Sejarah Sekolah
Bangunan Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara mula dibina dan siap pada Disember 1981 dan mula dibuka pada 3 Januari 1982. Seramai 9 orang guru perintis telah ditugaskan untuk membimbing seramai 99 orang murid. Bilangan kelas adalah sebanyak 4 buah iaitu 3 buah kelas tahun 1 dan sebuah kelas tahun 2. Pada masa itu, Guru Besar pertama yang ditugaskan untuk mentadbir SK Bukit Damansara ialah Puan Hajah Hazamah binti Hj. Shamsuddin.
Perpustakaan SKBD mula beroperasi pada Februari 1984. SK Bukit Damansara juga telah banyak menerima pelbagai kejayaan dan sentiasa menjadi sebagai sekolah terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam keputusan Penilaian Darjah 5 dan juga dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Permulaan tahun 2010 merupakan detik bersejarah bagi warga SK Bukit Damansara apabila sekolah ini telah terpilih dalam kumpulan pertama diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Pengiktirafan ini adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan di bawah National Key Result Area Kementerian Pendidikan Malaysia. Kejayaan cemerlang dalam bibang akademik, pencapaian bidang kokurikulum, kepimpinan pihak pengurusan, jalinan kerjasama yang erat di antara pihak sekolah serta ibu bapa merupakan kriteria utama sekolah ini dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Selepas 39 tahun, kini pada sesi 2021, SK Bukit Damansara mempunyai seramai 72 orang tenaga pengajar dengan bilangan murid seramai 1111 orang beserta 5 orang staf sokongan dan 3 orang pengawal keselamatan. SK Bukit Damansara mempunyai sebanyak 36 buah bilik darjah dimana setiap aliran tahun mempunyai 6 kelas. Selain itu, sekolah ini turut dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, bilik guru tahap 1 dan tahap 2, dewan sekolah, kantin, mini stadium, bilik studio, pusat sumber, bilik media, makmal komputer, makmal sains, stor sukan, bilik bimbingan dan kaunseling, bilik persalinan, bilik agama, surau, bilik muzik, bilik Kemahiran Hidup dan banyak lagi.