Jumlah pengunjung yang hadir:
Jumlah pengunjung yang hadir:
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah, iaitu Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dan digantikan dengan Dasar MBMMBI. Jemaah Menteri juga memutuskan bahawa Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Matlamat melahirkan masyarakat yang berupaya menguasai bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI) dengan baik adalah antara fokus baharu dalam sistem pendidikan negara. Seperti digariskan dalam PPPM 2013 - 2025, penguasaan BM dan BI yang mantap serta kecekapan menguasai pelbagai bahasa adalah penting memandangkan persaingan global yang pesat. Selaras dengan pelaksanaan PPPM 2013 - 2025, Dasar MBMMBI memfokuskan usaha memartabakan BM dan memperkukuh BI bagi melahirkan masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, bersatupadu serta dapat menjana daya saing hingga ke peringkat antarabangsa.
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Tujuan utama memperkukuh BI adalah untuk membolehkan penerokaan pelbagai ilmu dan meningkatkan persaingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
HORIZON MBMMBI
IPGMKTAR sebagai sebuah kampus di bawah IPGM, telah menyahut dan melaksanakan aktiviti dan program Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Dasar MBMMBI ialah dasar KPM untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul. Justeru, semua pihak bersetuju untuk meneruskan dasar ini dengan perincian dan matlamat yang lebih baik, sesuai dengan tujuannya yang memberi manfaat kepada negara khususnya dalam memperkasakan bahasa kebangsaan. Sejajar dengan itu, kita harus maju ke hadapan dan bergerak seiring dengan memanfaatkan dasar ini melalui inisiatif memartabatkan bahasa Melayu di samping mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.