PENGURUSAN TERTINGGI BSTP
BSTP berpegang kepada enam objektif dalam memastikan pencapaian kepada misi dan visi. Keenam-enam objektif ini memberi penekanan kepada sumber pendidikan yang dihasilkan oleh BSTP.
BSTP berfungsi sebagai sebuah bahagian yang terlibat dalam pengurusan sumber dan teknologi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia. Terdapat 12 fungsi BSTP dalam usaha memartabatkan sumber dan teknologi pendidikan di Malaysia.
SEJARAH BSTP
Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) terdiri daripada penggabungan tiga bahagian iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Bahagian Buku Teks (BBT) dan Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah penstrukturan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 1 Jun 2019.
Penggabungan ini mencerminkan transformasi sistem pendidikan negara selaras dengan perubahan teknologi dan persekitaran persaingan global. Ini bertujuan untuk melonjakkan pencapaian dan kemenjadian semua murid melalui penghasilan dan penerbitan sumber pelbagai media merangkumi sistem penyampaian yang berkualiti dengan menggunakan teknologi sebagai pengupaya yang cekap dan berkesan. Penggabungan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan negara. Berikut merupakan latar belakang bahagian-bahagian sebelum digabungkan menjadi BSTP:
Sebelum ini, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dikenali sebagai Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan (BPSP) yang ditubuhkan pada tahun 1971. BPSP menggabungkan Unit APD yang bermula pada tahun 1946, Perkhidmatan Siaran Radio ke sekolah-sekolah yang bermula pada tahun 1966 dan TV Pendidikan yang dilancarkan pada tahun 1972.
Pada 8 Februari 1988, nama BPSP ditukar kepada BTP bagi mencerminkan peluasan peranan dan fungsi Bahagian ini dari segi teknologi pendidikan dan aspek bahan bacaan apabila Unit Perpustakaan yang sebelum ini berada di Bahagian Sekolah-Sekolah dipindahkan ke BTP mulai 1 Januari 1988. Sejak itu, BTP memainkan peranan yang lebih luas dalam penerapan budaya membaca, kemahiran maklumat, TV Pendidikan, Radio Pendidikan dan sumber pelbagai media dalam konteks pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan sumber dan berorientasikan aktiviti.
Mulai tahun 1991, perhatian BTP tertumpu kepada perkembangan dan pembangunan Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD) dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Semenanjung serta Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di Sabah dan Sarawak. BTP telah memperluaskan rangkaiannya agar lebih erat lagi dengan sekolah dan guru-guru di seluruh negara untuk menyebarluaskan kemahiran penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). BTP terlibat dalam Projek Rintis Sekolah Bestari mulai tahun 1999, iaitu satu daripada tujuh aplikasi perdana dalam Koridor Raya Multimedia. Inisiatif Sekolah Bestari bertujuan untuk melahirkan generasi Malaysia yang celik teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), kreatif dan inovatif serta berupaya membawa ekonomi ke era maklumat. Setelah tamatnya projek rintis tersebut, BTP mula memainkan peranan utama dalam peluasan pelaksanaan Pembestarian Sekolah ke semua sekolah di Malaysia selaras Malaysian Smart School Road Map 2005 - 2020: An Educational Odyssey.
Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan antarabangsa dalam bentuk pensijilan MS ISO 9001:2008 dalam bidang Pembangunan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran (Penerbitan Rancangan Pendidikan Berasaskan Kurikulum dan Pembangunan Resos Pembelajaran) dan bidang Perkhidmatan Teknologi Pendidikan (Pengurusan Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah dan Pengurusan Pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan).
Bagi merapatkan jurang teknologi antara murid bandar dan luar bandar, sebanyak 3,025 Pusat Akses Sekolah (PuAS) telah ditubuhkan mulai tahun 2006. Selain itu, bagi memantapkan lagi pengintegrasian teknologi pendidikan, BTP telah diberi tanggungjawab untuk mengurus semua perkara berkaitan TMK di sekolah pada tahun 2009. Pada tahun 2012, BTP telah diamanahkan untuk mengurus perkhidmatan
1BestariNet. Perkhidmatan ini bertujuan untuk memastikan semua sekolah mendapat akses internet dan pelantar pembelajaran maya yang dikenali sebagai FROG VLE.
Pada tahun 2015, BTP telah diberi tanggungjawab untuk menerajui aktiviti pemikiran komputasional dan penghasilan teknologi digital. Pasukan Petugas Khas (Task Force) Digital Tech @ Schools telah diwujudkan oleh KPM bagi menjayakan inisiatif ini.
Seterusnya, selaras dengan fasa terakhir Malaysian Smart School Road Map 2005 - 2020: An Educational Odyssey, BTP pada tahun 2018 telah memulakan usaha ke arah pendidikan digital sebagai hala tuju baharu inisiatif Sekolah Bestari dan Pembestarian Sekolah yang tamat menjelang 2020.
Bahagian Buku Teks (BBT) mula ditubuhkan sebagai satu Unit Buku Teks (UBT) di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran (BPPP), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 15 Mei 1967. Pada ketika itu, fungsi UBT, BPPP ialah mengawal dan menentukan semua sekolah di Malaysia Barat mematuhi peraturan KPM mengenai pembelian, penjualan dan penggunaan buku teks. Di samping itu, UBT, BPPP berfungsi sebagai unit yang merancang dan mengelola rancangan memajukan perpustakaan di sekolah.
Pada tahun 1969, UBT diletakkan di Bahagian Sekolah (BS) dengan menjalankan fungsi yang sama. Walau bagaimanapun, pada tahun 1971, pengurusan UBT dikembalikan semula kepada BPPP. Seterusnya pada tahun 1972, UBT dikenali sebagai Biro Buku Teks (BBT) dan beroperasi sebagai satu organisasi tersendiri bertempat di Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Fungsi BBT, iaitu merancang dan mengelola rancangan memajukan perpustakaan sekolah diserahkan semula kepada Bahagian Sekolah pada tahun 1973 dan digantikan dengan fungsi yang baharu, iaitu menilai buku teks bagi semua mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah (Darjah 1 – 6) dan sekolah menengah (Kelas Peralihan – Tingkatan 5).
Mulai tahun 1975, fungsi BBT telah bertambah untuk melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) bagi semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan penuh kerajaan. Keputusan ini dibuat berdasarkan ketetapan Majlis Tindakan Negara (MTN) pada 22 Mei 1974. Seterusnya pada tahun 1983, fungsi BBT diperluaskan untuk melaksanakan SPBT di Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR).
Bermula tahun 1986, Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pelajaran ke 94 pada 16 Jun 1986 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah (JKBPPS) dengan tujuan untuk menggubal dasar dan mengeluarkan panduan mengenai bahan pengajaran dan pembelajaran sekolah (khususnya penerbitan buku teks) bagi perkara-perkara yang meliputi harga, kualiti fizikal, isi kandungan, penggunaan, pemilihan, penerbitan, pengedaran dan pengawalan.
Seterusnya, pada tahun 1988, nama Biro Buku Teks ditukarkan kepada Bahagian Buku Teks seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan (JPP) Bilangan 102 bertarikh 15 Julai 1988. Pada masa yang sama fungsi BBT ditambah untuk menjalankan tugas yang lebih luas, iaitu mengawal mutu dan memperakukan buku teks untuk kegunaan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan penuh kerajaan melalui Kaedah Komisi dan Kaedah Tender Terbuka, menguruskan kajian/penyelidikan berkaitan dengan buku teks dan menyemak semula buku teks.
BBT telah berpindah dari bangunan Lembaga Peperiksaan Malaysia, di Jalan Duta ke Wisma Mirama pada tahun 1986. Pada tahun 1987, BBT telah berpindah ke bangunan Bank Pertanian dan pada Disember 2004 telah berpindah ke Blok E15, Kompleks E, Putrajaya.
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang dahulu dikenali sebagai Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) ditubuhkan pada tahun 1968 berdasarkan perakuan oleh pihak United Nations Educational Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang menyarankan penubuhan satu badan khas yang bertanggungjawab untuk mengembangkan minat membaca dan kemajuan perusahaan buku negara.
Pada peringkat awal penubuhan hingga tahun 1971, MKBK telah bergerak bersendirian secara aktif memandangkan MKBK merupakan badan sukarela dan tidak mempunyai kemudahan bantuan pentadbiran serta peruntukan kewangan yang tetap bagi menjalankan aktiviti perbukuan. Atas usaha yang digerakkan oleh YB Menteri Pendidikan, penyusunan semula MKBK berlaku pada tahun 1981 dan anggota majlis yang baharu telah dilantik. Nama MKBK telah digantikan dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). MBKM adalah sebuah badan profesional dan penasihat buku peringkat kebangsaan yang disokong oleh kerajaan dan swasta yang terlibat dengan usaha untuk memajukan buku di negara ini untuk kepentingan sosial.
Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 19/1997, telah bersetuju dengan penubuhan Urusetia Tetap MBKM. Urusetia ini berfungsi sebagai satu unit dalam Bahagian di KPM bagi memberi khidmat bantuan pentadbiran dan beroperasi kepada MBKM. Pegawai dalam unit tersebut dipinjamkan secara pentadbiran dari bahagian-bahagian lain. Melalui Waran Perjawatan yang bertarikh 31 Disember 2005, Urusetia Tetap MBKM beroperasi sebagai salah sebuah Bahagian di bawah Jabatan Dasar dan Pembangunan Pendidikan, KPM dan berfungsi sebagai sekretariat kepada MBKM.
Sekretariat ini berperanan untuk mengurus pentadbiran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta menyelaras segala program kerjasama yang berkaitan dengan pembangunan industri buku dan pengembangan budaya membaca, sama ada dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak swasta di negara ini. Selain daripada itu, MBKM juga berusaha mempromosikan buku-buku Malaysia bersama-sama penerbit dan pengusaha industri buku tempatan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan Malaysia dalam pesta-pesta buku di luar negara.
Urusetia Tetap MBKM meneruskan peranan dan fungsi yang dinyatakan dalam mentadbir urus pelaksanaan Dasar Buku Negara (DBN) selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dan dasar-dasar negara yang lain serta menyumbang kepada pencapaian visi dan misi MBKM sejajar dengan visi dan misi KPM.
Urusetia Tetap MBKM berperanan mengurus pentadbiran MBKM serta menyelaras program kerjasama yang berkaitan dengan pembangunan industri buku dan pengembangan budaya membaca, bersama-sama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak swasta di negara ini.
Urusetia Tetap MBKM mula beroperasi dan ditempatkan di Aras 14, Blok E12, Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada tahun 2012 dan kemudian telah berpindah ke Blok 2251, Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya pada tahun yang sama hingga kini.
PENGARAH BSTP
ANIZA BINTI KAMARULZAMAN
2024 - KINI
HAJI ZAIDI BIN YAZID
2019
HAJI SHAFRUDDIN BIN HAJI ALI HUSSIN
2019 - 2020
MAZNAH BINTI ABU BAKAR
2020 - 2022
ZAINAL BIN ABAS
2022 - 2024
LIRIK LAGU RASMI BSTP
JATA RASMI
LOGO RASMI BSTP