Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi serta meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau juga merujuk kepada produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
Ia meminimumkan degrasi persekitaran;
Ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar;
Ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
Menggalakkan sumber-sumber yang boleh dibaharui.
Teknologi Hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan yang mampan. Empat Tonggak Dasar Teknologi Hijau Negara adalah seperti berikut:
Tenaga - Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga;
Alam sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar;
Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi ; dan
Sosial - Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Dasar Teknologi Hijau Negara merangkumi unsur ekonomi, alam sekitar dan sosial seperti yang digariskan oleh lima (5) objektif yang berikut:
Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi;
Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persada antarabangsa;
Untuk memastikan pembangunan mampan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau.
Matlamat kebangsaan mengenai Dasar Teknologi Hijau adalah untuk menyediakan hala tuju dan motivasi untuk rakyat Malaysia terus menikmati kualiti kehidupan yang baik dan persekitaran yang sihat. Kemajuan yang signifikasi dan peningkatan utama dalam empat (4) sektor utama adalah seperti berikut:
Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (cogeneration) di sektor industri dan komersial; dan Sektor Penggunaan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.
Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan bangunan.
Sektor Air dan Pengurusan Sisa: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah.
Sektor Pengangkutan: Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam.
United Nation Earth Summit pada tahun 1992 telah mendefinisikan Kepelbagaian Biologi atau “Biodiversiti" sebagai "kepelbagaian antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya. Biodiversiti boleh terdiri pelbagai jenis tumbuhan berbunga, pakis, pokok, serangga, burung, ikan dan haiwan serta habitat yang unik seperti paya bakau, sungai, tanah tinggi dan kawasan pantai. Air, udara dan pakaian, semuanya datang daripada alam semula jadi serta daripada proses yang kompleks serta perkhidmatan daripada alam semula jadi yang membantu mengekalkan kehidupan di bumi. Semua kehidupan di bumi termasuklah manusia dan perkhidmatan ekosistem membentuk jaringan kehidupan yang bersepadu. Inilah yang dimaksudkan sebagai konsep Biodiversiti. Sehingga kini, kira-kira 1.75 juta spesies telah dikenal pasti. Saintis pula berpendapat bahawa terdapat kira-kira 13 juta spesies, walaupun ia dianggarkan berjumlah di antara 3 - 100 juta.
Biodiversiti juga memberikan manusia udara yang bersih, air, makanan, pakaian, ubat dan semua keperluan utama untuk hidup. Biodiversiti mengawal interaksi ekosistem dan proses biologi lain yang kompleks termasuklah kitaran nutrien, pendebungaan, pembentukan dan perlindungan tanah, kawalan banjir dan kawalan iklim. Riadah dan Nilai Kebudayaan Biodiversiti menyediakan nilai estetik, pendidikan, rekreasi, keagamaan dan kebudayaan. Biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam pembentukan kepelbagaian budaya bagi banyak komuniti. Biodiversiti menyokong kehidupan di bumi ini pada masa ini dan pada masa hadapan dengan membenarkan organisma hidup untuk menyesuaikan diri dan berkembang mengikut perubahan keadaan alam sekitar.
Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (Biodiversiti) yang pertama telah digubal pada tahun 1998. Sejak itu, negara telah mengalami peningkatan populasi dan perubahan sosio-ekonomi yang ketara. Penduduk telah meningkat daripada 23 juta pada tahun 1998 kepada kira-kira 30 juta pada tahun 2015, KDNK per kapita di Malaysia telah meningkat hampir tiga kali ganda dan begitu juga dengan eksport negara yang turut meningkat sebanyak tujuh kali ganda. Terdapat banyak kawasan perumahan dan perindustrian, perbandaran dan infrastruktur telah dibina. Kesemua ini mempunyai pengaruh yang ketara ke atas Biodiversiti dan kesannya menyebabkan tekanan semakin sengit dan kompleks. Walaupun Dasar 1998 telah membimbing kita dengan hala tuju pada masa lalu, cabaran baharu memerlukan tumpuan yang disemak semula supaya membolehkan kita melindungi Biodiversiti pada masa akan datang.
Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016 - 2025 dibentuk bagi menyediakan hala tuju dan rangka kerja dalam memulihara kepelbagaian biologi dan penggunaannya secara mampan bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks kini dan pada masa hadapan.