Bahan kimia yang mengandungi bahan psikoaktif yang dihasilkan daripada pelarut organik dan bahan meruap. Inhalan juga dikenali sebagai bahan hiduan atau sedutan yang mudah meruap (votile). Ia dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif atau merangsang perubahan minda.
Pelarut / Cecair • Bahan gas • Aerosol • Bahan Nitrik
Bahan ini bertindak dengan menjadikan penggunanya berasa khayal. Kesannya seakan sama dengan mabuk akibat minum alkohol yang banyak. Perasaan khayal ini akan berterusan selama 15 minit sehingga 2 jam. Sekiranya kuantiti atau kepekatan inhalan itu tinggi, pengguna mungkin hilang deria rasa dan seterusnya tidak sedarkan diri.
Penyalahgunaan bahan ini mengakibatkan kesan buruk serta-merta dan juga jangka panjang. Kesan serta-merta adalah seperti berhalusinasi, rasa mual, pening, nafas tidak sekata, terhuyung-hayang, emosi kurang stabil dan kehilangan deria sakit. Kesan jangka panjang pula adalah kerosakan sel otak dan organ utama, gangguan penglihatan, sakit jantung dan kematian mengejut.