Pemula ini digunakan apabila diperlukan pelaras dan dayakilas permulaan bagi motor tiga fasa yang membawa beban-beban yang berlainan keupayaannya. Pemula ini biasanya digunakan untuk menghidup motor berukuran sederhana dan sebesar-besarnya 7.5 kW.
Pelarasan dayakilas permulaan ini didapati dengan mengurangkan voltan yang dibekalkan ke motor melalui ‘tap-tap’ pengubah-auto yang dipadankan dengan keupayaan beban yang hendak dipusingkan.
Secara tidak langsung cara ini dapat mengurangkan arus permulaan dan motor itu dapat berputar dengan selamat mengikut keupayaan bebannya.
Perhatian hendaklah diberikan kepada alatubah-auto ini dimana ia hendaklah berada dalam sambungan bintang dan tidak berlaku litar terbuka. Jika berlaku litar terbuka di bahagian sambungan bintangnya pada ketika mula dihidupkan, alatubah-auto ini akan mengalami kesan voltan tinggi yang membahayakan.
Setelah motor berputar dan kelajuannya hampir mencapai kelajuan penuh, pengubah-auto ini akan diputuskan daripada motor dan voltan bekalan dibekalkan sepenuhnya kepada motor tersebut.
Penukaran sambungan ini dapat dilakukan dengan menggunakan suis kendalian tangan atau sesentuh yang akan beroperasi secara automatik.
Biasanya ‘tap’ pengubah ini mempunyai tiga ‘tap’ iaitu 40%, 60% dan 75% daripada voltan talian. Terdapat juga beberapa nilai yang lain mengikut persesuaian beban dan kehendaknya.