Literasi Data, Digital dan Teknologi

Pemikiran Komputasional

Pemikiran Komputasional (Computational Thinking atau CT) merupakan kemahiran yang boleh digunakan untuk memahami sesuatu kes dengan sistematik dan logik. Menurut Wing (2006), selain kemahiran membaca, menulis dan mengira setiap individu perlu menguasai kemahiran pemikiran komputasional. Pemikiran Komputasional membantu menyelesaikan masalah yang kompleks, memahami masalah sebenar dan memberi kaedah-kaedah penyelesaian yang mungkin boleh diguna pakai. Walau bagaimana pun, kemahiran CT tidak semestinya melibatkan komputer dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Namun, kaedah penyelesaian ini boleh difahami komputer secara terurus dan boleh diterima dengan logik akal manusia.


Untuk lebih memahami konsep pemikiran komputasional, penggunaan pengaturcaraan boleh diaplikasi di dalam kelas. Banyak perisian pengaturcaraan boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran seperti Scratch, Algodoo, Arduino, micro:bit dan Minecraft.

Namun begitu modul ini hanya memberi pendedahan kepada empat konsep sahaja iaitu:

Leraian

Leraian dalam pemikiran komputasional bermaksud meleraikan atau memecahkan satu masalah yang besar dan kompleks kepada masalah-masalah kecil supaya mudah diurus dan difahami. Tujuannya adalah untuk memudahkan proses meneliti dan memahami masalah yang sebenar secara terurus. Murid juga dapat mengukur tahap kesukaran bagi setiap masalah berkenaan. Dengan itu, mereka boleh mengenal pasti sumber-sumber dan kaedah yang dirasakan mudah dan perlu digunakan bagi menyelesaikannya.

Pengecaman Corak

Pengecaman Corak dalam pemikiran komputasional bermaksud mengenal pasti persamaan atau corak dalam menyelesaikansesuatu masalah yang kompleks dengan lebih mudah. Secara mudahnya, pengecaman corak ialah teknik yang melihat sesuatu masalah itu dari segi kesamaan serta lebih memfokuskan perkara yang menjadi punca utama kepada sesuatu masalah tersebut.

Peniskalaan

Peniskalaan dalam pemikiran komputasional merupakan proses pengenalpastian masalah asas atau masalah utama dengan mengenepikan masalah-masalah sampingan atau kecil. Contohnya ialah masalah kehadiran staf di dalam sesuatu jabatan. Antara sebab utama kelewatan mereka hadir di tempat bertugas ialah urusan keluarga, trafik dan kesihatan.

Algoritma dan Prosedur

Beberapa siri arahan langkah demi langkah yang perlu dipatuhi dan dibuat untuk menyelesaikan masalah atau mencapai matlamat akhir. Setiap arahan dikenal pasti dan perlu dilaksanakan seperti yang dirancang. Algoritma sering digunakan sebagai prosedur awal untuk membangunkan program komputer. Kebiasaannya algoritma diwakili dalam bentuk pseudo kod atau carta alir.

LITERASI DATA

Kepentingan melahirkan masyarakat yang celik data merupakan suatu keperluan untuk pembangunan masyarakat yang maju dan berjaya. Guru perlu menggalakkan murid menggunakan data untuk menyokong fakta yang digunakan dalam membuat keputusan. Data boleh diperoleh dalam kehidupan harian atau sumber rasmi yang dikeluarkan oleh organisasi yang berautoriti secara kualitatif atau kuantitatif.

Guru perlu melatih murid untuk memproses data mentah supaya dapat memberi makna. Literasi data termasuk keupayaan untuk membaca, bekerja dengan data, menganalisis dan berhujah dengan data. Membaca data melibatkan pemahaman tentang makna data, dan aspek pewakilan data tersebut. Bekerja dengan data melibatkan proses menghasil, memperoleh, membersih dan mengurus data. Menganalisis data melibatkan penapisan, penyisihan, pengkategorian, perbandingan, dan melakukan pemikiran analitik. Berhujah dengan data melibatkan penggunaan data bagi menyokong naratif yang lebih besar untuk berkomunikasi dan membawa mesej tertentu kepada pihak lain.

Kebolehan mengira, membaca dan menulis nombor dan huruf merupakan kebolehan asas yang perlu dikuasai oleh seseorang individu sebelum dapat menguasai kompleksiti dalam penulisan huruf dan pembinaan ayat. Kebolehan mengeluarkan informasi bermakna daripada suatu set data dikenali sebagai literasi data.

Data literasi bukan sahaja keupayaan untuk membaca nombor tetapi juga keupayaan untuk memahami maksud nombor tersebut, kebolehan membuat jangkaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap data tersebut.