SEJARAH REKODER
Rekoder termasuk di dalam keluarga instrumen yang dikenali sebagai ‘fipple flute’ yang membawa maksud alat tiupan yang mempunyai "fipple‟ atau aliran udara yang ditiup akan disekat dihujungnya (dikenali sebagai "blockflute‟ di Jerman). Penyekatan dihujung alat tersebut akan mewujudkan satu lohong udara yang akan menyebabkan udara yang ditiup melaluinya akan keluar melalui lubang-lubang yang akan menghasilkan satu bunyi yang jelas dan tersendiri. Alat tiupan lain yang termasuk di dalam keluarga ini ialah "flageolet‟, "whistle‟ dan "three holed tabor pipe‟.
Rekoder pada peringkat awal kewujudannya merupakan instrumen berbentuk tiupan dipercayai telah wujud sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Ini terbukti dengan terjumpanya alat tiupan yang diperbuat dari tulang kambing biri-biri dari Zaman Besi di England. Namun rupanya bukanlah seperti rekoder yang kita kenali sekarang iaitu yang mempunyai lapan lubang (tujuh di depan dan satu di belakang). Tarikh kewujudan rekoder yang sebenarnya di Eropah telah menjadi suatu perdebatan akademik yang hangat. Kemungkinan besar ia wujud di zaman medieval (middle age) iaitu sekitar enam hingga tujuh ratus tahun yang lalu namun ia bukan ketentuan yang khusus. Kebanyakan apa yang dipanggil rekoder yang dilihat pada lukisan-lukisan yang lama tidak menggambarkan ianya dalam ertikata yang sebenar. Ianya tidak seratus peratus jelas walaupun instrumen asal yang paling popular yang ditemui di Dordrecht, Belanda pada tahun 1940. Rekoder Dordrecht itu dipercayai bertarikh awal kurun ke-15 kerana rumah di mana tempat ia ditemui telah terbengkalai pada tahun 1418. Walaubagaimanapun, dengan ketiadaan bahan lain untuk menjadi rujukan dan perbandingan, adalah mustahil untuk menyatakan yang ianya mewakili pelbagai instrumen yang dibuat pada zaman itu.
Bukti kewujudan paling kukuh yang boleh diguna pakai ialah "Renaissance Recorders" bertarikh penghujung zaman Renaissance di kurun ke 16. Rekoder Renaissance agak berlainan dari mereka yang telah biasa dengan instrumen Baroque yang lebih halus dan lembut bunyinya. Instrumen Renaissance berbunyi lebih garau, kuat dan kasar terutama yang bernada rendah dan bunyinya lebih asli dari bunyi Baroque. Ia mempunyai bidang (range) sekitar satu oktaf bebanding sedikit lebih dua oktaf bagi Baroque. Namun ia bukanlah satu masalah kerana muzik zaman Renaissance yang ditulis untuk instrumen ini tidak memerlukan bidang yang luas. Rekoder Renaissance mempunyai lubang jari yang lebih besar dan dikatakan berbentuk selinder walaupun sebenarnya ia agak mengecil dihujungnya. Mempunyai rekabentuk yang lebih mudah tanpa ukiran hiasan. Instrumen yang asal diperbuat secara terus sebatang namun yang ada sekarang boleh dilerai bagi tujuan kemudahan menyimpan, membawa dan menjaga kebersihannya. Tidak ada juga peraturan yang khusus tentang kedudukan tangan dan penjariannya. Tangan yang mana harus di bawah atau tangan yang mana di atas. Rekoder Baroque adalah yang selalu diguna. Pada kurun ke-17 ia melalui proses transisi dimana lubangnya lebih kemas dengan bentuk seperti kon yang kecil dibawah dan semakin besar ke atas. Pembuatannya semakin diimprovisasi dengan bidang notasi dan "range‟ nya semakin dilebarkan, bunyi yang halus dan sempurna serta lebih fleksibel untuk dimainkan secara solo. Rekoder juga telah mula digunakan dalam muzik orkestra pada masa itu.
Namun kini rekoder telah kembali popular mengalahkan zaman kemunculannya dulu. Jutaan alat ini telah dihasilkan setiap tahun secara komersial. Ia digunakan dengan meluasnya dalam kalangan mereka yang ingin belajar tentang instrumen muzik pada peringkat asas. Selain lebih mudah, ia juga lebih murah justeru membuka ruang baru dalam penggunaan instrumen ini sekarang.