BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN
LAPORAN BARNES 1951
Jawatankuasa ini ditubuhkan pada tahun 1950 dan dipimpin oleh L.J. Barnes, Pengarah Latihan Sosial dari Universiti Oxford. Antara cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini termasuklah:
Meningkatkan pencapaian pelajar Melayu di sekolah vernakular serta dalam Bahasa Inggeris.
Meningkatkan kualiti guru, memperbaiki pencapaian pedagogi pelajar di maktab, dan mencadangkan kurikulum latihan guru yang lebih sesuai.
Mencadangkan pelbagai cara untuk memperbaiki pentadbiran, termasuk penubuhan Penguasa Pendidikan Tempatan atau badan tempatan dengan fungsi serupa.
Laporan ini mencadangkan penubuhan sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Apabila salah satu bahasa dipilih, yang satu lagi berfungsi sebagai bahasa kedua.
Jawatankuasa Barnes menetapkan tujuan sekolah Melayu untuk memupuk perkembangan individu ke arah kecemerlangan dalam pengetahuan dan kemahiran, serta menggalakkan komuniti Melayu untuk mencapai kedudukan yang setara dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.
Selain itu, ia juga bertujuan membantu pembinaan kewarganegaraan yang bersatu padu. Namun, laporan Barnes tidak mendapat sambutan positif daripada masyarakat Cina yang menentang penghapusan pendidikan vernakular mereka, yang seterusnya membawa kepada penubuhan jawatankuasa yang menghasilkan laporan Fenn-Wu.
LAPORAN FENN-WU 1951
Masyarakat Cina dan India yang dibawa oleh British turut membawa sistem pendidikan dari negara asal mereka dan telah menyuarakan ketidakpuasan terhadap Laporan Barnes. Pada tahun 1951, Dr. W.P. Fenn dan Dr. Wu The You datang untuk mengkaji potensi sekolah Cina di Tanah Melayu, yang menghasilkan Laporan Fenn-Wu 1951. Jawatankuasa Fenn-Wu 1951 ditubuhkan untuk meneliti semula Laporan Barnes dan memenuhi tuntutan masyarakat Cina yang merasakan laporan tersebut bertujuan untuk menghapuskan bahasa dan budaya mereka. Antara cadangan yang dikemukakan ialah:
Sekolah vernakular seperti Sekolah Cina, Sekolah Tamil, dan Sekolah Melayu dibenarkan beroperasi dengan tiga bahasa: bahasa Melayu, bahasa Cina, dan bahasa Tamil, serta termasuk bahasa kebangsaan.
Sekolah-sekolah aliran kebangsaan (Sekolah Inggeris) akan terus dikekalkan.
Sekolah vokasional akan terus diperkembangkan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir bagi pembangunan negara Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia.
Setelah laporan Fenn-Wu 1952 dikeluarkan, ia menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Orang Melayu menolak laporan itu kerana merasakan syor-syor di dalamnya tidak memberi manfaat kepada mereka.
Penolakan tersebut mendorong penubuhan sebuah jawatankuasa khas, Jawatankuasa Pusat Penasihat Pendidikan, untuk mengkaji laporan Fenn-Wu dengan lebih mendalam.
ORDINAN PELAJARAN 1952
Pada 21 November 1952, Penyata Pelajaran 1952, yang juga dikenali sebagai Ordinan Pelajaran 1952, diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Penyata ini membawa perubahan signifikan kepada struktur sistem pendidikan di negara ini. Tujuan utama Penyata Pelajaran 1952 adalah:
Untuk memberikan dan mempertahankan pengetahuan, kemahiran, serta sifat peribadi yang positif bagi setiap individu.
Untuk menggalakkan dan memudahkan pelbagai kaum menyesuaikan diri dalam masyarakat yang majmuk di negara ini.
Untuk berusaha membentuk rakyat yang bersatu di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai etnik.
Dalam usaha mencapai matlamat Penyata Pelajaran 1952, sebuah dasar dan sistem pendidikan yang baru telah diperkenalkan. Antara perkara yang dinyatakan dalam penyata tersebut adalah:
Menubuhkan dan mendirikan sekolah-sekolah kebangsaan yang terdiri daripada dua jenis: Sekolah aliran Inggeris, di mana mata pelajaran Bahasa Malaysia dijadikan wajib, dan Sekolah aliran Melayu, di mana Bahasa Inggeris berfungsi sebagai bahasa kedua.
Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa perantara Kua-Yu (Cina) atau Tamil akan dibuka jika terdapat sekurang-kurangnya 15 murid dalam salah satu darjah, mengikut keperluan bahasa perantaraan masing-masing.
Kerajaan akan menyediakan pendidikan percuma selama enam tahun, yang diwajibkan untuk setiap warganegara berumur antara 6 hingga 12 tahun. Murid-murid yang tamat dari peringkat sekolah rendah ini akan diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan vokasional berdasarkan kemampuan dan kelayakan mereka.
Dalam perbahasan mengenai kelulusan Penyata Pelajaran 1952, Datuk E.E.C. Thuraisingam menyatakan bahawa penyata tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan asas perpaduan negara, serta menggambarkan sistem pendidikan "vernacular" yang moden dan membentuk kurikulum pelajaran sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa (Penyata Pelajaran 195, 2008).
PENYATA RAZAK 1956
Pada 6 Mei 1956, Dato' Abdul Razak bin Dato' Hussein, Menteri Pelajaran Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, mengumumkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pelajaran 1956. Cadangan ini mencadangkan beberapa perubahan signifikan terhadap dasar pendidikan di Tanah Melayu. Antara cadangan tersebut termasuklah (Penyata Razak 1956, 2008):
Semua sekolah di negara ini mengikuti sukatan pelajaran yang sama.
Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan dan berfungsi sebagai bahasa pengantar utama.
Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan di semua sekolah rendah dan menengah.
Sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa Inggeris, Cina, dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
Sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Hanya satu jenis sekolah yang dibenarkan, terbuka untuk semua kaum.
Guru-guru di sekolah rendah dan menengah perlu memiliki kelayakan yang sesuai.
Sistem pendidikan di sekolah menengah terdiri daripada Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA), dan Pra Universiti.
Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional, dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.
Cadangan utama yang diajukan oleh Jawatankuasa Penyata Pelajaran Razak adalah untuk mengubah semua sekolah agar selaras dengan corak Tanah Melayu, melalui penyediaan sukatan pelajaran yang seragam. Selain itu, jawatankuasa ini menekankan kepentingan memelihara perkembangan bahasa kebangsaan dan memajukan pengetahuan melalui bahasa tersebut di kalangan semua penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman dari Jawatankuasa Pelajaran Razak ini menandakan satu lagi langkah bersejarah dalam perjalanan pendidikan negara, yang bertujuan untuk mewujudkan Dasar Pelajaran Kebangsaan demi melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang bersatu dan negara yang aman.