Karnival Memacu Reformasi Pendidikan MADANI: Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor 2025 (K-SEMANIS’25) merupakan kesinambungan daripada kejayaan program SEMANIS dalam siri-siri terdahulu yang semakin berkembang dari tahun ke tahun.
Kajian Tindakan, Inovasi dan Amalan Terbaik di peringkat antarabangsa yang diketengahkan dalam program ini merupakan inisiatif penting dalam pembangunan budaya penyelidikan yang kompetitif serta berimpak tinggi. Inisiatif ini mencerminkan aspirasi untuk menjadi peneraju dalam pelbagai cabang ilmu dan teknologi terkini, selain meningkatkan hasil penyelidikan secara kuantitatif dan kualitatif.
KOMITMEN PPD KLANG
Pejabat Pendidikan Daerah Klang sebagai penganjur utama komited untuk terus memperkasa kecemerlangan akademik dan sahsiah warga pendidik melalui usaha penyelidikan dan inovasi. PPD Klang menyokong penuh aktiviti penyelidikan yang memfokuskan kepada pembangunan ilmu, penambahbaikan kualiti pembelajaran serta pemerkasaan data bagi merungkai isu, merencana intervensi dan menstruktur strategi yang berkesan.
Komitmen ini adalah seiring dengan aspirasi PPD Klang yang digariskan dalam slogan: “Klang Lestari Aspirasi Negara Gemilang.”
PENCAPAIAN SEBELUM INI
Kejayaan pelaksanaan program SEMANIS edisi terdahulu – iaitu SEMANIS 2021 (secara dalam talian), K-SEMANIS 2022, 2023, dan 2024 – telah membuktikan keberkesanan usaha membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga pendidikan. Kesemua program ini mendapat kerjasama erat daripada rakan-rakan strategik dan memberi impak positif terutama dalam bidang STEM, TVET dan Digital di Daerah Klang.
FOKUS K-SEMANIS’25
Bagi tahun 2025, K-SEMANIS memperkenalkan penekanan baharu iaitu penerapan elemen Kepintaran Buatan (AI) dan pendigitalan sebagai fokus utama. Perkara ini selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan masa depan sistem pendidikan.
PPD Klang turut membuat beberapa penambahbaikan dalam pendekatan dan pelaksanaan program ini agar ia lebih inklusif dan menyerlahkan bakat, kreativiti serta keyakinan warga pendidik. Kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jawatankuasa SISC+ Negeri Selangor juga diyakini mampu memperluas capaian dan impaknya ke seluruh negeri.
KERJASAMA UNIVERSITI DAN AGENDA KELESTARIAN
Dua buah universiti tempatan telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama secara langsung dalam penganjuran K-SEMANIS’25, termasuk dari segi pengelolaan dan pengiktirafan antarabangsa. Usaha ini turut membuka ruang kepada penyertaan universiti berkembar dan rakan institusi luar negara, sekaligus meningkatkan nilai dan taraf pembentangan serta produk penyelidikan peserta.
Dalam pada itu, program ini juga memberi penekanan terhadap isu alam sekitar dan pembangunan mampan. Sebagai simbol sokongan terhadap kelestarian, penganjur akan menggunakan bahan kitar semula bagi menghasilkan pingat dan piala yang akan diberikan kepada para peserta dan pemenang.
MEMACU REFORMASI PENDIDIKAN MADANI
Sub Tema :
5.1 Penghasilan Produk Pengajaran dan Pembelajaran
5.2 e-Pembelajaran
5.3 Alam Sekitar
5.4 Penilaian dan Pentaksiran
5.5 Amalan Terbaik Pembelajaran
5.6 Pemulihan, Pendidikan Khas dan Prasekolah
5.7 Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
5.8 Bimbingan Kaunseling dan psikologi Pendidikan
A. Pengiktirafan & Penghargaan Profesionalisme
1. Menyediakan platform kepada kumpulan pemimpin pertengahan (MLT) dan warga pendidik untuk mempamerkan intervensi serta amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
2. Mengiktiraf kecemerlangan akademik warga pendidik dan sekolah Daerah Klang melalui Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA).
3. Memberi keyakinan, merangsang motivasi dan mengiktiraf usaha dalam penyelidikan serta inovasi demi meningkatkan kualiti pembelajaran.
B. Pembudayaan Penyelidikan, Inovasi dan Digital
4. Membudayakan amalan penyelidikan serta inovasi dalam bidang STEM, TVET dan digital dalam kalangan warga pendidik dan bakal pendidik.
5. Menyampaikan dan memperluaskan usaha penyelidikan serta inovasi yang menyokong pemantapan kompetensi profesional pendidik.
6. Membentangkan laporan kajian tindakan yang terhasil daripada penyelidikan, amalan terbaik dan inovasi berfokuskan STEM dan digital.
7. Menyediakan asas penulisan penyelidikan, penulisan ilmiah dan reka bentuk inovasi yang berstruktur dan sistematik.
C. Perkongsian Ilmu dan Amalan Terbaik
8. Menggalakkan perkongsian ilmu dan kemahiran melalui amalan terbaik pengajaran dan pembelajaran selaras dengan pendekatan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).
9. Menyebarluaskan peranan aktif Duta Guru Yayasan Petronas dalam pembangunan profesion keguruan dan inovasi pendidikan.
D. Pengukuhan Literasi, STEM, TVET dan AI
10. Menyemarakkan minat murid dan generasi muda terhadap bidang STEM dan TVET melalui pendekatan inovatif dan bermakna.
11. Memperkukuh kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira), khususnya dalam aspek literasi dan numerasi.
12. Memperkasa penggunaan Kepintaran Buatan (AI) dalam kalangan warga pendidik untuk mendepani cabaran pendidikan masa hadapan.
E. Sokongan kepada Kejayaan Akademik dan Pentaksiran Alternatif
13. Menyokong usaha melonjakkan pencapaian peperiksaan awam seperti SPM dan STPM, khususnya di Daerah Klang.
14. Mengukuhkan kefahaman dan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dalam kalangan warga pendidik secara menyeluruh.