Nama sekolah : Sekolah Kebangsaan Meru Raya
Kod sekolah : ABA 2075
Alamat sekolah : 30020, Ipoh
Koordinat : 4.6710926,101.0896344
No. Tel / Faks : 05-5253417 / 05-5253468
e-mel : aba2075@moe.edu.my
JPN : Jabatan Pendidikan Negeri Perak
PPD : Kinta Utara
Parlimen : Tambun
Dewan Undangan Negeri : Manjoi
Jenis sekolah : Sekolah Kebangsaan
Peringkat : Prasekolah - Tahun 6
Jenis murid : Prasekolah / Perdana / PPKI
Sesi : Pagi sahaja
Lokasi : Bandar
Gred : B
Jenis bantuan : Kerajaan
Sumber bekalan elektrik : TNB
Sumber bekalan air : LAP
Jenis asrama : Tiada
Lembaga Pengelola Sekolah : Ada
Bilangan guru : 62
Bilangan AKP : 9
Bilangan kelas : 29 (Kelas Perdana) | 4 (Kelas PPKI) | 2 (Kelas Pra)
Bilangan murid : 904
Pembinaan Sekolah Kebangsaan Meru Raya sebenarnya telah bermula pada penghujung tahun 2012 tetapi hanya berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun 2017. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini gagal disiapkan oleh kontraktor yang pertama sehingga menyebabkan kontrak kerja ditamatkan sebelum disambung kembali pembinaannya oleh kontraktor yang baru. Akhirnya, pada penghujung tahun 2017, sekolah ini berjaya disiapkan.
Mesyuarat pertama prapembukaan SK Meru Raya telah diadakan pada 28/11/2017 di SK Chepor dan dipengerusikan oleh Tn. Hj. Ismail b. Mohmed (Penyelia Kanan Sekolah Rendah Kinta Utara) dan dihadiri oleh En. Mohd Ramli b. Mohd Baki (Penyelia Sekolah Rendah), En. Kamaruddin (Unit Perhubungan PPDKU) dan lima orang Guru Besar sekolah berhampiran dan penolong-penolong kanan sekolah berkenaan. Pada masa mesyuarat ini juga, dua orang Caretaker @ Pegawai Tadbir Urus bagi SK Meru Raya telah dilantik iaitu En. Abu Bakar b. Mat Som (dari SK Kelebang Jaya) dan En. Ery Zuan b. Zulkifli (dari SK Pusing). Kedua-dua orang Caretaker ini bertanggungjawab memantau keadaan sekolah dan menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan operasi pembukaan sekolah serta menyediakan laporan perkembangan sekolah kepada pihak PPD Kinta Utara dan Jabatan Pelajaran Perak.
Lawatan prapenyerahan bangunan telah diadakan pada 29/11/2017 dan melibatkan beberapa pihak iaitu Pegawai Unit Pembangunan PPD Kinta Utara, Pegawai Unit Pembangunan JPN Perak, pihak kontraktor utama, subkontraktor dan Caretaker. Majlis serahan bangunan oleh pihak kontraktor kepada pihak JKR Kinta dan JKR Kinta kepada pihak JPN Perak telah diadakan pada 22/12/2017 di SK Meru Raya.
Dalam pemerhatian Caretaker, biarpun bangunan telah diserahkan, namun terdapat banyak isu berkaitan pembinaan yang belum diselesaikan dan dipercayai akan mengganggu kelancaran operasi pembukaan sekolah. Beberapa isu yang dianggap pengganggu terbesar operasi pembukaan ialah masalah pam air, isu loji kumbahan, masalah bekalan elektrik, isu taman permainan Prasekolah, isu pagar padang dan masalah tempias kuat pada bahagian tangga bangunan. Sehubungan itu, Caretaker telah menyediakan dua bentuk laporan iaitu Laporan Kesediaan Sekolah dan Laporan Kecacatan / Bangunan dan membuat serahan laporan kepada pihak PPD Kinta Utara dan JPN Perak.
SK Meru Raya dikelilingi beberapa buah taman perumahan yang memberi gambaran bahawa sekolah ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan murid-murid. Taman-taman perumahan yang berdekatan dengan lokasi SK Meru Raya ialah Taman Meru Impian, Taman Meru Damai, Lengkok Meru Permai dan Halaman Meru Permai.
SK Meru Raya juga menerima sebahagian murid dari sekolah-sekolah yang berdekatan iaitu SK Jati, SK Seri Klebang, SK Jelapang, SK Chepor dan SK Hj. Mahmud. Hal ini kerana murid-murid tersebut tinggal di taman-taman perumahan yang disenaraikan di atas.
Pada 1 Februari 2018, SK Meru Raya telah menerima lantikan pentadbir iaitu Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Kokurikulum.
SK MERU RAYA, KARISMA, GAH, TERBILANG
Megahnya berdiri mercu gemilang
Sekolah Kebangsaan Meru Raya
Semangat bagai membara, melangkah waja mara
Bangkit bersama kita tenun jaya
Dengarkan janji dan ikrar setia
Dedikasi dan berdisiplin dijadikan amalan
Cekal tekun kecemerlangan
SK Meru Raya, karisma…. gah, terbilang
Megahnya berdiri mercu gemilang
Sekolah Kebangsaan Meru Raya
Semangat bagai membara, melangkah waja mara
Bangkit bersama kita tenun jaya
Dengarkan janji dan ikrar setia
Dedikasi dan berdisiplin dijadikan amalan
Cekal tekun kecemerlangan
SK Meru Raya, karisma…. gah, terbilang
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Objektif Sekolah
• Kurikulum dan Kokurikulum cemerlang
• Sahsiah dan disiplin terpuji
• Persekitaran Kondusif
• Pentadbiran dan pengurusan yang telus dan berwibawa
• Hubungan komuniti yang erat
Falsafah
Setiap murid mempunyai kebolehan dan potensi untuk kemajuan diri. Sikap berusaha gigih tanpa mengenal erti putus asa mampu menjadi menjadi pemangkin melonjakkan prestasi akademik dan memantapkan sahsiah murid-murid serta memajukan sekolah.
Sikap tekun dan taawakal pula akan menzahirkan kewujudan budaya belajar dan budaya kerja yang komited dan berkesan, menyuburkan semangat juang yang tinggi serta membina karisma dan jati diri yang utuh dalam kalangan murid, kakitangan guru dan bukan guru sekaligus menjadikan sekolah ini gah dan terbilang.
Piagam Pelanggan
SK Meru Raya diwujud dan dibangunkan untuk memberi kemudahan, ruang dan peluang mengoptimumkan potensi dan keupayaan murid dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan modal insan dengan menjadikan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Pelan Pembangunaan Pendidikan Malaysia (PPPM) serta Pendidikan Alaf 21 sebagai paksi dan hala tuju.
Piagam Pelanggan SK Meru Raya adalah seperti berikut:
· Prasarana dan suasana pembelajaran yang kondusif.
· Kewujudan ruang dan peluang yang adil kepada murid-murid dalam memperkembangkan bakat dan potensi diri mereka.
· Penyuburan iklim dan budaya penyayang melalui semangat kerjasama antara sekolah dan masyarakat setempat.
· Pembentukan sahsiah terpuji seluruh warga sekolah.
Moto Sekolah
Karisma , Gah, Terbilang