SMK Seri Tualang adalah sekolah menengah harian berasrama di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang
SMK Seri Tualang mendapat nama sempena perkampungan berhampiran iaitu Kampung Tualang. Tualang merujuk kepada spesies pokok yang tinggi dan rimbun serta amat digemari lebah untuk membina sarang. Madu lebah pokok Tualang adalah madu yang bermutu tinggi dan paling mahal harganya.
Sekolah ini telah dipilih sebagai sekolah Model Khas bermula Januari 2004 dengan 52 orang pelajar Tahun 4 serta 3 orang guru. Sekolah Model Khas merupakan sekolah yang menggabungkan Tahap II pendidikan rendah dan pendidikan menengah di bawah satu pentadbiran. Di negeri Pahang sekolah Model Khas dikenali sebagai Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP)
SMK Seri Tualang dibuka pada 04.01.1999 Lokasinya di kilometer 7 jalan pintasan Temerloh-Mentakab. Sekolah ini merupakan salah sebuah Sekolah Rancangan Khas (SRK) di negeri Pahang. Sebahagian besar pelajarnya tinggal di asrama.
Pada masa kini terdapat 29 buah kelas dengan jumlah pelajar seramai 776 orang. Bilangan guru pula seramai 65 orang termasuk 2 orang kaunselor. SMK Seri Tualang memberi peluang kepada pelajar cemerlang dalam UPSR dan PMR yang tidak berpeluang ke mana-mana Sekolah Berasrama Penuh.
Sekolah ini beriltizam merealisasikan visi dalam menghasilkan pelajar yang berpemikiran internasional. Misi sekolah ini adalah untuk membangunkan potensi murid menjadi berpengetahuan, bersifat ingin tahu, dan berfikiran terbuka serta mengambil berat terhadap anggota masyarakat melalui kurikulum dan kokurikulum yang diiktiraf antarabangsa atas dasar kemanusiaan.