PELAKSANAAN AKTIVITI KO-KURIKULUM DI SEKOLAH

  1. Kokurikulum adalah ’kegiatan kumpulan’.

Rujuk Warta Kerajaan No. 5652 Jilid 11/Bil.27 (Tambahan No. 2) bertarikh 28hb Disember 1967, (Peraturan Kursus Pengajian Sekolah 1956).


  1. ‘Kegiatan kokurikulum ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah.

Rujuk Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti dalam Warta Kerajaan Jilid 42/No.11 (Tambahan No. 41), Perundangan (A)/P.U.(A) 196 bertarikh 21 Mei 1998.


  1. Kokurikulum adalah kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah (misalnya kegiatan dalam persatuan-persatuan, kegiatan sukan, dan lain-lain).

Rujuk Kamus Dewan (Edisi Ketiga), Dewan Bahasa dan Pustaka (2002), m.s. 692.


  1. Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Gerak kerja ini merupakan lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu aktiviti-aktiviti kokurikulum dapat menyediakan peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di bilik darjah.

Rujuk Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka (1992); m.s. 11).


  1. Kokurikulum adalah bidang pengajian luar bilik darjah atau yang tidak formal.

Rujuk Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (1984), m.s. 269.


  1. Kokurikulum adalah wadah pembinaan jasmani, emosi dan rohani dengan menawarkan pelbagai pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan latihan, berteraskan konsep pendidikan dan pembangunan insan yang bersepadu dan menyeluruh. Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang mengandungi unsur-unsur intelek, disiplin kendiri, kepimpinan, keusahawanan, kreativiti dan inovasi, kecintaan kepada alam semula jadi, kewarganegaraan dan kesetiaan kepada bangsa dan negara, kebudayaan, integrasi nasional, dan sebagainya akan membantu pelajar menentukan hala tuju kehidupan masa depannya.

Rujuk Ramlan Abd. Wahab; Dewan Masyarakat, Januari 2002, Kerangkraf Publication Sdn. Bhd, m.s. 44.


  1. Kokurikulum adalah aktiviti pembelajaran tidak formal yang berteraskan keperluan pelajar mengalami sendiri aktiviti-aktiviti kependidikan dalam keadaan sebenar.

Rujuk Ramlan Abd. Wahab; Dewan Masyarakat, Januari 2002, Kerangkraf Publication Sdn. Bhd. m.s. 44.



Hakikat Kokurikulum Dalam Program Pendidikan:

Kokurikulum adalah sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan.

"Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan, untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan."

Rujuk Subperaturan 3(1) dalam Peraturan-peraturan (kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai P.U.(A) 531/97.


Kandungan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah:

1 Kegiatan Kokurikulum di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mengandungi yang berikut:-

a) penyertaan dalam sukan dan permainan;

b) penyertaan dalam persatuan dan kelab;

c) penyertaan dalam badan beruniform; dan

d) penyertaan dalam kegiatan-kegiatan lain sebagaimana ditentukan oleh Menteri.

Rujuk Subperaturan 3(3) dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai P.U. (A) 531/97.

2 Kegiatan Kokurikulum di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan meliputi kegiatan dalam persatuan yang ditubuhkan di sekolah daripada kategori berikut:-

a) mata pelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997;

b) hobi dan rekreasi;

c) sukan dan permainan;

d) badan beruniform; atau

e) apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh Pendaftar.

Rujuk Peraturan 4 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998 yang diterbitkan sebagai Warta Kerajaan Jil. 42/No. 11 (Tambahan No. 41), Perundangan (A), P.U. (A) 196 bertarikh 21hb. Mei 1998.

Status Pelaksanaan Kokurikulum Sekolah:

    • Sebagai sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan, maka pelaksanaan kokurikulum di sekolah adalah wajib. {Rujuk Seksyen 18, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)} Kegagalan atau keengganan melaksanakan kegiatan kokurikulum di sekolah adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya {Rujuk Subseksyen 135(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)} dan jika kesalahan itu dilakukan secara berterusan, maka apabila disabitkan sedemikian, seseorang itu dikenakan hukuman denda harian yang tidak melebihi lima ratus ringgit sebagai tambahan kepada apa-apa penalti lain yang boleh dikenakan kepadanya di bawah Akta ini berkenaan dengan kesalahan itu, bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

{Rujuk Subseksyen 135(2) Akta 550}.


  • Matlamat gerak kerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan oleh setiap orang pelajar yang belajar di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerak kerja pakaian seragam (badan beruniform), satu kegiatan persatuan atau kelab, dan satu kegiatan sukan atau permainan. Seberapa yang boleh, peningkatan penyertaan pelajar-pelajar dalam kegiatan pakaian seragam hendaklah diusahakan.

{Rujuk Subperkara 5.1 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS)8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb. Januari 1985}.


  • Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerak kerja kokurikulum di sekolah.

{Rujuk Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS)8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb. Januari 1985}.


  • Sekolah-sekolah, khususnya yang kurang kemudahan untuk menjalankan gerak kerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; dan dalam pelbagai gerak kerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian.

{Rujuk Subperkara 5.3 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS)8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb. Januari 1985}.

  • Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan dan yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perlembagaan Negara.

Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 16/2000, KP(BS)8591/Jld. XVI(16) bertarikh 13 Nov. 2000.

  • Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum adalah wajib. Sehubungan itu kehadiran pelajar dalam aktiviti kokurikulum mestilah direkodkan.

Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2/1986, KP(BS)8591/Jld. 11/(41) bertarikh 15 Januari 1986.

  • Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan menggunakan penglibatan dan kepakaran anggota-anggota masyarakat setempat.

Rujuk Subperkara 5.2.3 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4/1985, KP. 8591-11(32) bertarikh 2hb Februari 1985.

Peruntukan masa.

Peruntukan masa untuk kegiatan kokurikulum seperti dalam Warta Kerajaan No. 5652 Jil. 11/Bil. 27 bertarikh 28 Disember 1967 adalah seperti berikut:-

Tahun Peruntukan Masa ( Sekolah Rendah)

3 dan 4 - 60 minit seminggu 5 dan 6 -- 120 minit seminggu