Penyentuh ialah satu suis yang dikendalikan oleh satu elektromagnet. Elektromagnet mempunyai gelung dimana litarnya dilengkapkan dengan satu punat tekan, suis had apung atau mana-mana alat kawalan yang lain. Ia adalah suis electromagnet yang berfungsi menyambungkan atau memutuskan pengaliran arus elektrik dalam litar.
Arus akan mengalir ke dalam gelung dan menghasilkan urat daya magnet yang mana akan menarik angkir supaya ia bergerak dari keadaan terbuka kepada tertutup. Sesentuh-sesentuh suis dihubungkan secara mekanikal ke angkir supaya apabila angkir bergerak kepada keadaan tertutup, ia juga akan menutup sesentuh tersebut.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penyentuh tidak dapat bekerja dengan sempurna dan mengeluarkan bunyi bising ketika penyentuh sedang beroperasi. Antara sebab-sebab itu ialah:-
i. Voltage kendalian terlalu rendah.
ii. Gelung yang salah pemasangannya.
iii. Susunan antara angkir dan pasangan magnet tidak lurus.
iv. Kotor, karat dan lain-lain di atas permukaan magnet. Ini menyebabkan angkir tidak dapat menutup sepenuhnya.
v. Bahagian-bahagian yang bergerak menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian, oleh itu pergerakan bagi angkir sepenuhnya terhalang.
vi. Pemasangan penyentuh tidak betul.
Sesentuh (contacts).
Sesentuh bagi penyentuh ialah bahagian pembawa arus yang terdekat kepada perlengkapan litar kuasa ke motor apabila penyentuh tertutup. Bahagian penyentuh yang tidak bergerak dilekatkan ke tapak penyentuh sementara bahagian sesentuh yang bergerak dicantumkan kepada satu bar atau pembawa sesentuh yang digerakkan oleh angkir. Jika sesentuh itu membuka suis dinamakan sesentuh lazim buka (normally open), jika sesentuh itu tertutup sebelum penyentuh bertenaga ia dinamakan sesentuh lazim tutup (normally close).
a) Sesentuh lazim buka (normally open)
Sesentuh ini akan terbuka semasa penyentuh belum bertenaga. Pada kedudukan ini arus tidak akan mengalir ke dalam litar.
b) Sesentuh lazim tutup (normally close)
Sesentuh ini akan tertutup semasa penyentuh belum bertenaga. Arus akan mengalir dan akan berhenti apabila penyentuh sudah mendapat bertenaga.
Sesentuh Tambahan (Auxiliary Contacts).
Sebagai tambahan kepada sesentuh utama atau kuasa yang membawa arus motor, penyentuh biasanya mempunyai sesentuh tambahan. Sesentuh tambahan ini tidak dibentuk untuk membawa arus motor tetapi hanya arus kawalan. la boleh jadi sesentuh sedia buka atau sedia tutup dan biasanya digunakan untuk mengawal penyentuh yang lain apabila kawalan turutan diperlukan, contohnya untuk mengawal dua penyentuh daripada menutup dalam satu masa yang lama. Sesentuh tambahan juga boleh digunakan sebagai suis untuk lampu pandu dan lampu isyarat.
PRINSIP KERJA PENYENTUH
a) Gelung kendalian boleh berfungsi bagi bekalan 240 V atau 415 V. Kadarnya ada tercatat di plat nama.
b) Apabila gelung kendalian mendapat bekalan, ia akan menghasilkan electromagnet pada teras tetap.
c) Teras tetap akan menarik teras boleh gerak, oleh itu ia akan menolak pelocok di mana ia akan menggerakkan bar bersilang.
d) Bar bersilang yang mengandungi sesentuh boleh gerak akan menutup sesentuh (sesentuh lazim buka dan sebaliknya).
e) Apabila bekalan ke gelung kendalian ditutup, maka tiada daya tarikan magnet lagi.
Pada masa yang sama spring menolak akan menolak pelocok teras boleh gerak dan seterusnya bar bersilang akan membuka sesentuh dan sesentuh kembali kepada keadaan normal.
f) Saiz penyentuh bergantung kepada beban yang akan digunakan.
PENYELENGGARAAN
a) Sesentuh hendaklah dibersihkan dari habuk oksida dengan kertas pasir. Ia hendaklah disapukan dengan Vaseline
b) Ketegangan spring hendaklah dalam keadaan baik.
c) Skru pengikat punca-punca hendaklah dalam keadaan baik dan kemas
Langkah pengujian :
Gegelung
1. Sentuhkan probe merah (+) dan probe hitam (-) pada kedua-dua punca gegelung.
2. Sekiranya jarum meter menunjukkan bacaan rintangan, ini menunjukkan kedua-dua punca gegelung ada penyambunga.
3. Sebaliknya, jika jarum meter tidak bergerak dan berada pada kedudukan infiniti, ini menunjukkan kedua-dua punca gegelung tiada penyambungan.
Sesentuh lazim terbuka (NO)
1. Sentuhkan probe merah (+) dan probe hitam (-) pada kedua-dua punca sesentuh lazim terbuka. Tekan pelocok di bahagian tengah penyentuh.
2. Sekiranya, jarum meter bergerak kearah 0, ini menunjukkan terdapat keterusan.
3. Sebaliknya, apabila dilepaskan, jarum meter akan bergerak semula ke infiniti. Ini menunjukkan sesentuh lazim terbuka dalam keadaan baik.
4. Jika jarum meter tidak bergerak ke arah 0 apabila pelocok ditekan, ini menunjukkan tiada keterusan dan didapati sesentuh lazim terbuka rosak.
5. Sekiranya jarum meter bergerak ke arah 0 apabila pelocok ditekan, ini menunjukkan terdapat keterusan dan apabila pelocok dilepaskan, jarum meter tidak bergerak semula ke infiniti. Ini menunjukkan sesentuh lazim terbuka rosak.
Sesentuh lazim tertutup
1. Sentuhkan probe merah (+) dan probe hitam (-) pad kedua-dua punca sesentuh tertutup. Tekan pelocok di bahagian tengah penyentuh. Sekiranya jarum meter tidak bergerak ke arah 0. Ini menunjukkan tiada keterusan
2. Sebaliknya, apabila dilepaskan, jarum meter akan bergerak ke arah 0. Ini menunjukkan sesentuh lazim tertutup dalam keadaan baik.
3. Sebaliknya, kiranya jarum meter bergerak ke arah 0 apabila pelocok ditekan, ini menunjukkan terdapat keterusan dan didapati sesentuh lazim tertutup rosak.