Proses Reka Bentuk Kejuruteraan

Model MRCEKoR merupakan adaptasi dari Creative Design Spiral (Rusk, Resnick & Cooke, 2009) dan Model Translasi STEM (Glancy & Moore, 2013 ). Model Translasi STEM dibentuk daripada Model Translasi Lesh (2003) yang terdiri daripada lima mod, iaitu simbol penulisan, rajah atau gambar, model konkrit, metafora berasaskan pengalaman dan bahasa pertuturan. Proses MRCEKoR menekankan penyelesaian masalah, merancang, mencipta, mengeksperimen dan berkongsi idea melibatkan kelima-lima mod di dalam Model Translasi Lesh yang saling berinteraksi bagi menghasilkan pembelajaran yang bermakna. Model STEM mengintegrasikan Matematik, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan rujuk Rajah 1.4 (Slot 1). Proses reka bentuk kejuruteraan mendasari kombinasi daripada disiplin Sains, Matematik dan Teknologi.


Model MRCEKoR melibatkan proses reka bentuk kejuruteraan yang menekankan constructionism. Constructionism merupakan teori yang terkini berlaku dengan konteks murid secara sedar terlibat dalam penghasilan produk dan boleh dikongsi (Papert 1991). Kafai & Resnick (1996) pula memberi penekanan kepada proses mereka bentuk (pembuatan, pembinaan dan pengaturcaraan) dan penghasilan produk. Model MRCEKoR merupakan satu panduan kepada para guru untuk melaksanakan proses reka bentuk kejuruteraan dalam pdp yang menggunakan pendekatan STEM.

MENYOAL

Menyoal ke arah penyelesaian masalah, berimaginasi apa yang perlu dilaksanakan untuk penyelesaian yang inovatif dan berfikir di luar kotak.

RANCANG

Rancang strategi yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah dengan mengambil kira semua aspek.

CIPTA

Hasilkan projek untuk menyelesaikan masalah.

EKSPERIMAN

Menguji hasil projek dan melihat keberkesanan dalam menyelesaikan masalah.

KONGSI

Berkongsi idea, berkomunikasi dan berkolaborasi tentang projek yang dilaksanakan.

REFLEKSI

Memfokuskan kepada kekuatan, kelemahan dan penambahbaikan sepanjang proses mereka bentuk projek yang telah dilaksanakan.