PENGETUA SMK BANDAR BARU PUTRA
EN ROSLAH BIN SARIYON
Selamat Tahun Baru 2024!
Selamat kembali ke sekolah untuk meneruskan tugasan hakiki dan amanah yang digalas sebagai pendidik dalam meneruskan transformasi pendidikan yang semakin mencabar. Guru selaku pemudahcara yang berperanan sebagai perancang, pengawal, pembimbing, pendorong dan penilai utama dalam PdPc PAK21 perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mengharungi cabaran pendidikan pada masa kini.
Sebagai Pengetua, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan budaya kerja cemerlang ditingkatkan dalam kalangan warga sekolah di samping memberikan penekanan terhadap PPPM 2013 - 2025 dalam konteks Sekolah Transformasi (TS25). Penghayatan dan pembugaran amalan-amalan terbaik TS25 akan terus diperkasakan dalam usaha untuk memastikan kemenjadian murid dioptimumkan. Selaras dengan aspirasi TS25 yang digariskan, MAGIC PUTRA menjadi slogan untuk difahami, dihayati dan dijiwai oleh semua warga SMK Bandar Baru Putra bagi memastikan transformasi kecemerlangan dapat dijayakan. Elemen penting yang mesti dipupuk dalam kalangan semua warga sekolah adalah semangat cinta dan sayangkan sekolah serta rasa kesepunyaan (sense of belonging). Kebersamaan dan semangat kerja sepasukan yang tinggi menjadi aset berharga MAGIC PUTRA untuk melakar kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Justeru, semua pendidik di sekolah ini perlu berusaha untuk mengoptimumkan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang sama ada di dalam atau di luar sekolah sebagai pembelajaran yang bersandarkan slogan ‘Penggerak Pembelajaran Bermakna’. Di samping itu, pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan murid perlu ditekankan melalui amalan serta pelbagai aktiviti dan program sekolah yang dilaksanakan agar hasrat negara untuk melahirkan warga yang berakhlak mulia tercapai.
Selaras dengan kehendak dan cabaran Revolusi Industri 4.0, penekanan kepada elemen STEM yang berteraskan Sains dan Teknologi terus diperhebatkan untuk melahirkan generasi mapan yang berdaya saing, berkemahiran dan mampu menjadi ‘global player’. Murid-murid perlu diperlengkapkan dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi agar mereka mampu berfikir dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para guru untuk berusaha gigih tanpa jemu untuk mempersiapkan generasi pewaris negara dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Kesungguhan dan komitmen warga pendidik SMKBBP pasti akan dapat melahirkan generasi muda yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil.
Akhir kalam, jutaan terima kasih kepada ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab kepada tugasan guru secara menyeluruh. Saya yakin semua warga SMK Bandar Baru Putra akan memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dan merealisasikan hasrat MAGIC PUTRA.
Kod Sekolah: AEA2067
Nama Sekolah: SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BANDAR BARU PUTRA
Peringkat: MENENGAH
PPD: PPD KINTA UTARA
Alamat: PERSIARAN PUTRA 9, BANDAR BARU PUTRA
Poskod Surat: 31400
Bandar: IPOH
Negeri: PERAK
No. telefon: 055336437
No. faks: 055336470
E-mel: AEA2067@moe.edu.my