TEKNIK ASAS BERMAIN REKODER SOPRANO
TEKNIK ASAS BERMAIN REKODER SOPRANO
Secara konvensionalnya, perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ketika bermain rekoder dalam keadaan berdiri adalah seperti berikut:
Kaki - berdiri tegak dengan keadaan kaki direnggang sedikit.
Lutut - dilonggarkan (rileks), tidak kaku.
Badan - belakang badan serta kepala dalam keadaan lurus.
Dada - dinaikkan.
Bahu - ditarikkan ke belakang sedikit.
Dagu - selari dengan lantai.
Tangan – memegang rekoder dengan sudut 45 darjah kecondongan dari badan.
Secara konvensionalnya, perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ketika bermain rekoder dalam keadaan duduk pula adalah seperti berikut:
Bahagian badan hingga kepala - keadaannya sama seperti postur berdiri. Belakang badan - tidak bersandar.
Punggung - terletak di tengah kerusi.
Kaki - diletak di atas lantai dengan satu kaki ke hadapan sedikit.
Tangan – memegang rekoder dengan sudut 45 darjah kecondongan dari badan.
PENJARIAN
Tangan Kiri
- Ibu jari bernombor 0 menutup lubang di bahagian belakang rekoder.
- Jari telunjuk bernombor 1 menutup lubang rekoder pertama.
- Jari hantu bernombor 2 menutup lubang rekoder kedua.
- Jari manis bernombor 3 menutup lubang rekoder ketiga.
Tangan Kanan
- Jari telunjuk bernombor 4 menutup lubang rekoder keempat.
- Jari hantu bernombor 5 menutup lubang rekoder kelima.
- Jari manis bernombor 6 menutup lubang rekoder keenam.
- Jari kelingking bernombor 7 menutup lubang rekoder ketujuh.
- Pada lubang rekoder bernombor 6 dan 7, terdapat dua lubang kecil.
- Lubang-lubang kecil tersebut adalah untuk menghasilkan bunyi syap dan flet.
Carta penjarian untuk rekoder soprano
PERNAFASAN
Dengan pengurusan pernafasan yang baik, seseorang dapat menghasilkan ton yang berkualiti, bunyi yang jelas nada dan pic yang tepat. Disamping itu, murid dapat memainkan frasa yang panjang dengan selesa. Proses pernafasan melibatkan pengembangan pada rangka rusuk, abdomen dan diafragma. Kemahiran mengawal pernafasan boleh dibina melalui latihan. Latihan pernafasan perlu dijalankan semasa aktiviti warm-up atau latihan persediaan. Terdapat banyak latihan pernafasan yang boleh dijalankan. Antaranya adalah seperti berikut:-
Menghembus dan menarik nafas
Hembuskan semua udara dari paru-paru sehingga anda terasa anda memerlukan udara. Kemudian tarik nafas secara perlahan dan tenang.
Bernafas secara cepat
Biasanya apabila kita terkejut, kita akan menarik nafas dengan cepat. Ulang perbuatan seperti ini beberapa kali.
Pernafasan staccato
Latihan ini dilakukan dengan sebutan “tut” secara berulang-ulang sehingga murid dapat merasakan otot-otot di bahagian perut terlibat dalam proses pernafasan. Latihan ini boleh menguatkan otot-otot tersebut untuk membantu mengawal pernafasan.
Hiss/Hoo
Sambil menarik nafas secara perlahan, angkat kedua-dua tangan ke atas secara perlahan dan hembuskan nafas dengan bunyi “hiss”.
EMBOUCHURE
Embouchure ialah penggunaan otot muka dan pembentukan bibir yang mengikut bentuk pipit (mouthpiece). Masukkan bahagian pemipit di antara bibir. Setelah itu bibir dirapatkan dan jangan gigit rekoder. Bibir juga jangan ditegangkan dan pastikan bibir dalam keadaan selesa.
PENGLIDAHAN (TONGUING)
Penglidahan penting dalam permainan rekoder bagi menghasilkan bunyi not rendah atau not tinggi. Pergerakan lidah semasa meniup rekoder membantu pengaliran udara dengan kadar yang sesuai bagi seuatu ton. Bunyikan 'tu' atau 'te' semasa meniup. Ia akan membuatkan lagu yang dimainkan kedengaran lebih merdu.
DINAMIK
Bagi setiap persembahan muzik, bunyi yang dihasilkan berupaya mempengaruhi perasaan atau mood orang yang mendengar atau menghayatinya. Hal ini bergantung kepada ekspresi yang ditonjolkan dalam persembahan muzik tersebut. Ekspresi dalam muzik merupakan ungkapan fikiran dan perasaan yang diwujudkan oleh pencipta muzik atau oleh penyanyi, untuk disampaikan kepada pendengar. Salah satu aspek penting yang mempengaruhi ekspresi dalam sesebuah persembahan muzik ialah dinamik. Dalam sesebuah lagu, simbol dinamik dituliskan pada bahagian-bahagian tertentu bagi melakukan perubahan bunyi sama ada kuat atau lembut. Pemuzik akan dapat mengenalpasti dalam bahagian mana lagu tersebut perlu dimainkan dengan kuat atau dilembutkan. Berikut adalah beberapa simbol yang digunakan dalam skor muzik: