PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)
PENGENALAN
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang pada asalnya dikenali sebagai Balai Pustaka, ditubuhkan di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Pada peringkat awal, DBP memulakan usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Hasil daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang diadakan di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956, kerajaan menerima cadangan untuk menamakan Balai Pustaka sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, DBP juga dinaik taraf sebagai sebuah badan dengan lembaga anggotanya sendiri. Pihak DBP memulakan semua perancangan dan pengurusan yang berkaitan dengan bahasa Melayu, menjadikannya sebagai bahasa rasmi negara.
Usaha yang dilakukan oleh DBP sangat penting kerana mereka berperanan sebagai penyokong utama imej Negara Malaysia. Peranan ini selaras dengan matlamat utama DBP, iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara yang merdeka dan berdaulat.
Pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bertujuan untuk memudahkan pelaksanaan tugasnya yang seiring dengan pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal negara.
Pada tahun 1959, melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, DBP telah bertransformasi menjadi sebuah badan berkanun. Dengan penubuhan ini, DBP diberikan kuasa autonomi untuk merangka dasar khusus, menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa serta sastera, dan menjalankan aktiviti penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif. Di samping itu, DBP juga mengembangkan pentadbirannya dengan menubuhkan pejabat-pejabat cawangan di Sabah dan Sarawak. Di Sabah, ibu pejabatnya terletak di Kota Kinabalu, manakala di Sarawak, ibu pejabatnya berada di Petra Jaya, Kuching.
Kedua-dua cawangan tersebut berfungsi untuk mengembangkan dunia bahasa dan sastera di Sabah dan Sarawak, serta membantu ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur dalam melaksanakan peranan dan fungsi asalnya. Pada tahun 1999, dua pejabat wilayah tambahan dibuka, iaitu Pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan. Penubuhan tiga wilayah ini bertujuan untuk memperluas kegiatan bahasa dan sastera di Malaysia.
MATLAMAT
Membangun dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.
Mengembangkan bakat sastera, terutamanya dalam bahasa kebangsaan.
Mencetak dan menerbitkan, atau memberikan sokongan dalam percetakan dan penerbitan buku, majalah, risalah, dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan serta bahasa lain.
Membakukan ejaan dan sebutan, serta mencipta istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan memperluas penggunaannya untuk pelbagai tujuan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.
PERANAN DALAM MEMPERKEMBANGKAN BAHASA MELAYU
Membangun dan memperkaya bahasa kebangsaan di semua bidang, termasuk sains dan teknologi.
-Seperti yang diketahui, dalam bidang sains dan teknologi, penggunaan istilah sering kali bergantung kepada perkataan-perkataan dalam Bahasa Inggeris untuk membina atau mencipta penemuan baru, terutama dalam bidang perubatan. Oleh sebab itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha dengan gigih untuk memperkaya bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, agar lebih banyak istilah dalam bahasa tersebut dapat dihasilkan dalam bidang-bidang yang sedang berkembang pesat, seperti sains dan teknologi.
Mengembangkan bakat kesusasteraan, khususnya dalam Bahasa Kebangsaan.
-Menurut Berita Harian, DBP aktif melaksanakan program seperti Minggu Penulis Remaja, yang bertujuan untuk melahirkan dan memupuk penulis muda. Program ini diadakan untuk menghasilkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa akan datang. Untuk memperkuatkan bidang kesusasteraan, DBP juga menggunakan kaedah penganugerahan sebagai dorongan kepada sasterawan untuk terlibat dalam bidang ini. Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat signifikan sehingga diiktiraf sebagai Badan Berkanun oleh jabatan kerajaan melalui Akta Parlimen pada tahun 1959, yang memantapkan pengembangan bahasa dan sastera. Ini juga termasuk pengaturan rancangan untuk memajukan bahasa sastera dengan lebih baik.
Mencetak, menerbitkan, atau memberikan sokongan dalam usaha percetakan dan penerbitan buku, risalah, serta bentuk-bentuk persuratan lain dalam bahasa kebangsaan
-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan yang sangat penting dalam industri percetakan dan penerbitan di Malaysia. Sebagai salah satu organisasi penerbitan terbesar, DBP telah mencetak dan menerbitkan pelbagai bahan, termasuk buku teks dan buku rujukan untuk sekolah rendah dan menengah, yang merupakan sumber ilmiah penting bagi pelajar. Selain itu, DBP juga aktif dalam menerbitkan karya sastera dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, memberikan impak positif dalam bidang kesusasteraan, pendidikan, dan percetakan.
Menurut Bekas Menteri Kehakiman Malaysia, Dato’ Dr. Sulaiman Hj. Daud, DBP telah menerbitkan lebih 50 judul buku undang-undang dalam Bahasa Melayu dalam tempoh 20 tahun. Ini menunjukkan peranan DBP sebagai medium penterjemahan karya asing, yang membolehkan ilmu luar diadaptasi ke dalam Bahasa Melayu dan memperkaya perbendaharaannya.
Untuk meningkatkan kualiti penerbitan, DBP memerlukan kerjasama daripada sarjana, pengkritik, dan pemantau bahasa. Ini bagi memastikan buku-buku terbitan DBP dapat dianalisis dan diulas dengan baik, membantu orang ramai menikmati dan memahami intipati karya yang diterbitkan.
Membakukan ejaan dan sebutan serta merumuskan istilah-istilah yang tepat dalam Bahasa Kebangsaan.
-Pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah, dan institusi pengajian tinggi telah mendorong aktiviti peristilahan yang disokong oleh DBP. Banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, merumuskan, dan menyebarkan istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan. Perubahan ini menunjukkan perkembangan yang pesat dalam perancangan korpus bahasa Melayu.
Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat.
-Seperti yang diketahui umum, hanya segelintir rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan cara yang betul. Kebanyakan mereka cenderung menggunakan bentuk bahasa yang tidak tepat, contohnya bahasa pasar dalam perbualan sehari-hari. Masalah ini juga jelas terlihat dalam notis dan risalah awam yang sering tidak mematuhi tatabahasa yang betul, termasuk poster untuk konsert dan promosi di pusat beli-belah. Oleh itu, DBP perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani isu ini dengan menerbitkan buku, risalah, dan akhbar yang menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Walaupun usaha DBP untuk mempromosikan bahasa kebangsaan masih berterusan, campuran bahasa seperti "bahasa rojak" semakin meluas dalam masyarakat moden. Dengan adanya DBP, diharapkan masalah penyalahgunaan bahasa ini dapat dikurangkan, sekaligus menjaga keaslian bahasa kebangsaan. Begitu juga, penggunaan singkatan untuk istilah seperti sungai, bukit, dan jalan dapat memudahkan penulisan alamat dan lokasi.
Mendorong penggunaan bahasa kebangsaan agar dapat digunakan secara meluas untuk pelbagai tujuan, sesuai dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
-Untuk memperkembangkan bahasa Melayu, DBP melaksanakan pelbagai program yang menyokong dasar bahasa kebangsaan, termasuk pemantauan, pemupukan, penataran, dan penyebaran. Melalui fungsi-fungsi ini, pelbagai kegiatan diadakan bagi memastikan bahasa Melayu terus kukuh sebagai bahasa kebangsaan, rasmi, dan sebagai alat perpaduan di Malaysia. Peranan DBP adalah sangat penting dalam memasyarakatkan penggunaan bahasa Melayu dengan cara yang menarik dan sesuai dengan kemajuan teknologi info-telekomunikasi. Daripada pendekatan konvensional yang sering digunakan, DBP perlu menjelajah cara-cara baru melalui industri kreatif, media sosial, dan elektronik untuk mengadakan program pembelajaran bahasa Melayu, serta menghasilkan promosi, iklan, drama, dan sitkom yang berkaitan dengan bahasa Melayu.
Menjadikan Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi yang efisien dan efektif dalam pelbagai bidang.
-Bidang yang dimaksudkan meliputi pentadbiran negara, pendidikan tinggi, serta aktiviti yang kompleks dan maju seperti kegiatan intelektual, kebudayaan, ekonomi, dan perdagangan. Namun, ada pandangan segelintir golongan yang menganggap bahasa Inggeris lebih maju dan bersifat saintifik. Walau bagaimanapun, kita harus ingat bahawa bahasa Melayu pernah berfungsi sebagai lingua franca yang digunakan oleh pedagang, ulama, dan pemodal di nusantara. Kini, bahasa Melayu dipakai oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan.
SUMBANGAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) banyak menjalinkan hubungan dengan negara lain seperti ;
Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA)
MASTERA merupakan sebuah majlis yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan sastera di peringkat nasional, melibatkan negara-negara seperti Indonesia, Brunei, dan Malaysia. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk membina dan mengembangkan sastera, serta mengenal pasti karya-karya sastera berkualiti tinggi dalam pelbagai genre untuk diterjemahkan ke dalam bahasa negara anggota.
Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (FOKEPS)
FOKEPS diilhamkan melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani antara DBP dan Balai Pustaka. Tujuannya adalah untuk memasarkan penerbitan buku yang dihasilkan dan diterbitkan di negara anggota, dengan fokus kepada pasaran serantau.
Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM)
MABM bertujuan untuk menyelaraskan semua aktiviti yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, serta menaungi jawatankuasa bahasa yang ada di pelbagai peringkat. Menurut Awang Sariyan (2013), MABM juga menganjurkan program pertukaran pelajar dan pelbagai pertandingan, yang sekaligus bertujuan untuk memperkembangkan Bahasa Melayu.