Ditubuhkan pada 1 Januari 1967 dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kemasik dengan 2 blok bangunan kelas dan bilik pentadbiran. Jumlah murid pada masa itu ialah 103 orang yang terdiri daripada 77 orang Tingkatan 1 dan 25 orang murid kelas Ekspres Tingkatan 2. Bilangan guru pula seramai 7 orang. Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah menengah bagi penduduk di sekitar Kemasek, Kijal, Ibok, Air Jernih, Payoh, Kerteh, Labohan dan Paka pada ketika itu. Pada 23 Ogos 1969, sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh YB Dato’ Hj Abdul Rahman Yaakub, Menteri Pelajaran pada masa itu.
Nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah pada tahun 1984. Seiring dengan perubahan itu, moto sekolah juga berubah daripada ‘Mengejar Bahagia’ kepada ‘Beramal Berbakti’. Perubahan drastik bilangan pelajar berlaku pada tahun 1985 dengan bilangan murid berjumlah 1217 orang. Namun, mulai tahun 1989 bilangan pelajar semakin berkurang setelah wujudnya Sekolah Menengah Kerteh. Bilangan pelajar juga semakin berkurang setelah Sekolah Menengah Seri Bandi dibuka pada tahun 2008. Walau bagaimanapun, bilangan pelajar Kelas Rancangan Khas (KRK) dari sekitar kawasan DUN Kemasek.
Pada tahun 1997 lagu sekolah telah dicipta oleh salah seorang guru sekolah iaitu Puan Khazriyati Salleh untuk menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan murid di samping memupuk kasih terhadap sekolah.
PERKEMBANGAN SEKOLAH
Pada akhir tahun 1968, sekolah ini telah mengemukakan 28 calon untuk peperiksaan SRP. Pada tahun 1969, 34 orang daripada 67 orang calon SRP telah lulus dan layak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4.
Pada tahun 1970, buat pertama kalinya sekolah ini dibenarkan menubuhkan kelas Tingkatan 4, dan pada tahun 1971 sekolah ini mula mengemukakan calon untuk peperiksaan SPM. Keputusannya amat membanggakan apabila seorang calon mendapat pangkat 1, 3 orang mendapat pangkat 2 dan 17 orang calon mendapat pangkat 3 dengan peratus lulus 84%.Sebuah bengkel Kemahiran Hidup telah dibina pada tahun 1976. Mulai tahun 1978, 3 blok sekolah dan 2 blok bangunan asrama telah didirikan untuk menampung pelajar yang semakin bertambah. Pada tahun 1983 sebuah surau telah dibina oleh pihak PIBG secara bergotong-royong untuk kegunaan pelajar manakala sebuah lagi bangunan kelas dibina pada tahun 1984 bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.