuafakatan dan jalinan kerjasama antara guru, ibu bapa dan murid sangat perlu bagi memastikan transformasi pendidikan dalam PPPM 2013 - 2025 menjadi realiti.
Tahun 2024 diharapkan SMK Tinggi Melaka dapat mencipta kejayaan cemerlang baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum . Justeru itu, untuk merakamkan segala kejayaan dan segala kenangan manis itu bolehlah diabadikan dalam platform laman DELIMa sekolah ini. Guru dan murid juga diharapkan dapat memanfaatkan platform "GERBANG MAKLUMAT DIGITAL MHS" ini secara optimum untuk mendapatkan informasi-informasi tentang sekolah.
Akhir kata, saya berdoa agar seluruh warga SMK Tinggi Melaka sentiasa memberikan komitmen yang tinggi untuk mencapai kegemilangan.
Sekian, terima kasih.