SMK Tinggi Melaka (Malacca High School)
Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka atau lebih dikenali sebagai Sekolah Tinggi Melaka (MHS) merupakan sekolah kedua tertua di Malaysia setelah Penang Free School. Sekolah yang kini megah berdiri di Jalan Chan Koon Cheng, Melaka ini telah melahirkan ramai anak Malaysia yang kini namanya gah dalam mahupun luar negara menerusi bidang masing-masing. Malah beberapa kejayaan dalam mahupun luar negara telah beberapa kali dikecapi sehingga ke hari ini. Malah, pelbagai pengiktirafan telah diterima oleh SMK Tinggi Melaka antaranya sebagai salah satu sekolah premier di Malaysia, dan Anugerah Sekolah Cemerlang (Kategori Lonjakan Saujana SPM). Baru baru ini SMK Tinggi Melaka telah diiktiraf sebagai salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan di Malaysia.
Bermula pada 7 Disember 1826, STM dengan rasminya ditubuhkan. Penubuhan ini adalah tidak lama setelah negeri Melaka menjadi wilayah jajahan Inggeris (17 Mac 1824). Penubuhannya adalah ilham Thomas H. Moore yang telah datang ke Melaka pada 1825 atas undangan Milne untuk menjadi tenaga pengajar di Anglo Chinese College. Dalam suratnya yang bertarikh 4 Januari 1825, beliau Thomas H. Moor telah menyatakan hasratnya kepada Arundel di Kota London untuk membuka sebuah sekolah aliran Inggeris di Melaka. Ilham beliau telah mendapat sokongan dan perhatian daripada beberapa orang yang berpengaruh, termasuklah James Humphrey iaitu seorang “Superintendent” dalam London Society’s Mission. Dengan bantuan mereka semua inilah secara rasmi “Malacca Free School” dibuka. Latar belakang kepada pengasasan sekolah ini berikutan penutupan sebuah sekolah Belanda-Melayu yang ditubuhkan oleh mubaligh Kristian pada 1819. Sekolah Belanda-Melayu itu terpaksa ditutup berikutan pertukaran pemerintahan Belanda kepada Inggeris. Bermula dengan nama “Malacca Free School”, sekolah yang sepatutnya dikemudi oleh mubaligh-mubaligh Kristian terpaksa diambilalih oleh kerajaan British berikutan masalah kewangan dan pentadbiran yang dihadapi oleh mubaligh-mubaligh Kristian ini.
STM bukan sahaja membuka pintunya kepada semua bangsa dan agama, namun ia juga memberikan pelajaran percuma kepada para pelajarnya. Justeru, ia dinamakan “free” (percuma atau bebas). Ini berbeza dengan Penang Free School (1816) dan Singapore Free School (1823) yang sezaman dengan STM, yang mana kedua-dua sekolah ini hanya “free” dari segi pengambilan pelajar sahaja, tetapi mengenakan bayaran (yuran) kepada pelajar-pelajarnya.
Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J. W. Oversee dan A. W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T. H. Moore.
Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.