ANTI-DADAH
Program Sifar Dadah Sekolah Rendah (PROSIDAR)
Pada 28 Februari 1983, Jawatankuasa Kabinet Antidadah telah mengisytiharkan ‘Dadah Musuh Utama Negara’. Dalam hal ini, Kementerian Pendididan Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah. Sasaran utama program ialah kepada murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa. Program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah dilaksanakan secara bersepadu melalui strategi utama iaitu Pengurusan dan Kepimpinan, Kurikulum, Ko-kurikulum dan Pembangunan sahsiah.
Matlamat Pendidikan Pencegahan Dadah
Matlamat Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah ialah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa akan bahaya dadah agar mereka menjauhinya dan berupaya menentang ancaman dadah dengan meletakkan sasaran ‘Sekolah Bebas Dadah’.
Rasional
Masalah penggunaan dadah yang berleluasa hari ini bukan sahaja melibatkan orang dewasa tetapi menular kepada golongan remaja. Kejadian ini menjadi lebih genting disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Keadaan ini menyebabkan murid kita sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Menyedari hakikat ini Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah secara sistematik dan berkesan.
Objektif Pendidikan Pencegahan Dadah
1. Meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran Pendidikan Pencegahan Dadah kepada murid, guru dan kakitangan sekolah supaya dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah.
2. Membina ketahanan dan jati diri yang tinggi di kalangan murid dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.
3. Membolehkan murid membentuk budaya dan tingkah laku positif dan mengamalkan nilai-nilai murni.
4. Melibat dan mewujudkan permuafakatan masyarakat sekolah dengan masyarakat luar sekolah dalam usaha mencegah dadah.
Strategi Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah
Hasil mesyuarat antara Menteri Pendidikan dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2 Januari 1998, beberapa persetujuan tentang strategi PPDa di sekolah telah dicapai. Strategi utama PPDa yang dimaksudkan ialah melalui Kurikulum dan Kokurikulum. Lanjutan daripada itu, beberapa proses pemantauan dan pemurnian dijalankan. Hasilnya, dua lagi strategi digerakkan sebagai pelengkap kepada strategi yang sedia ada iaitu melalui Pengurusan dan Kepimpinan serta Pembangunan Sahsiah.