19 hingga 21 Februari 2025
JPM & JB telah melaksanakan Aktiviti Literasi Bahasa dan Sahabat Bahasa pada 19-21 Februari 2025 di SK St Lawrence. Seramai 21 orang pelajar (11 BM & 10 TESL) telah menyertai program ini. Seramai tujuh orang pensyarah yang menjadi pembimbing dan fasilitator, iaitu Dr. Radna Wismawati Muhibah Yahya Sawek, Dr. Sara Beden, En. Nordin Seruji, Pn. Azalina Azmi, Pn. Ramunah Mohram, Pn. Ily Sofianny Nosin dan En. Neil Obrien Joseph.
Aktiviti MBMMBI:
Santai bahasa
* Nyanyian lagu kanak-kanak
* Kamil kata
* Permainan Jepun
* Cucu-cucu tolonglah nenek
Aktiviti Literasi
1. Mengenal Huruf
* lagu ABC
* pukul Lalat
* teka-teki huruf vokal & konsonan
* A E I O U itu bunyi kami
* lompat si kata lompat, lompat ke bunyi vokal
2. Menguasai suku kata
* Kenali SUKU KATA
* Teng-Teng Suku Kata
* Dasuka (Dadu Suku Kata)
* SaSuKa (Sahiba Suku Kata)
3.Membuat ayat mudah @ ringkas
* Puzzle bergambar
* Sasuka (Sahiba Suku Kata)
* Kek Impian Saya
* Percutian keluarga saya
4.Aktiviti Literasi & Santai Bahasa MBMMBI
- Bowling Words
- Taboo Words
- Words of Wonder
- Star Voice (Performance, Lagu: I'm a little teapot, old macdonald had a farm, if you're happy and you know it,head shoulders knees and toes)
- Knowing preposition
Impak program.
1. Pemerkasaan didik hibur dalam PdP.
2. Kesedaran merapatkan kesenjangan literasi- Teras 4 KPM.
3. Kepentingan Transformasi Teori kepada Praktikal.
17 April 2025
JPM telah mengadakan Sketsa bertajuk "Perpaduan Bukan Sekadar Kata" semasa aktiviti Sudut Pengucapan Awam pada 17 April 2025 di Dewan Asajaya. Sketsa ini telah dipersembahkan oleh pelajar kelas BM1824 dan dihadiri pelajar major BM dan TESL. Sketsa yang berdurasi 30 minit ini berupaya menyampaikan mesej penting tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia selain berfungsi sebagai hiburan. Penglibatan para pelajar dalam sketsa ini berupaya meningkatkan keterampilan dan keyakinan diri mereka sebagai bakal guru.
24 April 2025
Pada 24 April 2025, Jabatan Pengajian Melayu telah mementaskan sebuah teater yang bertajuk "Hikayat Puteri gunung Ledang: Lembayung Suara yang Merantai" sebagai pengisian aktiviti Sudut Pengucapan Awam pada 24 April 2025, bertempat di Dewan Asajaya. Pementasan teater ini telah dipersembahkan oleh siswa siswi kumpulan BM2824 dan dihadiri oleh pelajar kursus Bahasa Melayu. Teater yang berdurasi selama 30 minit ini berupaya untuk menyampaikan mesej yang bermakna tentang kepentingan warisan budaya dan kesusasteraan Melayu yang menitikberatkan nilai keberanian dalam menghadapi cabaran demi sebuah tanggungjawab. Pelibatan pelajar major BM dalam teater ini mampu meningkatkan keterampilan berbahasa sebagai seorang bakal pendidik
04 Julai 2025
Jabatan Pengajian Melayu telah menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak peringkat IPGKTAR yang merupakan salah satu pengisian aktiviti MBMMBI 2025. Kumpulan PPISMP BM1824 merupakan jawatankuasa kerja bagi pertandingan tersebut. Pertandingan Deklamasi Sajak diadakan pada 4 Julai 2025, bermula dari pukul 7:30 hingga 10:00 malam dan bertempat di Dewan Sadong Jaya. Seramai 14 orang peserta daripada pelbagai major, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni Visual telah menyertai pertandingan ini. Pertandingan telah dinilai secara profesional oleh barisan hakim yang terdiri daripada En. Sepawi Bin Haji Lukoi selaku Ketua Hakim, En. Abang Norhanizam Bin Abang Hasan dan Puan Norlia Binti Putit. Lima peserta terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang, iaitu Zuniza Elisa Binti Zulkiflee dari PSV1824 (Johan), Aziman Ziqri Bin Superi dari BM2824 (Naib Johan), Nur Asiken Binti Sarudin dari BM3824 (Tempat Ketiga), serta dua penerima saguhati iaitu Intan Nor Alliya Binti, Mohamed dari PI1823 dan Nur Afifa Insyra Binti Mohamad Ismalie dari BM3824. Program ini bertujuan untuk menyemai kecintaan terhadap seni dan sastera serta penguasaan bahasa melalui pertandingan deklamasi sajak yang berkesan. Secara keseluruhan, program ini telah berlangsung dengan jayanya dan berjaya mencapai matlamat dalam memartabatkan bahasa dan sastera serta menggalakkan pelibatan pelajar dalam aktiviti berteraskan nilai seni dan sastera. Aktiviti ini juga berupaya membina dan memugar daya kreativiti bakal guru dalam seni bahasa yang sekali gus menyumbang dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu.
16 Julai 2025
Jabatan Pengajian Melayu telah menganjurkan Pertandingan Sketsa Pendek peringkat IPGKTAR yang merupakan salah satu pengisian aktiviti MBMMBI 2025. Kumpulan PPISMP BM2824 merupakan jawatankuasa kerja bagi pertandingan tersebut. Pertandingan Sketsa Pendek diadakan pada 11 Julai 2025, bermula dari pukul 7:30 malam hingga 10:00 malam dan bertempat di Dewan Asajaya. Seramai 5 kumpulan daripada pelbagai opsyen seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, dan Pendidikan Seni Visual telah menyertai pertandingan ini. Tema yang diangkat dalam pertandingan ini ialah perpaduan. Pertandingan ini telah dinilai secara profesional oleh barisan hakim yang terdiri daripada En. Wagner anak John Sangur selaku Ketua Hakim, En. Banto anak Sabang, dan Puan Norlia Binti Putit. Tiga kumpulan terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang, iaitu TESLIAN daripada kumpulan BI1824 (Johan), ERAMAZLAN daripada kumpulan PSV1824 (Naib Johan) dan ANCALA WARITA daripada kumpulan BM2822 (Ketiga). Program ini bertujuan untuk memupuk kemahiran berkomunikasi dalam kalangan bakal guru agar mempunyai kemahiran komunikasi berkesan dan menyemai kecintaan terhadap Bahasa Melayu melalui aktiviti berasaskan lakonan dan penulisan skrip yang mencerminkan budaya, nilai dan identiti kebangsaan. Secara keseluruhannya, program ini berupaya memenuhi objektif dalam menyemai perpaduan, sekali gus mengangkat martabat bahasa Melayu. Ringkasnya, program ini berupaya mendorong penyertaan bakal guru dalam aktiviti berasaskan seni bahasa yang mengupayakan mereka mengekspresikan fikiran, perasaan dan nilai estetika.
28 Ogos 2025
Jabatan Pengajian Melayu telah mengadakan pementasan teater pendek bertajuk "Warung Pak Senin" pada 28 Ogos 2025 di Dewan Sadong Jaya, IPG Kampus Tun Abdul Razak. "Warung Pak Senin" menyajikan pertarungan antara nilai lama dan nilai baharu dalam kisah penuh emosi dan bermakna sebagai pengajaran kepada siswa pendidik bahawa pemodenan harus mengambil kira kearifan tempatan. Para siswa pendidik berupaya menyelami keindahan seni pementasan ini, sekali gus menyemai sikap cinta akan bahasa dan sastera. Hasrat pementasan ini turut mengambil kira usaha memartabatkan seni bahasa.
28 Ogos 2025
Jabatan Pengajian Melayu telah mengadakan Pertandingan Lagu Rakyat MBMMBI 2025 anjuran Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAR merupakan usaha memartabatkan seni muzik tradisional Melayu berteraskan tema “Warisan Bernada, Generasi Berkarya”. Program yang berlangsung pada 28 ogos 2025 di Dewan Asajaya ini mengetengahkan persembahan lagu-lagu rakyat yang menjadi warisan budaya bangsa. Pertandingan ini menjadi wadah penghayatan seni muzik tradisional, menyemai kecintaan terhadap warisan budaya dalam kalangan generasi muda serta mengeratkan silaturahim warga IPGKTAR melalui sokongan dan penglibatan bersama. Sebanyak sembilan kumpulan daripada pelbagai jabatan mengambil bahagian, iaitu Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (JPAKK), Jabatan Bahasa (JB), Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Jabatan STEM (JSTEM), Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kokurikulum (JPJKO), serta Jabatan Sains Sosial dan Teknologi (JSST). Pertandingan ini telah diadili oleh tiga orang hakim berpengalaman, iaitu En. Wagner anak John Sangur selaku Ketua Hakim, En. Abas bin Morshidi, dan En. Fairol bin Hamid. Johan pertandingan dimenangi oleh kumpulan Dendang D’TESL (JB) dengan persembahan medley Rasa Sayang dan Chan Mali Chan. Naib Johan pula disandang oleh kumpulan Suara Bayu (JB) yang mempersembahkan medley Rasa Sayang, Burung Kakak Tua, dan Jong Jong Inai, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Rentak Kuntum (JPJKO) dengan lagu Bapak Mek Datang. Tempat keempat jatuh kepada Bahasa Melayu Junior (JPM) dengan lagu Ketipang Payung, diikuti oleh Lentera Seni (JSST) di tempat kelima melalui persembahan medley Puteri Santubong, Lemak Manis, dan Ayam Didik. Tempat keenam dimenangi oleh Alge-Bros (JSTEM) dengan lagu Puteri Santubong Puteri Sejinjang, manakala tempat ketujuh disandang oleh La Belle Octet (JPAKK) dengan lagu Tari Tualang Tiga. Seterusnya, tempat kelapan diraih oleh Getaran Jiwa (JPM) dengan lagu Lemak Manis dan tempat kesembilan oleh Koboi Berjaya (JAPIM) dengan lagu Lemak Manis. Penyertaan daripada pelbagai jabatan juga memperlihatkan semangat kerjasama antara disiplin, yang menjadi cerminan kepada perpaduan warga IPGKTAR. Secara keseluruhannya, Pertandingan Lagu Rakyat MBM 2025 bukan sahaja berjaya menghidupkan semula apresiasi terhadap lagu-lagu rakyat, malah turut memberikan pengalaman bermakna yang dapat menyemai jati diri, rasa cinta budaya, dan nilai kebersamaan dalam kalangan warga kampus.